Dalam perbandingan kajian yang dilakukan pada tahun 2014, pesakit kanser payudara dengan tahap vitamin D yang tinggi (lebih daripada 32ng / mL) pada masa diagnosis mempunyai kadar kematian separuh daripada pesakit yang mempunyai tahap vitamin D yang rendah ( kurang daripada 14ng / mL). Kanser kolorektal, kanser prostat, kanser pundi kencing dan Non-Hodgkin Lymphoma juga dilaporkan mendapat manfaat daripada pendedahan kepada cahaya matahari.
Pendedahan kepada matahari juga dikaitkan dengan pengurangan tekanan darah tinggi disebabkan nitrat oksida yang diransang oleh sinar UV. Nitrogen oksida yang terdapat pada kulit manusia didapati bergerak kepada saluran darah apabila tubuh terdedah kepada sinar UVA. Nitrik oksida dikenali sebagai ejen mengendurkan saluran darah, seterusnya menyebabkan pengurangan tekanan darah.
Selain vitamin D dan nitrik oksida, pendedahan kepada matahari didapati menggalakkan pengeluaran melatonin, serotonin dan mengatur kitaran circadian, jam biologi tubuh manusia. Ini seterusnya, akan menggalakkan waktu tidur yang lebih baik dan kesejahteraan emosi.
Keburukan cahaya matahari
Kesan buruk pendedahan kepada cahaya matahari termasuklah perkembangan kanser kulit dan penuaan pada kulit. Wanita yang mengalami selaran matahari melepuh sebanyak lima kali atau lebih di antara umur 15 dan 20 tahun, memiliki risiko melanoma yang lebih tinggi, iaitu kanser kulit paling agresif sebanyak 80% berbanding wanita yang tidak mengalaminya.
Melanoma adalah kanser kulit yang timbul dari melanosit, sel-sel yang mengawal pigmentasi kulit. Selain kemungkinan faktor genetik, sinar ultraviolet daripada pendedahan cahaya matahari boleh mendorong pembentukannya. Kanser kulit lain seperti karsinoma sel skuamosa dan karsinoma sel basal juga boleh dikaitkan dengan pendedahan cahaya matahari.
Patutkah saya mengehadkan atau meningkatkan pendedahan kepada cahaya matahari?
Kanser kulit dan penuaan mungkin membuatkan anda risau untuk selalu mendedahkan diri kepada cahaya matahari. Tetapi kaitan antara melanoma dan sinar ultraviolet adalah lebih kompleks daripada yang anda fikirkan. Pendedahan kepada matahari tanpa berlakunya selaran matahari dikaitkan dengan pengurangan risiko melanoma, sementara selaran matahari meningkatkan risiko melanoma sehingga dua kali ganda. Malah, kajian mendapati pekerja di luar yang terdedah kepada matahari sebenarnya kurang mengalami melanoma berbanding mereka yang bekerja di dalam bangunan.