backup og meta

Betul Ke Kolagen Baik Untuk Awet Muda? Sebelum Cuba Suplemen, Ambil Tahu Fungsi Kolagen Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 11/05/2021

    Betul Ke Kolagen Baik Untuk Awet Muda? Sebelum Cuba Suplemen, Ambil Tahu Fungsi Kolagen Ini

    Adakah suplemen kolagen seperti minuman atau serbuk kolagen boleh mengelakkan penuaan? Apakah benar fungsi kolagen memberikan kesan seperti ini?

    Apa itu kolagen?

    Sebelum kita mengetahui kesannya terhadap penuaan, adalah lebih baik jika fahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan kolagen.

    Kolagen sebenarnya adalah sejenis protein yang mengandungi empat jenis asid amino iaitu prolin, glisin, arginin dan hidroksiprolin.

    Ia adalah sejenis protein penyambung atau penghubung yang banyak terdapat di bahagian tisu penyambung, urat, ligamen dan juga tulang.

    Selain itu, kolagen juga banyak terdapat di sekitar kawasan kulit, kornea mata, tulang rawan dan juga saluran pencernaan.

    Kolagen berperanan memastikan agar tisu dan kulit anda melekat bersama. Pada kulit, kolagen membantu memberikan keanjalan padanya. 

    Adakah fungsi kolagen kulit akan meningkat jika anda mengambil suplemen kolagen?

    suplemen kolagen

    Salah satu kandungan yang terdapat dalam kolagen ialah hidroksiprolin. Kajian menunjukkan, hidroksiprolin boleh memicu sel kulit manusia untuk menghasilkan lebih banyak asid hyaluronik.

    Asid hyaluronik pula adalah salah satu bahan yang berperanan meningkatkan kandungan air pada kulit manusia. Dengan ini, kulit tidak akan mengalami dehidrasi dan menjadi lebih lembut dan anjal.

    Namun, kita tidak mungkin dapat mengawal fungsi tubuh kita dalam menyimpan sesuatu yang diterimanya.

    Sebagai contoh, apabila kita meminum minuman kolagen atau suplemen kolagen, perut dan juga usus kecil kita akan menguraikan protein tersebut dengan menggunakan enzim dalam perut.

    Namun, ia akan terlebih dahulu diuraikan menjadi pecahan yang lebih kecil sebelum tubuh kita mula menyerapnya.

    Jadi, seolah-olahnya, minuman atau suplemen kolagen yang anda ambil itu hanya diserap dalam kuantiti yang amat sedikit oleh tubuh setelah dicerna dalam perut. 

    Ada kajian yang menunjukkan keberkesanan fungsi kolagen yang diambil melalui minuman dan suplemen?

    Telah banyak kajian yang dilakukan, namun hasil kajian yang ditunjukkan juga berbeza-beza.

    Kebanyakan hasil kajian mengenai kesan positif suplemen ke atas kulit hanyalah berlaku pada tikus makmal.

    Walaupun suplemen atau minuman kolagen menunjukkan kesan positif kepada kulit tikus makmal, ia belum tentu memberikan kesan yang sama kepada kulit manusia.

    Malah, ia belum tentu adalah kesan hasil pengambilan suplemen kolagen semata-mata.

    Ini kerana, dalam kajian-kajian ini terdapat banyak bahan campuran lain dalam sesuatu ramuan.

    Jadi, ia berkemungkinan disebabkan oleh kesan kolagen itu sendiri, dan mungkin juga oleh bahan lain. 

    Namun ada beberapa kajian tunjukkan kesannya terhadap penuaan

    Kebanyakan pengeluar produk minuman atau suplemen kolagen mendakwa produk mereka boleh mengembalikan keremajaan kulit.

    Namun, kebanyakan daripadanya hanyalah dakwaan semata-mata tanpa bukti yang jelas dan kukuh mengenai keberkesanan produk tersebut.

    Akan tetapi, ada beberapa kajian menujukkan fungsi kolagen yang dapat meningkatkan kesihatan kulit warga emas.

    Satu kajian yang ditaja oleh Minerva Research Labs Ltd. menunjukkan bahawa, suplemen kolagen boleh mengelakkan kekeringan kulit dan kedutan yang berlaku.

    Responden kajian mengalami kulit yang lebih lembut, anjal serta kurang kedutan setelah mengambil suplemen selama 12 minggu.

    Kajian ini menunjukkan bahawa kolagen mampu untuk meningkatkan keanjalan kulit selain memperbaiki kulit yang rosak akibat penuaan. 

    Cara terbaik tingkatkan kolagen dalam kulit

    fungsi kolagen

    Terdapat satu kaedah yang paling berkesan dan telah terbukti hasilnya berbanding pengambilan minuman atau suplemen kolagen.

    Kaedah tersebut adalah melalui ubat topikal atau krim sapuan yang mengandungi vitamin A, vitamin C, retinol dan tretinoin.

    Bahan-bahan ini akan menggalakkan penghasilan kolagen dalam kulit sekali gus menjadikan kulit anda kembali tegang dan anjal.

    Selain itu, untuk mengelakkan kulit menjadi kering, gunakan pelembap kulit dan juga serum yang dirumus khusus untuk kelembapan kulit.

    Jika ia mengandungi bahan seperti gliserin dan asid hyaluronik, maka ia adalah produk yang disarankan untuk digunakan.

    Selain itu juga, untuk mengelakkan kulit menjadi cepat berkedut, gunakan krim pelindung matahari untuk melindungi kulit daripada radikal bebas cahaya UV matahari. 

    Kesimpulan

    Kolagen sebenarnya mampu memberikan kesan dengan mengembalikan keremajaan kulit.

    Namun, keberkesanan suplemen kolagen yang diambil melalui minuman atau serbuk kolagen tidak begitu jelas.

    Ada kajian yang menunjukkan keberkesanannya, tetapi ada juga yang hanya tunjuk kesan positif melalui kajian di dalam makmal.

    Namun hakikatnya, kolagen dalam kulit anda terbukti akan semakin meningkat melalui penggunaan krim sapuan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 11/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan