backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

10 Fakta Menarik Mengenai Sistem Pencernaan Manusia Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 13/05/2022

10 Fakta Menarik Mengenai Sistem Pencernaan Manusia Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Sistem pencernaan manusia mempunyai peranan penting dalam menguraikan makanan dan minuman yang diambil kepada khasiat nutrien yang boleh diserap oleh badan.

Artikel ini akan menghuraikan 10 fakta menarik berkenaan dengan sistem pencernaan manusia yang mungkin anda tidak tahu.

Apa itu sistem pencernaan manusia?

Setiap makanan yang masuk ke dalam mulut akan dicerna kepada unit terkecil.

Fungsi ini akan memudahkan proses pengambilan nutrien untuk kegunaan badan bagi tumbesaran sel, pembaikian sel dan penghasilan antibodi.

Anda mungkin tahu serba sedikit mengenai sistem pencernaan dan kaitannya dengan kesihatan, namun banyak maklumat dan fakta menarik yang mungkin anda terlepas pandang.

Berikut perkara menarik mengenai sistem pencernaan manusia untuk anda tahu.

#1 Usus boleh berukuran sehingga 7.5 meter atau 25 kaki panjang

Dalam sistem pencernaan, usus merupakan pusat utama berlakunya penyerapan nutrien ke dalam badan.

Ia terbahagi kepada dua iaitu usus kecil dan usus besar. 

Usus kecil mempunyai kepanjangan 6 meter (20 kaki) manakala panjang usus besar pula boleh mencecah 1.5 meter atau lebih.

Bayangkan, jika diletakkan pada konteks ketinggian, panjang usus besar hampir sama dengan purata ketinggian rakyat Malaysia (sekitar 1.68 meter).

#2 Asid perut berupaya untuk menghakis kulit anda

Mungkin ramai yang tahu asid perut mempunyai pH (ukuran keasidan atau kealkalian) di antara 1.5 hingga 3.5.

Secara logiknya, pada tahap keasidan tersebut, kulit anda boleh terhakis.

Apa yang mungkin anda tidak tahu dan sering tertanya-tanya adalah mengapa perut tidak terhakis atau bocor apabila asid perut dirembeskan dalam proses pencernaan.

Jawapannya adalah perut mempunyai lapisan perlindungan yang dikenali sebagai mukus gastrik.

Ia memelihara dinding perut daripada tindak balas asid dan enzim pencerna semasa makanan sedang dicerna.

Sekiranya perut menghasilkan mukus dalam kuantiti yang sedikit, asid perut boleh menyebabkan permukaan organ tersebut menjadi rosak seterusnya mengakibatkan ulser.

#3 Usus besar mengandungi jutaan bakteria

sistem penghadaman manusia

Apabila dengar sahaja perkataan bakteria, pasti anda terfikirkan perkara yang negatif, kan?

Walau bagaimanapun, manusia merupakan perumah kepada jutaan bakteria.

Lebih daripada 300 spesies mikroorganisma tersebut telah dikenal pasti dan mereka turut mempunyai peranan penting dalam proses pencernaan makanan.

Bakteria usus boleh memecahkan partikel makanan kepada saiz terkecil dan mereka juga berupaya untuk membunuh virus, bakteria dan toksin berbahaya yang anda makan.

#4 Graviti tidak memainkan peranan dalam fungsi sistem pencernaan manusia

Walaupun graviti merupakan daya penting dalam kehidupan manusia yang membolehkan kita menjejakkan kaki di permukaan bumi, namun sistem pencernaan tidak bergantung kepadanya.

Daya utama yang menjadi tonggak kepada proses pencernaan makanan adalah proses peristalsis.

Peristalsis bertanggungjawab menggerakkan makanan dan minuman di sepanjang laluan sistem pencernaan melalui pergerakan otot yang berupa ombak.

Otot yang menyokong pergerakan sistem pencernaan berupaya untuk memastikan pergerakan makanan berlaku pada arah yang betul walaupun anda berada pada posisi kepala di bawah dan kaki di atas.

Walau bagaimanapun, elemen lain seperti kedudukan asid perut boleh dipengaruhi oleh graviti.

#5 Berapakah jumlah air liur yang boleh dihasilkan oleh manusia?

Anda pasti terkejut! Kelenjar air liur manusia berupaya untuk menghasilkan di antara 0.5 hingga 1.5 liter air liur setiap hari.

Ia bersamaan dengan 7 hingga 8 gelas air yang disarankan untuk setiap orang dewasa dalam tempoh 24 jam.

Air liur merupakan elemen awal yang memulakan proses pencernaan makanan.

#6 Perut anda boleh menyimpan banyak makanan

makanan dan minuman

Organ perut mempunyai dinding yang agak fleksibel. Ia boleh meregang bagi menyimpan dan mencerna lebih banyak makanan.

Secara umumnya, ia boleh menyimpan 1 liter makanan dan minuman dengan mudah.

Namun, jika anda makan banyak, perut berupaya untuk meregang sehingga saiznya boleh menampung sekitar 4 hingga 5 liter makanan.

Apabila perut anda penuh, ia boleh menekan organ berdekatan yang lain menyebabkan anda berasa tidak selesa.

Oleh sebab itulah kita mudah berasa mengantuk, letih dan penat selepas mengambil hidangan berat.

#7 Perut berbunyi semasa lapar?

Apabila anda lapar, kadangkala perut boleh mengeluarkan bunyi.

Bunyi tersebut, secara saintifiknya digelar borborygmi. Ia berlaku berikutan otak menghantar isyarat kepada sistem pencernaan untuk bersedia menerima makanan.

Walau bagaimanapun, bukan semua fenomena perut berbunyi bermakna anda lapar.

Ada juga yang berlaku disebabkan oleh masalah pencernaan atau terdapat angin di sepanjang laluan pencernaan anda.

Jika ia kerap berlaku, anda boleh rujuk kepada doktor untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya.

#8 Banyak air liur keluar semasa muntah?

Pernah tak anda termuntah air liur dahulu sebelum isi perut anda keluar?

Air liur bukan sahaja berupaya untuk mencerna makanan. 

Ia juga boleh melindungi laluan pencernaan atas daripada kecederaan yang berlaku akibat pergerakan asid perut keluar semasa muntah.

Oleh sebab asid perut boleh menghakis laluan pencernaan dan jumlah mukus tidaklah terlalu banyak dalam situasi normal di laluan atas perut, jadi air liur dihasilkan bagi mengambil alih peranan tersebut.

#9 Kentut anda berbau disebabkan oleh bakteria

sistem penghadaman manusia

Sendawa dan kentut berlaku apabila badan cuba untuk membuang angin yang ditelan semasa anda makan, minum atau bercakap.

Pernah tak anda terfikir mengapa kentut lebih berbau berbanding dengan sendawa?

Jawapannya adalah bakteria usus. Bau kentut boleh dipengaruhi oleh aktiviti bakteria di dalam usus besar.

Oleh sebab aktiviti bakteria bergantung kepada apa yang anda makan, sesetengah makanan boleh menyebabkan bau kentut lebih busuk daripada biasa.

#10 Sistem pencernaan mudah untuk mendapat kanser

Sistem pencernaan manusia terdiri daripada pelbagai jenis organ penting.

Ia juga merupakan sistem di dalam badan yang mudah untuk mengalami masalah kanser.

Kanser sistem pencernaan boleh menurunkan kualiti hidup manusia dan ia dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi terutamanya kanser kolorektal, perut dan esofagus.

Walau bagaimanapun, rawatan awal boleh meningkatkan potensi kesembuhan pesakit terhadap kanser yang tersenarai.

Kesimpulan

Ketahuilah, lebih banyak anda tahu tentang sistem pencernaan, lebih banyak fakta menarik yang boleh didapati. Selain memproses makanan, ada banyak lagi fungsi usus dalam tubuh kita.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 13/05/2022

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan