Usus, Bakteria Usus dan Cara Mengekalkan Kesihatan Usus Anda

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tahukah anda bahawa usus di dalam perut anda tidak memerlukan input dari otak untuk berfungsi? Benar, usus tidak memerlukan dorongan atau impuls otak untuk melakukan untuk melaksanakan proses penghadaman kerana ia tidak memerlukannya. Usus bertindak dengan caranya dan “otaknya” yang tersendiri. Tidak terdapat organ lain dalam tubuh anda yang mampu melakukan hal sebegitu selain usus. Ingin mengetahui apakah lagi fakta-fakta menarik mengenai usus anda? Teruskan pembacaan anda ke peringkat yang seterusnya bagi membantu anda memahami mengenai kesihatan usus anda. 

Fakta-fakta menarik berkenaan usus yang mungkin tidak anda tahu

100 juta neuron di dalam usus

Kemampuan usus untuk “berfikir” secara tersendiri bukanlah satu perkara yang mengejutkan, anda tahu mengapa? Ini kerana terdapat berjuta-juta neuron dalam gegelungnya yang panjang (9 meter usus yang bermula dari esophagus hingga anus). Neuron yang terdapat pada usus adalah lebih banyak daripada neuron yang terdapat dalam sistem saraf tunjang atau sistem saraf periferal.

Sistem saraf yang tersendiri

Sistem saraf enterik yang merupakan mekanisme pengawalan pencernaan dan penghapusan – adalah sistem yang mengawal usus anda dan berfungsi dengan sendirinya. Sesetengah saintis melihatnya sebagai sebahagian daripada sistem saraf pusat, manakala sesetengah yang lain menganggapnya sebagai entiti yang tersendiri. 

Laluan informasi dari usus anda ke otak

Terdapat satu saraf pendengaran besar (visceral nerve) yang tertanam dalam usus anda iaitu saraf vagus. Penyelidikan telah mendedahkan bahawa sehingga 90 peratus daripada seratnya membawa maklumat dari usus ke otak, dan bukan dengan cara yang sebaliknya. Dengan kata lain, otak menafsirkan isyarat dari usus sebagai emosi. 

Kebanyakan serotonin terdapat dalam usus

Serotonin adalah sebatian yang terdapat dalam platelet darah dan serum yang menyekat saluran darah dan bertindak sebagai neurotransmitter. Ia dipercayai membantu mengawal mood dan tingkah laku sosial, selera makan dan pencernaan, tidur, ingatan, dan keinginan serta fungsi seksual. Tahap serotonin yang rendah telah dikaitkan dengan kemurungan dan 95 peratus serotonin tubuh anda boleh dijumpai di bahagian usus.

Usus yang sihat mungkin melindungi tulang anda

Dalam penyelidikan mengenai hubungan antara serotonin dan usus, para saintis menemui satu hubungan yang tidak dijangka antara usus dan tulang. Perencatan pembebasan serotonin usus boleh menyebabkan pengurangan kepadatan tulang pada tikus kajian. Kajian ini sedang mengkaji mengenai ubat-ubatan baru yang bertujuan untuk menangani osteoporosis.

Makanan mempengaruhi mood anda

Pelbagai jenis makanan yang “diperkenalkan” kepada usus melalui tiub makan (feeding tube) telah menunjukkan mengubah mood seseorang individu tanpa disedari oleh seseorang individu mengenai apa yang mereka makan. Lemak dilihat meningkatkan perasaan gembira dan keseronokan seseorang kerana ia dilihat memicu pelepasan dopamine. Karbohidrat pula merangsang pelepasan serotonin.

Membantu anda ketika anda mengalami flu dan selsema

Usus menjadi rumah kepada 70 peratus sel imun anda dalam bentuk tisu limfoid yang berkaitan dengan usus (gut-associated lymphoid tissue) atau GALT. GALT berperanan dalam membunuh dan menyingkirkan patogen. GALT bekerja bersama-sama microbiotik usus untuk membantu anda dalam masa-masa kesukaran seperti ketika mengalami flu dan selsema.

Apa yang perlu saya tahu mengenai mikrobiotik usus?

usus

Mikrobiotik usus kedengaran seperti satu istilah saintifik yang sukar untuk difahami? Sebenarnya, konsepnya mudah sahaja. Mikrobiotik usus, seperti yang ditakrifkan oleh ahli biologi molekul, Joshua Lederberg, adalah merupakan keseluruhan mikroorganisma, bakteria, virus, protozoa, dan kulat, dan bahan genetik kolektif mereka yang terdapat dalam saluran gastrointestinal (GIT). Seseorang individu mempunyai kira-kira 300 hingga 500 spesies bakteria yang berlainan dalam saluran penghadaman mereka. Walaupun sesetengah mikroorganisma berbahaya kepada kesihatan kita, banyak mikroorganisma yang sangat bermanfaat dan bahkan perlu untuk tubuh yang sihat.

Banyak penyelidikan yang dilaksanakan sejak dua dekad yang lalu telah menunjukkan hubungan antara kesihatan usus dan sistem imun, mood, kesihatan mental, penyakit autoimun, gangguan endokrin, keadaan kulit dan kanser. Menurut Dr. EM Quigley melalui kajiannya berkenaan bakteria usus yang telah diterbitkan dalam Journal of Gastroenterology and Hepatology, mempunyai pelbagai jenis bakteria baik dalam usus anda dapat meningkatkan fungsi sistem imun anda, memperbaiki simptom kemurungan, membantu memerangi obesiti, dan menyediakan banyak faedah lain.

Bagaimanakah saya boleh mengetahui sekiranya saya mempunyai usus yang tidak sihat?

Terdapat pelbagai tanda yang boleh memperlihatkan bahawa anda mempunyai usus yang tidak sihat. Berikut merupakan antara tanda yang paling kerap berlaku yang menunjukkan bahawa anda mempunyai keadaan usus yang kurang baik:

Perut meragam

Gangguan perut seperti gas, kembung perut, sembelit, cirit-birit dan pedih ulu hati boleh menjadi antara petanda usus yang tidak sihat. Usus yang baik mempunyai hanya sedikit sahaja kesukaran dalam memproses makanan dan menyingkirkan sisa dari tubuh badan.

Pemakanan tinggi gula

Diet yang tinggi dengan makanan yang diproses dan gula tambahan boleh mengurangkan jumlah bakteria yang baik dalam usus anda. Ketidakseimbangan ini boleh menyebabkan peningkatan keinginan terhadap gula yang boleh meningkatkan kerosakan usus anda. Jumlah gula halus yang tinggi, terutamanya sirap jagung fruktosa tinggi, telah dikaitkan dengan peningkatan keradangan dalam badan. Keradangan boleh menjadi pendahulu kepada beberapa penyakit dan juga kanser.

Perubahan berat badan yang tidak disengajakan

Pertambahan atau kehilangan berat badan tanpa membuat perubahan pada diet atau senaman anda mungkin menjadi tanda usus yang tidak sihat. Usus yang tidak seimbang boleh menjejaskan keupayaan tubuh anda untuk menyerap nutrien, mengawal gula darah, dan menyimpan lemak. Penurunan berat badan mungkin disebabkan oleh pertumbuhan bakteria usus kecil (small intestinal bacterial overgrowth), sementara peningkatan berat badan mungkin disebabkan oleh kerintangan insulin atau keinginan untuk makan terlalu banyak disebabkan penyerapan nutrien yang berkurangan.

Gangguan tidur atau keletihan yang berterusan

Usus yang tidak sihat boleh menyumbang kepada gangguan tidur seperti insomnia atau tidur yang kurang baik, dan oleh itu membawa kepada keletihan yang kronik. Kebanyakan serotonin dalam tubuh iaitu sejenis hormon yang mempengaruhi mood dan tidur, dihasilkan di bahagian usus. Oleh itu, kerosakan usus dapat menjejaskan kemampuan anda untuk tidur dengan baik. Sesetengah gangguan tidur juga dikaitkan dengan risiko fibromyalgia; keadaan rematik yang dicirikan oleh kesakitan otot atau muskuloskeletal dengan kelenturan dan kelembutan setempat pada titik-titik tertentu pada badan.

Iritasi kulit

Keadaan kulit seperti ekzema mungkin juga berkaitan dengan keadaan usus yang rosak. Keradangan di bahagian usus yang disebabkan oleh gaya pemakanan yang buruk atau alahan makanan boleh menyebabkan peningkatan “kebocoran” protein tertentu keluar ke dalam badan, yang boleh pula merengsakan kulit dan menyebabkan keadaan seperti ekzema.

Keadaan autoimun

Penyelidik perubatan terus mencari bukti baharu mengenai kesan usus pada sistem imun. Usus yang tidak sihat boleh meningkatkan keradangan yang sistemik dan mengubah fungsi sistem imun yang betul. Ini boleh membawa kepada penyakit autoimun, di mana badan menyerang dirinya sendiri berbanding daripada penceroboh tubuh badan yang berbahaya.

Intoleransi makanan

Intoleransi makanan adalah hasil daripada kesulitan mencerna makanan tertentu dan ini berbeza daripada alergi makanan yang disebabkan oleh reaksi sistem imun terhadap makanan tertentu. Intoleransi makanan mungkin disebabkan oleh kualiti bakteria yang tidak baik dalam usus. Ini boleh menyebabkan kesukaran mencerna makanan pencetus dan simptom yang tidak menyenangkan seperti kembung perut, gas, cirit-birit, sakit perut, dan loya. Terdapat beberapa bukti bahawa alahan makanan juga mungkin berkaitan dengan kesihatan usus.

Jadi, apa yang boleh saya lakukan sekarang untuk meningkatkan kesihatan usus saya?

usus

Jangan risau kerana anda boleh meningkatkan tahap kesihatan usus anda dengan beberapa langkah mudah. Ia tidaklah sesukar yang disangka kerana kesemuanya bermula daripada perubahan gaya hidup dan pemakanan anda sendiri. Ikuti langkah-langkah seperti berikut:

Kurangkan tahap stres anda

Tahap stres kronik yang tinggi memberi tekanan kpada seluruh tubuh anda, termasuklah usus anda. Terdapat beberapa cara untuk anda mengurangkan stres dan ini termasuklah meditasi, berjalan kaki, mendapatkan urutan, menghabiskan masa dengan rakan atau keluarga, menggunakan minyak pati, mengurangkan pengambilan kafein, ketawa, yoga, dan juga mempunyai haiwan peliharaan.

Dapatkan tidur yang mencukupi

Tidak mendapat tidur yang mencukupi atau kualiti tidur yang rendah dapat memberi impak yang serius kepada kesihatan usus anda, yang boleh menyumbang kepada masalah tidur yang lebih banyak. Cuba untuk memberi keutamaan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 7 – 8 jam tidur tanpa gangguan setiap malam.

Makan secara perlahan-lahan

Mengunyah makanan anda dengan teliti dan makan makanan anda lebih perlahan dapat membantu menggalakkan pencernaan dan penyerapan nutrien yang lengkap. Ini boleh membantu anda mengurangkan ketidakselesaan penghadaman dan memelihara usus yang sihat.

Minum banyak air

Minum banyak air telah terbukti mempunyai kesan yang baik terhadap lapisan mukosa usus, serta bakteria-bakteria yang baik dalam usus. Kekal hidrat adalah cara mudah untuk menggalakkan usus yang sihat.

Ambil prebiotik atau probiotik

Menambahkan suplemen prebiotik atau probiotik untuk diet anda mungkin merupakan cara terbaik untuk meningkatkan kesihatan usus anda. Prebiotik menyediakan “makanan” yang bertujuan untuk mempromosikan pertumbuhan bakteria bermanfaat di dalam usus, sementara probiotik adalah bakteria hidup yang baik. Individu yang mengalami penambahan bakteria, seperti SIBO, tidak boleh mengambil probiotik. Tidak semua suplemen probiotik berkualiti tinggi atau akan memberi manfaat. Adalah lebih baik untuk berunding dengan doktor terlebih dahulu apabila memilih suplemen probiotik atau prebiotik untuk memastikan manfaat kesihatan yang terbaik.

Kurangkan pengambilan antibiotik tanpa keperluan

Walaupun antibiotik sering diperlukan untuk memerangi jangkitan bakteria, pengambilan secara berlebihan adalah salah satu kebimbangan kesihatan awam yang signifikan yang boleh menyebabkan kerintangan antibiotik. Antibiotik juga boleh merosakkan mikrobiota usus dan imuniti. Beberapa laporan kajian melaporkan bahawa walaupun 6 bulan selepas penggunaannya, usus masih kekurangan beberapa spesies bakteria yang berfaedah. 

Semak intoleransi makanan

Sekiranya anda mengalami gejala seperti kekejangan, kembung perut, sakit perut, cirit-birit, ruam, loya, keletihan, dan refluks asid, anda mungkin mengalami intoleransi makanan. Anda boleh cuba menghilangkan makanan pemicu yang biasa untuk melihat jika simptom anda bertambah baik. Jika anda boleh mengenal pasti makanan atau makanan yang menyumbang kepada simtom tersebut, anda mungkin akan melihat perubahan positif dalam kesihatan pencernaan anda dengan mengubah tabiat pemakanan anda.

Tukar diet anda

Mengurangkan jumlah pengambilan makanan yang diproses, tinggi gula, dan tinggi lemak yang anda makan boleh menyumbang kepada kesihatan usus yang lebih baik. Selain itu, makan banyak makanan berasaskan tumbuhan dan protein tanpa lemak boleh memberi kesan positif kepada usus anda. Diet yang tinggi dengan kandungan serat telah terbukti menyumbang kepada mikrobiotik usus yang sihat.

Apakah jenis makanan yang saya boleh makan untuk meningkatkan kesihatan usus saya?

usus

Terdapat juga beberapa makanan yang boleh anda makan untuk mempromosikan pertumbuhan bakteria bermanfaat secara aktif dan seterusnya menyumbang kepada kesihatan anda secara keseluruhan. Makanan-makanan yang disarankan ini termasuklah:

Makanan berserat tinggi

Makanan serat tinggi seperti kekacang, oat, gandum, pisang, buah beri, asparagus dan daun bawang telah menunjukkan kesan positifnya terhadap kesihatan usus dalam banyak kajian. Serat adalah bahan yang paling penting untuk kesihatan usus. Serat memainkan peranan penting dalam salah satu penyakit pencernaan yang paling biasa di seluruh dunia iaitu diverticulitis (keradangan usus). Menurut kajian yang dijalankan pada tahun1998 yang diterbitkan dalam The Journal of Nutrition, makan makanan yang kaya dengan kandungan serat yang tidak larut telah didapati mengurangkan risiko diverticulitis sebanyak 40 peratus. 

Bawang putih dan bawang

Bawang putih dan bawang mungkin mempunyai beberapa ciri anti-kanser dan ciri peningkatan sistem imun berdasarkan pelbagai kajian, yang berkait rapat dengan beberapa fungsi utama usus. Beberapa manfaat ini adalah anekdot, walaupun beberapa penyelidikan telah dilakukan.

Makanan yang ditapai

Makanan yang difermentasi seperti kimchi, sauerkraut, yoghurt, tempe, miso, dan kefir adalah sumber makanan probiotik yang hebat. Walaupun kualiti makanan ini berbeza-beza, faedah-faedah mereka terhadap mikrobiotik usus juga telah dikaji dan terbukti dengan baik. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2014 yang diterbitkan dalam Polish Journal of Microbiology telah menunjukkan bahawa tempe boleh meningkatkan bakteria yang sihat, termasuklah Lactobacillus. Selain itu, satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Medicinal Food telah mengesahkan bahawa kimchi adalah tinggi dengan probiotik, dan merupakan bahan makanan yang sangat baik untuk kesihatan usus. Kajian lain turut menunjukkan bahawa kimchi dapat membantu melawan kanser, obesiti, penuaan, dan sembelit, selain menyumbang kepada sistem imun tubuh, kesihatan kulit, dan kesihatan otak. Penggunaan miso dalam makanan Jepun bukanlah satu perkara yang asing. Miso adalah sejenis pes kacang soya yang ditapai dan digunakan dengan pelbagai fungsi terutama sekali sebagai perasa masakan. Miso mengandungi banyak bakteria baik dan berpotensi menghalang kanser dan menurunkan tekanan darah. 

Makanan yang meningkatkan kolagen

Makanan yang kaya dengan kolagen seperti sup tulang dan salmon boleh memberi manfaat kepada keseluruhan kesihatan dan kesihatan usus. Kebanyakan manfaat ini adalah kesimpulan anekdot dan penyelidikan lanjut boleh dilaksanakan. Anda juga boleh cuba meningkatkan pengeluaran kolagen tubuh anda melalui makanan. Cuba tambah pelbagai jenis makanan, seperti cendawan, produk tenusu yang baik, atau daging tertentu.

Usus manusia adalah lebih kompleks daripada apa yang difikirkan sebelum ini dan mempunyai kesan besar terhadap kesihatan keseluruhan tubuh. Usus yang sihat menyumbang kepada sistem imun tubuh yang kuat, kesihatan jantung, kesihatan otak, mood yang lebih baik, tidur yang berkualiti, dan pencernaan yang berkesan. Kesemua ini boleh membantu mencegah beberapa jenis kanser dan penyakit autoimun. Perubahan gaya hidup yang anda lakukan boleh memberi kesan positif kepada kesihatan usus anda dan kesihatan anda secara keseluruhan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut