Durian Belanda, Bolehkah Ia Mencegah Kanser?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Jika tiba musim durian, pasti terdapat pelbagai jenis durian yang boleh anda dapatkan dari pasaran. Antara jenis durian yang agak mendapat permintaan yang tinggi adalah seperti durian D24, Musang King dan Udang Merah. Namun, bagaimana pula dengan durian belanda? Adakah ia sama seperti durian lain? Apakah kebaikan dari buah ini? Adakah benar ia boleh membantu mencegah kanser? Ikuti perkongsian ini untuk mendapatkan lebih maklumat lanjut. 

Apa Itu Durian Belanda?

Pokok durian belanda adalah merupakan tumbuhan yang berasal dari benua Amerika, Caribbean dan Afrika. Ia dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu ketika era penjajahan Barat. Buah yang berduri ini mempunyai isi putih dan biji coklat bersaiz sederhana besar dengan keunikan rasa yang tersendiri. Ia telah ditanam secara komersial dan meluas di Asia untuk dijadikan pelbagai produk makanan dan minuman. 

Di Indonesia, buah ini dikenali sebagai Sirsak. Durian belanda yang berbentuk seakan seperti mangga dengan duri bersama kulit berwarna hijau adalah tumbuhan yang tumbuh di kawasan tropika, yang turut dikenali sebagai graviola di Amerika Latin dan custard apple. Buah ini boleh membesar sehingga saiz 12 inci panjang dan 6 inci lebar dengan berat beberapa kilogram

Buah ini dikatakan berasal dari kumpulan Annona muricata. Ia mempunyai gen yang sama seperti cherimoya dan dari keluarga buah Annonaceae. Keunikan buah ini bukan sahaja pada bentuknya, tetapi ia turut digambarkan sebagai buah yang unik berikutan rasanya yang dikatakan adalah dari gabungan buah strawberi dan epal bersama rasa masam-masam manis, yang berlawanan sekali dengan teksturnya yang berkrim.

Antara kelebihan yang dimiliki oleh buah durian belanda ini termasuk mengandungi karbohidrat, fruktosa, amyloid, asid sitrik, manganese, sukrosa, reticuline, vitamin C, vitamin B1 dan vitamin B2. Apakah manfaat kesihatan durian belanda ini? Ia dikatakan sebagai ubat alternatif bagi rawatan kanser, adakah dakwaan ini benar? Teruskan membaca artikel ini. 

Nutrisi Durian Belanda

Durian belanda biasanya dimakan secara mentah dengan memotong buahnya kepada separuh dan ‘mencedok’ isinya. Buah ini adalah rendah kalori tetapi tinggi dalam beberapa nutrien seperti serat dan vitamin C. Satu hidangan buah ini seberat 100 gram mengandungi:

  • Kalori – 66 kcal
  • Karbohidrat – 16.84 g
  • Gula -13.54 g
  • Serat – 3.3 g
  • Lemak – 0.3 g
  • Protein – 1 g
  • Thiamine (vit. B1) – 0.07 mg 
  • Riboflavin (vitamin B2) – 0.05 mg 
  • Niacin (vit. B3) 0.9 mg 
  • Asid Pantothenik – 0.253 mg
  • Vitamin B6 – 0.059 mg 
  • Folat – 14 μg 
  • Choline –  7.6 mg
  • Vitamin C – 20.6 mg
  • Kalsium – 14 mg 
  • Zat besi – 0.6 mg 
  • Magnesium – 21 mg 
  • Fosforus – 27 mg 
  • Kalium – 278 mg
  • Natrium – 14 mg
  • Zink – 0.1 mg 

Manfaat Kesihatan Durian Belanda

Setiap bahagian durian belanda didapati mempunyai kelebihan tersendiri. Daun durian belanda dapat membantu sakit kerongkong manakala akarnya dipercayai boleh membantu mengurangkan gejala kencing manis.

Minyak yang terhasil daripada daun atau buahnya yang masih muda sekiranya dicampurkan dengan minyak zaitun dapat digunakan untuk mengatasi masalah sakit sendi dan sengal-sengal badan.

Kulit pokok durian belanda dipercayai dapat membantu pesakit jantung, masalah batuk dan mungkin mengembalikan kesuburan pasangan yang sukar mendapatkan zuriat.

Selain itu, jus buah durian belanda kini banyak dijual dalam bentuk tin dan kotak. Jus yang dihasilkan daripada buah durian belanda boleh diminum untuk membantu meredakan demam, membunuh cacing (masalah biasa bagi kanak-kanak) dan sebagai ubat cirit-birit.

Apa manfaat lain buah unik ini?

1. Tinggi antioksidan

Banyak manfaat yang ditawarkan dari buah ini adalah disebabkan oleh kandungan antioksidannya yang tinggi. Antioksidan adalah sebatian yang membantu untuk meneutralkan sebatian berbahaya yang dipanggil radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan kepada sel-sel di dalam badan. 

Sesetengah penyelidikan mendapati bahawa antioksidan boleh memainkan peranan dalam mengurangkan risiko beberapa penyakit termasuk penyakit jantung, kanser dan diabetes. 

Satu kajian tiub ujian memperlihatkan sifat-sifat antioksidan buah ini mendapati bahawa ia dapat melindungi secara berkesan kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. 

Satu lagi kajian tabung uji mengukur antioksidan dalam ekstrak buah durian belanda ini menunjukkan bahawa ia membantu mencegah kerosakan pada sel. Ia juga mengandungi beberapa sebatian tumbuhan yang berfungsi sebagai antioksidan, termasuk luteolin, quercetin dan tangeretin.

Walau bagaimanapun, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan manfaat antioksidan yang terdapat dalam durian belanda ini kepada manusia. 

Durian Belanda, Bolehkah Ia Mencegah Kanser - stabilkan gula

2. Melawan bakteria

Sebagai tambahan kepada sifat antioksidannya, beberapa kajian menunjukkan bahawa buah ini berkemungkinan untuk mengandungi kandungan antibakteria yang kuat juga. 

Dalam satu kajian tiub, ekstrak durian belanda dengan kepekatan yang berbeza-beza digunakan pada pelbagai jenis bakteria yang diketahui menyebabkan penyakit mulut. Buah ini dengan berkesan dapat membunuh pelbagai jenis bakteria, termasuk bakteria penyebab kepada masalah gingivitis, kerosakan gigi dan jangkitan yis.

Satu lagi kajian tabung uji menunjukkan bahawa ekstrak buah ini juga dapat bekerja melawan bakteria yang bertanggungjawab terhadap jangkitan cholera dan Staphulococcus. 

Walaupun menjanjikan hasil yang memberangsangkan, perlu diingatkan bahawa setiap ujian tiub dan kajian yang dilakukan ini menggunakan ekstrak durian belanda yang sangat pekat. Ia adalah jauh lebih besar dan tinggi daripada jumlah yang biasa anda ambil melalui diet pemakanan harian anda. 

Untuk menguji keberkesanan dan kesan-kesan antibakteria buah ini kepada manusia, masih terdapat kajian lanjut yang diperlukan. 

3. Mengurangkan keradangan

Sesetengah kajian terhadap haiwan mendapati bahawa durian belanda dan komponennya dapat membantu memerangi keradangan. 

Keradangan adalah tindak balas imun yang normal terhadap kecederaan, tetapi bukti-bukti lain menunjukkan keradangan yang kronik boleh menyumbang kepada penyakit. 

Dalam satu kajian terhadap tikus yang dirawat dengan ekstrak buah ini, mendapati ia dapat mengurangkan bengkak dan keradangan. Dalam satu kajian lain juga memberikan hasil keputusan yang sama, iaitu penggunaan ekstrak buah ini dapat mengurangkan bengkak pada tikus sehingga 37%. 

Walaupun pada hakikatnya, kajian dan penyelidikan yang dilakukan adalah terhad pada haiwan, ini mungkin sangat bermanfaat dalam rawatan masalah gangguan kesihatan seperti arthritis. Dalam satu kajian haiwan, ekstrak durian belanda didapati dapat mengurangkan tanda keradangan tertentu yang melibatkan arthritis. 

Namun, masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk menguji dan menilai ciri-ciri antiradang buah ini.

4. Menstabilkan gula dalam darah

Durian belanda telah menunjukkan keberkesanannya dalam membantu mengawal paras gula dalam darah bagi beberapa kajian yang melibatkan haiwan. 

Dalam satu kajian, tikus diabetes telah disuntik dengan ekstrak buah ini selama dua minggu. Kumpulan tikus yang menerima suntikan ekstrak itu mempunyai tahap gula dalam darah yang 5x lebih rendah berbanding kumpulan tikus yang tidak dirawat. 

Dalam satu kajian lain menunjukkan, pemberian ekstrak buah ini kepada tikus diabetes dapat mengurangkan tahap gula dalam darah sehingga 75%. Walau bagaimanapun, pemberian ekstrak ini adalah pada jumlah yang tinggi dan melebihi kadar pengambilan harian biasa anda. 

Walaupun terdapat lebih banyak kajian terhadap manusia yang diperlukan, penemuan ini menunjukkan buah belanda boleh memberikan manfaat kepada individu penghidap diabetas apabila ia dilakukan bersama pengambilan makanan yang berkhasiat dan sihat bersama gaya hidup yang aktif.

5. Meningkatkan kesihatan mata

Seperti yang dimaklumkan awal tadi, buah ini kaya dengan antioksidan. Antioksidan, khususnya seperti vitamin C dan E, zink dan beta karoten dipercayai dapat mengurangkan risiko penyakit mata. Antioksidan juga dapat mengurangkan tekanan oksidatif, yang boleh menyebabkan katarak dan degenerasi makula yang berkaitan dengan usia.

6. Penjagaan kesihatan buah pinggang dan hati

Dalam satu kajian yang dijalankan di Malaysia, ekstrak buah durian belanda ini didapati selamat untuk digunakan kepada tikus yang dirawat untuk masalah buah pinggang dan hati. Pemerhatian yang sama turut dapat dilihat kepada manusia. 

Dalam satu kajian yang dilakukan di India, acetogenin dalam buah ini dikatakan dapat membunuh sel-sel malignan (malignantI) dari 12 jenis kanser, dengan kanser hati menjadi salah satu daripadanya. 

7. Tingkatkan kesihatan gastrousus

Buah yang dipanggil Sirsak ini juga memiliki ciri antiulser. Ia menindas kerosakan oksidatif dan mengekalkan lendir (mukus) pada dinding gastrik. Ciri-ciri antioksida dan antiradang yang penting dalam buah ini dapat membantu meningkatkan kesihatan gastrousus. 

Dalam satu kajian yang dilakukan di Brazil, anthelmintic (keupayaan untuk membunuh parasit) pada sifat ekstrak daun buah ini telah dikaji. Penyelidik mengkaji kesan cacing parasit yang menyebabkan masalah gastrousus pada kambing biri-biri. Objektif kajian ini adalah untuk memeriksa kesan buah ini kepada telur dan parasit dalam bentuk dewasa. Kajian menyimpulkan bahawa buah ini mempunyai sifat anthelmintic. Dan, oleh sebab ia dapat membantu membunuh parasit dalam kambing biri-biri yang menyebabkan isu gastrousus, ia berkemungkinan akan dapat memberikan kesan yang sama kepada manusia. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk mengesahkan keberkesanan ini. 

Durian Belanda, Bolehkah Ia Mencegah Kanser - usus

8. Bantu sistem imun

Dalam satu kajian yang dilakukan di Korea menyatakan bahawa pengambilan buah belanda dapat meningkatkan imuniti badan. Ini boleh dikaitkan dengan sebatian bioaktif dalam buah ini. Pengambilan lisan ekstrak daun buah ini didapati dapat mengurangkan edema pada kuku kaki, yang biasanya disebabkan oleh sistem imun badan yang lemah.

Kajian ini menyimpulkan bahawa ekstrak daun ini mempunyai potensi untuk merangsang imuniti, dan ia dipercayai sesuai untuk digunakan kepada pesakit immunocompromised. Ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada diet untuk meningkatkan kualiti keseluruhan gaya hidup. 

Jus yang dihasilkan daripada buah ini didapati dapat memberikan lebih banyak mikro nutrien daripada pulpanya. Tetapi pulpa secara sendirinya mempunyai lebih banyak vitamin A daripada jus. Buah ini juga kaya dengan vitamin A yang dapat menguatkan dan meningkatkan sistem imun. Beta karoten, pendahulu dalam vitamin A juga turut menyumbang kepada peningkatan sistem imun. 

Dalam satu lagi laporan yang diterbitkan dalam jurnal oleh The University of West Indies menyatakan bahawa pesakit dengan pelbagai jenis kanser diberikan makanan berbeza, dan buah belanda menjadi salah satu daripadanya. Objektif percubaan ini, seperti yang dinyatakan dalam laporan tersebut adalah untuk meningkatkan sistem kekebalan pesakit.

9. Merawat demam

Buah yang berasal dari benua Amerika dan Carribean ini telah digunakan secara tradisional untuk merawat demam. Di Afrika, daunnya direbus untuk digunakan bagi merawat gejala demam dan kejang. Malah, dikatakan larva nyamuk Aedes aegypti, yang membawa dan menyebabkan demam denggi, turut menjadi lemah sebagai tindak balas terhadap ekstrak buah ini. 

Dalam kajian di India, buah ini dan jusnya bukan sahaja dapat merawat demam, tetapi ia juga bertindak sebagai astrigen untuk cirit-birit dan dysentery. Kaedah perawatan demam dengan buah ini digunakan secara meluas di Afrika. 

Durian Belanda Merawat Kanser, Mitos atau Fakta?

Buah yang turut dikenali sebagai guanabana dan Brazilian paw paw ini turut digunakan oleh pengamal ubatan herba untuk merawat sakit perut, demam, jangkitan parasit, dan hipertensi.

Walaupun kebanyakan kajian yang dilakukan adalah terhad kepada kajian dalam tabung uji, beberapa kajian yang dilakukan mendapati bahawa buah durian berpotensi membantu menghilangkan sel-sel kanser. 

Satu kajian tiub ujian merawat sel-sel kanser payudara dilakukan dengan ekstrak buah ini. Menariknya ia dapat mengurangkan saiz tumor, membunuh sel-sel kanser dan meningkatkan aktiviti sistem imun badan. 

Satu lagi kajian tabung uji melihat kesan ekstrak durian belanda pada sel leukemia, dikatakan dapat menghentikan pertumbuhan dan pembentukan sel-sel kanser. 

Tetapi benarkah ia boleh merawat kanser?

Walaupun terdapat kajian yang mencadangkan penggunaan buah ini untuk merawat kanser. Hakikatnya kajian tersebut tidak dijalankan atau diuji ke atas manusia, maka hasil keputusan kajian tidak dapat dibuktikan keselamatan atau keberkesanannya. Disebabkan itu, pakar perubatan melarang dan memberi amaran untuk menggunakan buah ini sebagai alternatif merawat kanser. 

Menurut Pengarah Klinikal Perubatan Naturopathic di sebuah hospital yang terletak di Atlanta, Dr Daniel Kellman, durian belanda telah dikaitkan dengan banyak tuntutan yang tidak berasas.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Medicinal Chemistry pada tahun 1997, mencadangkan sebatian durian belanda yang diuji pada sel-sel kanser payudara adalah lebih efektif daripada rawatan kemoterapi dalam memusnahkan sel-sel kanser. Namun, tanpa ujian klinikal, tiada data yang boleh menyokong cadangan tersebut. 

Menghubungkan dengan gangguan kesihatan lain

Kebanyakan kajian mengkaji derivatif asid lemak durian belanda yang dipanggil annonaceous aceteogenin. Acetogenin yang utama adalah annonacin, yang mempunyai racun dan kebiasaannya tidak akan dikaji dalam ujian klinikal. 

Memetik kajian daripada 2 penyelidikan, Dr Kellman mengatakan penggunaan buah ini secara lisan adalah diklasifikasikan sebagai berkemungkinan tidak selamat. Berdasarkan kajian kawalan kes di French West Indies, memakan buah ini boleh membawa kepada gangguan pergerakan seperti penyakit Parkinson. Selain itu, kajian turut menunjukkan teh yang diperbuat daripada daun dan batang pokok ini dikaitkan dengan neurotoxicity.

Secara umumnya, buah ini yang dihasilkan dalam bentuk suplemen herba mungkin boleh digunakan oleh pesakit kanser untuk mengurangkan dan melegakan simptom kanser yang dihadapi. Tetapi ia bukanlah pengganti untuk rawatan kanser arus perdana. Malah, pengambilan suplemen ini semasa menjalani kemoterapi, berkemungkinan akan mengurangkan keberkesanan agen kemoterapi berikutan interaksi antara ubat dan herba. 

Malah menurut Dr Amalina Bakri, Pakar Pelatih Bedah di bahagian surgikal dan trauma di Imperial College Healthcare NHS Trust di bawah seliaan The Royal College of Surgeons of England, menerusi kenyataan yang dibuat di akaun Twitter miliknya pada Ogos 2018, menafikan dakwaan kebanyakan rakyat Malaysia yang mengatakan jus durian belanda mampu merawat kanser. 

Menurut beliau, jika buah tersebut dapat merawat kanser, maka dia tidak perlu bersusah payah untuk melakukan penyelidikan dan kajian bersama rakan-rakannya untuk mencari penawar bagi merawat kanser.

Kesan Sampingan Durian Belanda

1. Keradangan mata

Biji dan kulit pokok buah durian belanda ini dianggap toksik. Ia mengandungi sebatian yang berpotensi beracun seperti anonaine, asid hydrocyanic, dan muricine. Ia boleh mengakibatkan keradangan mata.

Durian Belanda, Bolehkah Ia Mencegah Kanser - hamil

2. Wanita hamil dan menyusukan bayi

Wanita yang sedang hamil adalah tidak digalakkan untuk memakan buah ini. Ini kerana kandungan tenaga yang tinggi dalam sel-sel janin yang sedang berkembang akan mencetuskan aktiviti beracun buah ini yang berpotensi untuk tahap kesihatan ibu dan bayi, di mana risiko pada bayi adalah lebih tinggi. Pengambilan buah ini ketika mengandung dan menyusukan bayi adalah tidak selamat, maka hindari daripada memakannya.  

3. Penurunan berat badan drastik

Dalam kajian, pengambilan buah ini menunjukkan kemerosotan berat badan yang drastik pada tikus yang terlibat dalam eksperimen. Kesan ini juga boleh berlaku kepada manusia. Oleh itu, dapatkan pandangan dan nasihat daripada doktor jika anda merancang untuk mengambil buah ini untuk sebarang masalah berkaitan dengan berat badan anda. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.