backup og meta

Pemeriksaan Mata: Adakah Orang Malaysia Tahu Dan Faham Kepentingannya?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/04/2022

    Pemeriksaan Mata: Adakah Orang Malaysia Tahu Dan Faham Kepentingannya?

    Sebenarnya, pemeriksaan mata adalah sesuatu yang sangat penting dan perlu jadi rutin bagi setiap individu tidak kira jika ada masalah berkaitan organ ini atau tidak.

    Disebabkan itu, kami telah menjalankan sebuah tinjauan berkaitan kesedaran rakyat Malaysia tentang pemeriksaan mata.

    Jom sama-sama kita semua ikuti artikel untuk tahu hasil soal selidik ini dengan lebih lanjut!

    Pemeriksaan mata dalam kalangan penduduk Malaysia

    Berdasarkan tinjauan kami, didapati bahawa 70% penduduk Malaysia sudah pernah menjalani pemeriksaan mata manakala 30% lagi tidak pernah melakukannya.

    Ini menunjukkan setiap 1 daripada 3 orang penduduk negara kita tidak pernah buat pemeriksaan ini sedangkan ia adalah sangat penting dan perlu jadi rutin individu.

    Jika dilihat secara keseluruhan tinjauan, lebih daripada separuh individu di negara kita tahu dan faham akan kepentingan periksa mata.

    pemeriksaan mata

    Apa keadaan mata yang paling dirisaukan & banyak dialami rakyat Malaysia?

    Di Malaysia, kondisi yang paling dirisaukan oleh penduduk adalah masalah penglihatan dengan 95% individu yang menjalani pemeriksaan ini adalah untuk tujuan tersebut.

    Ia diikuti pula dengan kondisi mata gatal (13%), mata kering (10%), katarak (7%), jangkitan mata (5%), diabetik retinopati (4%), glaukoma (3%) dan degenerasi makular (1%).

    Di negara ini juga, kondisi yang banyak dialami oleh penduduk adalah masalah penglihatan dengan 92% individu didapati menghidapinya selepas menjalani periksa mata.

    Ia dituruti pula dengan kondisi mata gatal (17%), mata kering (14%), katarak (5%), jangkitan mata (3%), diabetik retinopati (2%), glaukoma (2%) dan degenerasi makular (1%).

    Dalam erti kata yang lebih mudah, lebih 90% penduduk di negara kita bimbang dan dalam masa yang sama mengalami kondisi masalah penglihatan seperti rabun jauh, rabun dekat dan sebagainya.

    Apa yang kita semua patut tahu & buat tentangnya?

    Untuk pengetahuan anda, kepentingan pemeriksaan ini adalah untuk mengesan sebarang masalah berkaitan organ ini pada peringkat awal – di saat ia boleh lagi dirawat.

    Ini sangat penting dan perlu dijadikan rutin agar kita semua dapat memperbaiki sebarang masalah penglihatan di samping mengetahui keadaan kesihatan tubuh badan.

    pemeriksaan mata

    Menurut American Academy of Ophthalmology, individu perlu memeriksa mata berpandukan:

    Bayi dan kanak-kanak di bawah usia 3 tahun

    Sebagai ibu bapa, anda perlu membawa anak berjumpa pakar pediatrik untuk memeriksa masalah mata biasa di usia muda seperti mata malas, mata juling atau mata tidak selaras.

    Di antara usia anak 3 ke 5 tahun pula, mereka perlu mendapatkan periksa mata yang lebih komprehensif bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang masalah penglihatan.

    Budak sekolah

    Sebelum mereka mula masuk ke alam prasekolah (biasanya pada usia 6 tahun), sila pastikan anda membawa anak berjumpa pakar mata untuk menjalani pemeriksaan organ ini.

    Kemudian, doktor pula yang akan menentukan seberapa kerap pemeriksaan itu perlu dijalankan berdasarkan kondisi mata anak anda agar tidak timbul sebarang masalah kelak.

    Orang dewasa

    Jika anda adalah seorang yang sihat dan mungkin tiada simptom berkaitan masalah pada mata, anda disarankan untuk mula melakukan pemeriksaan mata pada usia 40 tahun.

    Doktor juga akan menentukan kekerapan pemeriksaan ini berdasarkan keputusannya namun adalah tidak salah untuk anda melakukan dengan lebih awal.

    Warga emas

    Buat warga emas yang berusia 60 tahun ke atas, sila lakukan pemeriksaan ini sekurang-kurangnya 1 atau 2 kali dalam masa setahun tidak kira bagaimanapun kondisi mata anda.

    Tanpa mengira usia pula, anda mungkin perlu buat prosedur ini dengan lebih kerap jika anda:

    • Menggunakan cermin mata atau kanta lekap
    • Menghidapi penyakit yang kronik seperti diabetes
    • Mempunyai sejarah keluarga dengan masalah mata
    • Mengambil ubatan @ rawatan dengan kesan sampingan serius pada mata

    pemeriksaan mata

    COVID-19 dan kesannya terhadap pemeriksaan mata

    Sebelum COVID-19 melanda seluruh dunia, tinjauan kami menunjukkan 39% penduduk Malaysia melakukan periksa mata sekali setahun diikuti sekali dalam 2-3 tahun (19%), sekali dalam 4-5 tahun (8%) dan 34% lagi tidak ingat jika ada melakukannya.

    Sebelum era pandemik ini juga, 25% ibu bapa membawa anak mereka untuk periksa mata sekali setahun diikuti sekali dalam 2-3 tahun (13%), sekali dalam 4-5 tahun (8%) manakala 54% lagi kurang pasti tentangnya.

    Ini menandakan bahawa sebelum COVID-19 melanda, ramai orang di Malaysia sudah sedar, tahu dan faham mengenai kepentingan pemeriksaan mata terhadap individu.

    Namun dengan kedatangan pandemik ini, ia mungkin akan menjejaskan rutin pemeriksaan ekoran penutupan pusat kesihatan atau ketakutan untuk pergi ke tempat tersebut.

    Sewajarnya, pemeriksaan ini masih perlu diteruskan di era pandemik ini dengan kaedah yang lebih selamat dan efektif agar kesihatan mata dapat dipastikan dengan baik.

    Sekiranya anda tidak pernah periksa mata…

    Tidak dinafikan, masih ada segelintir individu di Malaysia yang tidak tahu atau tidak mahu untuk menjalani pemeriksaan ini atas alasan tertentu dan perkara ini perlu diubah.

    Berdasarkan tinjauan kami lagi, difahamkan bahawa mereka mungkin akan pergi melakukannya jika ada masalah penglihatan (74%), wujud simptom pada mata (25%), promosi di klinik mata (19%), saranan daripada orang lain (15%) dan lain-lain (3%).

    Sebenarnya, kalian mungkin tidak perlu untuk menunggu sehingga perkara di atas terjadi sebelum pergi membuat pemeriksaan kerana mungkin ketika itu anda akan terlambat.

    Sebaliknya, sila buat pemeriksaan ini dengan lebih kerap dan berpandukan pada informasi dan nasihat daripada doktor agar kesihatan mata anda akan lebih terjamin.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan