Cara Hilangkan Bau Ketiak: Petua yang Boleh Diamalkan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bagi individu yang menaiki pengangkutan awam seperti LRT dan bas, pasti anda pernah berdepan dengan situasi di mana anda perlu berdiri berdekatan individu lain apabila keadaan menjadi sesak. Itu rasanya tidak menjadi masalah, tetapi apa yang lebih mengharukan keadaan adalah apabila individu terbabit mempunyai masalah bau badan seperti ketiak yang berbau. Pening bukan apabila terpaksa berada di dalam keadaan tersebut, lebih malang lagi kalau ia berlanjutan untuk tempoh yang agak panjang. Tetapi adakah cara hilangkan bau ketiak? Ikuti perkongsian artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut. 

Ketiak Berbau?

Masalah ketiak yang berbau adalah merupakan satu masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan individu. Situasi ketiak berbau ini adalah termasuk dalam masalah badan berbau yang  secara istilah teknikalnya dirujuk sebagai bromhidrosis dan ia bukanlah satu masalah yang mendatangkan kebimbangan berkaitan masalah kesihatan. Walau bagaimanapun, mempunyai masalah ketiak yang berbau boleh dianggap sebagai satu keadaan yang menyebabkan seseorang individu hilang keyakinan diri untuk berhadapan dengan individu lain. 

Adakah Badan Berbau itu Normal?

Masalah badan berbau atau bromhidrosis ini merupakan satu masalah yang berlaku apabila anda melangkah ke alam akil baligh. Ia adalah kerana di dalam badan anda berlaku proses peningkatan hormon yang dipanggil androgen. Hormon ini tidak aktif sehinggalah anda mencapai tempoh kematangan atau akil baligh. Oleh kerana ini, masalah badan berbau jarang untuk berlaku ketika kepada kanak-kanak. 

Hakikatnya, peluh itu sendiri tidak mendatangkan sebarang bau. Tetapi bakteria yang berada pada kawasan yang mengeluarkan peluh dan membiak dengan cepat menyebabkan wujudnya bau. Apa yang anda bau itu sebenarnya adalah hasil yang berlaku apabila bakteria memecahkan protein keratin yang berada pada permukaan kulit anda. Rumit dan agak menjijikkan bukan? Tetapi itulah perkara yang berlaku.

Ketika anda melakukan apa-apa aktiviti pergerakan fizikal yang cenderung menyebabkan terhasilnya peluh, atau mungkin anda lebih banyak terdedah kepada keadaan panas mahupun cahaya matahari, badan anda akan menghasilkan peluh. Ia adalah untuk membantu mengawal suhu badan anda. Peluh yang ‘bertemu’ dengan bakteria pada permukaan kulit anda akan menyebabkan wujudnya bau. Inilah yang dipanggil sebagai bau badan atau B.O untuk body odor. Itu jugalah keadaan yang berlaku kepada bahagian ketiak anda. 

Walaupun telah dinyatakan masalah bau badan atau ketiak yang berbau akan terjadi kepada individu yang sudah akil baligh. Namun, terdapat juga kes di mana masalah ini turut dikenal pasti pada kanak-kanak. Berbeza dengan individu dewasa yang mengalaminya disebabkan perubahan hormon, masalah badan berbau dihadapi oleh kanak-kanak biasanya didasari oleh masalah kesihatan atau keadaan perubatan. 

Antara faktor-faktor yang menimbulkan masalah bau badan dalam kalangan kanak-kanak adalah seperti:

  • Proses kematangan atau akil baligh yang cepat
  • Sindrom fish odor
  • Pemakaian pakaian dengan material yang tidak sesuai seperti sintetik
  • Mempunyai kelenjar peluh yang lebih banyak
  • Pengambilan diet pemakanan harian yang terdiri daripada makanan yang mengeluarkan bau seperti bawang
  • Masalah kesihatan seperti kencing manis, fenilketonuria (phenylketonuria) dan hiperhidrosis.

Fakta Mengenai Bau Badan

Berikut adalah beberapa fakta mengenai bau badan yang mungkin anda perlu ketahui sebelum kita mengetahui petua dan cara hilangkan bau ketiak. Antara faktanya adalah seperti:

Cara Hilangkan Bau Ketiak Petua yang Boleh Diamalkan - dua kelenjar

1. Dua kelenjar berbeza

Adalah normal untuk setiap individu untuk berpeluh kerana peluh itu sendiri berperanan untuk menyejukkan suhu badan. Terdapat 2 kelenjar peluh di dalam badan iaitu ekrin (eccrine) dan apokrin (apocrine). Kelenjar peluh ekrin terdapat di seluruh badan yang berfungsi untuk mengawal suhu badan. Manakala kelenjar peluh apokrin pula berada di kawasan yang mempunyai folikel rambut yang banyak seperti kulit kepala dan bahagian ketiak. Cairan yang dihasilkan kelenjar ini lebih bersifat lemak dan cenderung untuk berbau.

2. Rambut berbau

Masalah rambut yang berbau bukanlah disebabkan oleh kelenjar apokrin, tetapi ia disebabkan bakteria. Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, bakteria memecah lemak di kelenjar apokrin yang akhirnya mewujudkan masalah bau yang busuk. Jadi, semakin lebat rambut anda pada bahagian-bahagian tertentu, semakin banyak bakteria dan semakin cenderung untuk rambut menjadi busuk. 

3. Pengaruh makanan

Pengambilan makanan tertentu turut menyumbang kepada masalah bau badan. Ini terutamanya apabila anda memakan makanan berbau seperti bawang putih. Ia merupakan antara punca penyebab badan berbau. 

4. Tekanan berlebihan

Mengalami tekanan secara berlebihan juga boleh menyebabkan badan anda mengeluarkan peluh dengan banyak. Jika anda merupakan individu yang sering mengalami tekanan, pastikan anda cuba mendapatkan bantuan untuk membantu anda meringankan tekanan yang anda hadapi. Ia pastinya dapat membantu mengurangkan risiko untuk mengalami badan berbau.

5. Penggunaan deodoran

Masalah ketiak berbau boleh diatasi dengan menggunakan deodoran. Ia boleh dianggap sebagai ‘pertahanan utama’ untuk melawan dan mencegah masalah bau ketiak yang busuk. Kandungan di dalam deodoran dipercayai dapat membantu untuk menghentikan pengeluaran peluh yang disebabkan melakukan aktiviti secara berlebihan.  

Kaitan Deodoran, Antipeluh dan Kanser Payudara

Ada yang mengatakan penggunaan deodoran boleh meningkatkan risiko kanser payudara, adakah kenyataan itu benar?

Antipeluh (antiperspirant) adalah produk kebersihan peribadi yang mengandungi agen kimia untuk mengurangkan peluh atau perpeluhan dengan berkesan. Anda boleh mencari antiperspirant di mana-mana pasaran sebagai semburan, krim, roll-on atau stik. Apabila digunakan pada permukaan kulit, ramuan aktif antiperspirant pada awalnya akan menghalang peluh mencapai permukaan kulit. Kemudian ia akan mengurangkan bakteria yang menyebabkan bau badan.

Sama seperti produk antipeluh, deodoran adalah bahan yang digunakan untuk mengawal dan menghilangkan bau badan yang tidak menyenangkan. Dengan wangian yang merupakan bahan antipeluh, deodoran mengandungi bahan-bahan yang membantu menyembunyikan bau badan yang dihasilkan oleh bakteria bau. Walau bagaimanapun, produk ini tidak dapat mencegah pengeluaran peluh pada permukaan kulit.

Kedua-dua produk ini adalah digunakan pada permukaan kulit yang biasanya menghasilkan bau yang tidak menyenangkan seperti pada bahagian ketiak. Antiperspirant dan deodoran juga boleh digunakan di bahagian lain badan yang cenderung berpeluh secara berlebihan. Produk ini cenderung untuk hilang apabila dibasuh selepas mandi. Anda perlu memakai semula produk antipeluh atau deodoran selepas anda melakukan sebarang aktiviti intensiti tinggi. Tetapi pastikan anda membersihkan diri sebelum mengaplikasikan sebarang produk antipeluh atau deodoran. Jika tidak, masalah bau ketiak anda akan menjadi lebih buruk. 

Cara Hilangkan Bau Ketiak Petua yang Boleh Diamalkan - deodoran

Adakah Kedua Produk Ini Menyebabkan Kanser Payudara?

Terdapat beberapa teori mendakwa terdapat hubung kait tentang penggunaan produk antiperspirant dengan beberapa penyakit maut termasuk kanser payudara. Teori-teori ini berdasarkan pada fakta bahawa kebanyakan kanser payudara akan berkembang di kawasan bawah ketiak. Dan antiperspirant yang kebanyakannya digunakan pada ketiak supaya ia boleh memberi kesan bahagian luar atas payudara ini juga. 

Di samping itu, bahan-bahan aktif rumusan antipeluh terutamanya termasuk metallic salts, aluminum chloride dan aluminum chloral hydrate. Bahan kimia ini apabila menyerap ke kulit, ia boleh berinteraksi dengan gen dalam badan dan akhirnya mewujudkan ancaman kanser dalam sel. Bahan kimia ini juga boleh mengganggu proses fungsi hormon wanita yang dinamakan estrogen yang akhirnya akan meningkatkan pertumbuhan sel-sel kanser payudara.

Walau bagaimanapun, seorang pakar yang belajar di bidang kanser dari Persatuan Kanser Amerika telah menyakinkan bahawa teori-teori ini tidak mempunyai bukti yang meyakinkan dan kekurangan sumber-sumber kepercayaan. 

Sehingga kini, tiada laporan terbukti mengenai antiperspirant yang menyebabkan risiko penyakit seperti kanser payudara atau masalah kesihatan lain. Memang ada beberapa bahan dalam antiperspirant yang menyebabkan masalah payudara, tetapi bahan kimia ini tidak menyebabkan kesan berbahaya yang membawa kepada kanser payudara. Kita harus tahu bahawa kanser payudara adalah penyakit maut dan bukan hanya dapat dikesan oleh satu penyebab tunggal seperti penggunaan produk anti-bau.

Sebagai kesimpulan, setiap produk mempunyai kelebihannya, tetapi disarankan untuk memilih yang mengandungi bahan-bahan semula jadi. Disebabkan potensi risiko aluminium yang menyebabkan penyakit maut, anda juga harus mengelakkan produk yang mengandungi agen ini. Mencipta bau badan yang baik harus disertai dengan keselamatan.

Bagaimana jika anda mempunyai masalah bau ketiak dan penggunaan deodoran atau sebarang produk antipeluh tidak dapat membantu mengatasi masalah anda, adakah terdapat cara hilangkan bau ketiak yang lain?

Cara Hilangkan Bau Ketiak

Jika anda mengalami masalah bau ketiak dan dan sedang mencari cara hilangkan bau ketiak, teruskan membaca artikel ini. Berikut adalah beberapa perkongsian petua cara semula jadi yang mungkin dapat dijadikan cara hilangkan bau ketiak anda.

1. Cuka epal

Antara petua cara hilangkan bau ketiak adalah dengan menggunakan cuka epal atau apple cider. Ia pada awalnya mungkin akan mengeluarkan bau yang agak masam, tetapi cuka dipercayai merupakan bahan yang amat berkesan dalam menyahkan bau badan, sekali gus pastinya ia merupakan cara hilangkan bau ketiak yang berkesan untuk anda. 

Jika anda berminat untuk menggunakan kaedah ini, anda hanya perlu tuangkan cuka ke dalam mangkuk. Celupkan bebola kapas ke dalam cuka dan sapukan ke bahagian ketiak anda. Atau cara lain, anda boleh bilas ketiak anda dengan cuka ketika mandi.

2. Bicarbonate soda

Ia merupakan antara bahan yang digunakan untuk membuat kuih atau kek. Tetapi ia juga merupakan antara salah satu bahan yang boleh digunakan sebagai cara hilangkan bau ketiak. 

Untuk menggunakan petua ini, anda boleh mencampurkan 1 sudu jus lemon bersama 1 sudu bicarbonate soda atau serbuk penaik. Sapukan campurkan pes ini pada ketiak anda dan biarkan ia seketika sebelum membilasnya dengan air. Jika anda tidak mempunyai jus lemon, anda boleh menggantikannya dengan tepung jagung bersama air. Sekiranya anda tidak mahu menggunakan jus lemon atau tepung jagung, anda boleh terus mencampurkan serbuk penaik dengan air dan menyapunya pada ketiak selepas mandi.

3. Serbuk sandalwood

Ia merupakan sejenis herba yang boleh di dapati di kedai yang menjual herba. Atau jika anda bernasib baik, anda boleh mendapatkannya di pasaraya dan dijual secara pek komersial di kedai kecantikan. 

Cara Hilangkan Bau Ketiak Petua yang Boleh Diamalkan - serbuk sandalwood

Untuk menggunakan kaedah ini sebagai cara hilangkan bau ketiak, anda boleh mencampurkan serbuk ini dengan air sehingga ia menjadi pes. Dan sapukan ia pada ketiak. Biarkan ia sehingga kering sebelum membilasnya dengan air bersih.

4. Sengkuang 

Sekuang sememangnya enak di makan. Ia boleh dianggap sebagai makanan yang dapat menyejukkan badan anda. Tetapi sengkuang juga merupakan satu bahan yang boleh digunakan sebagai cara hilangkan bau ketiak. 

Caranya adalah dengan mengisar halus sengkuang sehingga menjadi jus dan disapukan pada ketiak. Bahan ini dikatakan dapat menghilangkan bau sehingga 10 jam lamanya. Menarik bukan? Jadi tidak salah untuk mencubanya.

5. Lemon

Lemon merupakan satu bahan semula jadi yang menawarkan pelbagai manfaat dan kebaikan untuk kesihatan seperti membantu masalah penghadaman, dapat mempertingkatkan penyerapan mineral malah amat bersesuaian untuk diambil oleh individu yang ingin mengurangkan berat badan. 

Selain itu, lemon juga boleh digunakan sebagai salah satu bahan bagi cara hilangkan bau ketiak yang dihadapi. Caranya amat mudah. Anda hanya perlu menghiris lemon dan menggosoknya secara perlahan-lahan pada ketiak. Selain itu anda juga boleh gunakan perahan jus lemon dan disapukan kepada ketiak atau basahkan tuala dengan jus lemon dan dengan kaedah yang sama, sapukan pada ketiak selepas mandi. 

Untuk pengetahuan anda, selain dapat membantu menghilangkan bau busuk ketiak, lemon juga dikatakan dapat membantu mencerahkan kulit yang kehitaman pada bahagian ketiak. Tetapi adakah anda tahu bahawa ketiak hitam mungkin didasari oleh masalah kesihatan?

Ketiak Hitam Merupakan Petanda Penyakit Berbahaya

Kebiasaannya, bahagian bawah lengan atau ketiak akan mempunyai warna yang sama dengan kulit. Akan tetapi, terdapat satu kondisi yang akan menyebabkannya berubah warna menjadi gelap dan kondisi itu dinamakan acanthosis nigricans

Ia merupakan kondisi kulit yang boleh menyebabkan perubahan pigmentasi dan ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Menurut pakar, acanthosis nigricans merupakan kondisi yang disebabkan oleh genetik. Namun begitu, ia juga merupakan indikator awal bahawa individu yang mengalaminya menghidapi beberapa jenis penyakit berbahaya, seperti:

ara Hilangkan Bau Ketiak Petua yang Boleh Diamalkan - ketiak hitam

1. Obesiti

Individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti lebih mudah terdedah kepada kesan insulin. Kandungan insulin yang tinggi dalam darah akan menyebabkan pertambahan dalam penghasilan sel pigmentasi kulit lalu mengakibatkan kulit menjadi gelap.

2. Diabetes

Individu yang mempunyai obesiti selalunya turut menghidapi diabetes terutamanya diabetes jenis 2. Anda yang menghidapi kedua-dua kondisi ini harus berhati-hati kerana ia akan meningkatkan risiko kondisi acanthosis nigricans.

Sindrom hormon

Terdapat beberapa kondisi yang mampu mengubah paras insulin lalu mengakibatkan acanthosis nigricans. Kondisi tersebut termasuklah:

  • Sindrom ovari polisistik
  • Sindrom Cushing
  • Sindrom Acromegaly
  • Sindrom Hypothyroidsm

Kanser

Terdapat beberapa kes yang membuktikan bahawa perubahan warna kulit pada ketiak merupakan petanda awal kanser. Jika ini berlaku, selalunya kanser tersebut akan menyerang perut, hati atau kolon. 

Pertumbuhan tumor pada kawasan ini merupakan punca pigmentasi kulit berubah warna. Selain ketiak dan bahagian badan yang lain, perubahan warna kulit ini juga boleh dilihat pada sekitar mulut anda. Kondisi ini dinamakan sebagai malignant acanthosis nigricans.

Selain daripada penyakit-penyakit berbahaya di atas, ketiak hitam juga mungkin merupakan kesan daripada pengambilan ubat-ubatan, seperti:

  • Insulin
  • Hormon pertumbuhan
  • Pil perancang
  • Corticosteroids, seperti prednisone (Rayos)
  • Niacin (Niacor) yang berdos tinggi

Langkah Berwaspada

Untuk mendapatkan sebarang kepastian mengenai masalah kesihatan ini, anda perlu berjumpa dengan doktor untuk melakukan diagnosis dan pemeriksaan awal. Ini boleh membantu anda mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Jika tidak, masalah ketiak hitam anda hanyalah disebabkan faktor kebersihan, jadi anda perlu memilih produk kesihatan yang sesuai dengan kulit anda. Jika masih musykil, dapatkan bantuan pakar kulit untuk membantu anda mengatasi masalah ketiak hitam ini. 

Pada masa yang sama, anda sewajarnya menjalani gaya hidup yang sihat agar kesihatan, kebersihan dan kecantikan anda sentiasa pada tahap yang baik. Jika anda berdepan dengan masalah bau ketiak, anda boleh mencuba petua yang dinyatakan di atas. Walaupun mungkin tidak dapat dibuktikan keberkesanannya, tidak ada salahnya untuk mencuba sebagai cara hilangkan bau ketiak. Semoga berjaya mengatasi masalah bau ketiak yang dihadapi!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.