backup og meta

Selain Leher, Ketiak Juga Boleh Jadi Hitam Semasa Hamil, Usah Malu Ini 5 Cara Boleh Atasinya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 30/08/2022

    Selain Leher, Ketiak Juga Boleh Jadi Hitam Semasa Hamil, Usah Malu Ini 5 Cara Boleh Atasinya!

    Masalah ketiak hitam saat hamil adalah keadaan normal yang boleh terjadi pada mana-mana ibu mengandung. Jangan bimbang, ada langkah mengatasi yang boleh dilakukan! 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini

    Perubahan pigmen punca ketiak hitam saat hamil

    Sesetengah perubahan kulit yang berlaku ketika mengandung seperti ketiak hitam saat hamil adalah disebabkan oleh kesan perubahan hormon pada pelbagai struktur tubuh. 

    Selalunya perubahan yang dialami adalah dianggap sesuatu yang normal dan tidak berkaitan dengan penyakit. 

    Perubahan pigmentasi yang paling biasa pada kehamilan disebut hiperpigmentasi atau kegelapan kulit. 

    Masalah kulit yang menjadi gelap ini dipercayai disebabkan oleh peningkatan tahap hormon estrogen, progesteron dan hormon perangsang melanosit lebih tinggi daripada biasa. 

    Umumnya, hormon perangsang melanosit berfungsi dalam penghasilan sel pigmen atau dikenali sebagai melanosit – untuk menghasilkan lebih banyak melanin.

    Bahagian tubuh yang lebih gelap sebelum kehamilan seperti areola, puting, kulit kemaluan, ketiak dan celah kelangkang cenderung menjadi lebih gelap saat hamil. 

    Tidak dinafikan walaupun kebanyakan perubahan adalah untuk tempoh singkat semasa kehamilan, namun ada juga wanita yang mengalaminya secara kekal.

    Jadi ada ke langkah mengatasi yang boleh dilakukan untuk menghilangkan masalah ketiak hitam saat hamil? 

    Langkah mengatasi masalah ketiak hitam saat hamil 

    Selain daripada kesakitan dan kesukaran yang perlu dilalui semasa melahirkan anak, perubahan fizikal merupakan antara salah satu cabaran ketika mengandung.

    Antara perubahan yang terpaksa dihadapi adalah berkaitan warna kulit pada ketiak.

    Betul, ia tidak menyakitkan, tetapi sedikit sebanyak, keadaan tersebut boleh mengganggu dan mempengaruhi keyakinan diri seorang wanita, kan?

    ketiak hitam saat hamil

    Walaupun perubahan warna kulit atau hiperpigmentasi ini adalah keadaan tipikal bagi wanita yang sedang hamil dan dikatakan akan hilang beberapa bulan selepas selamat bersalin, namun, adakalanya ia tidak seperti yang diharapkan.

    Ada wanita perlu berdepan masalah tersebut untuk tempoh yang lama, malah mungkin menjadi perubahan kekal.

    Jadi berikut adalah beberapa petua dan langkah mengatasi masalah ketiak hitam saat hamil yang boleh dicuba.

    1. Elakkan pakaian ketat

    Cara terbaik untuk membantu ketiak anda kembali kepada keadaan lebih baik adalah dengan mengelakkan perkara yang boleh menjadikannya lebih gelap.

    Contohnya, memakai pakaian bahagian atas yang ketat. 

    Ia boleh mengakibatkan banyak geseran pada ketiak, sekali gus menyebabkan kerengsaan kulit dan akhirnya membuatkannya menjadi gelap. 

    Untuk membantu mengatasi masalah perubahan warna kulit di bawah lengan adalah dengan memilih pakaian longgar. 

    Pastikan juga bahagian bawah lengan anda boleh bernafas ya!

    2. Mencabut atau mencukur

    Pastinya anda sudah biasa mencukur atau mencabut bulu ketiak, kan? Tetapi mungkin selepas ini anda ingin beralih kepada kaedah alternatif lain.

    Kenapa? Ini kerana sama ada mencukur atau mencabut bulu, kedua-duanya adalah cara yang paling banyak mengakibatkan bawah lengan anda menjadi gelap. 

    Apa kata anda cuba kaedah penyingkiran bulu dengan waxing atau prosedur laser? Ia dapat memberikan kesan lebih baik pada ketiak.

    Selain itu, elakkan daripada mandi kolam berklorin, air garam atau pun menggosok selepas anda membuang atau menyingkirkan bulu bawah lengan.

    Jika tidak, ia mungkin menyebabkan anda mengalami kerengsaan kulit dan akhirnya menjadikannya gelap.

    ketiak hitam saat hamil

    Langkah mengatasi masalah ketiak hitam saat hamil #3. Pemilihan deodoran

    Penggunaan deodoran yang tidak bersesuaian juga boleh menyebabkan usaha anda untuk memutihkan bahagian bawah lengan tidak berhasil.

    Ia boleh menjadi sangat tidak produktif apabila deodoran digunakan mengandungi terlalu banyak bahan yang boleh membahayakan kulit, menjadikannya kering dan gelap. 

    Jika ia adalah kesan yang anda alami pada kulit ketiak, mungkin sudah tiba masanya untuk anda menukar kepada deodoran lain.

    Paling penting, perhatikan kandungannya. Sebaiknya, pilihlah deodoran tanpa kandungan alkohol, paraben dan aluminium klorida.

    Ini kerana kulit bawah lengan anda adalah sama halus seperti kulit wajah.

    4.  Lidah buaya

    Penggunaan bahan semula jadi seperti lidah buaya juga dapat membantu mengatasi ketiak gelap. 

    Ini kerana ia mengandungi bahan bersifat antibakteria yang menenangkan dan mampu mencerahkan kulit. 

    Potong daun lidah buaya segar dan ambil gelnya. Lakukan urutan lembut bersama gel pada bahagian bawah lengan anda.

    ketiak hitam saat hamil

    Biarkan ia kering selama lebih kurang 20 minit, kemudian bilasnya dengan air suam.

    Jika tiada pokok lidah buaya, anda boleh menggantikannya dengan gel lidah buaya yang terdapat di pasaran. 

    Ulangi proses ini setiap hari untuk menjadikan bawah lengan anda lebih cerah.

    5. Timun bantu atasi ketiak hitam saat hamil

    Tahu tak sebenarnya kulit pada bahagian ketiak sukar untuk bernafas? 

    Ditambah pula dengan peluh serta keadaan panas berterusan, menjadikan bawah lengan adalah tempat sempurna untuk bakteria berkembang dan menyebabkan jangkitan serta ketiak hitam.

    Sebagai langkah mengatasi keadaan itu, anda boleh gunakan timun untuk ‘menenangkan’ bahagian tubuh tersebut.

    Tambahan pula, timun mempunyai fungsi agen pemutihan yang boleh membantu mencerahkan kulit.

    Potong timun menjadi kepingan dan gosokkan terus pada bawah lengan. Selepas 10 minit, basuh dan keringkan.

    Ulang petua ini 2x sehari.

    Kesimpulannya 

    Kulit bawah lengan gelap adalah masalah tipikal yang boleh terjadi kepada sesiapapun, terutamanya pada wanita yang sedang mengandung.

    Untuk menghilangkan masalah ketiak hitam saat hamil tidaklah sesukar yang disangka, cuma anda perlu amalkan tabiat dan memilih produk yang betul.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 30/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan