backup og meta

Berapa Lama Masa Yang Saya Ada Untuk Hidup Jika Hidap Kanser Hati Tahap Akhir?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 15/11/2022

    Berapa Lama Masa Yang Saya Ada Untuk Hidup Jika Hidap Kanser Hati Tahap Akhir?

    Hati siapa tak hancur apabila didiagnosis dengan kanser hati tahap 4? 

    Ia adalah tahap terakhir dalam mana-mana diagnosis barah dan kebiasaannya dikaitkan dengan kadar kematian yang sangat tinggi.

    Artikel ini akan membincangkan pilihan yang ada bagi mereka yang didiagnosis dengan kanser organ ini pada tahap 4.

    Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kanser, anda juga boleh klik di sini.

    Pengelasan kanser mengikut sistem TNM

    Kanser tahap 4 sering digelar sebagai kanser tahap akhir.

    Pada ketika ini, sel kanser yang berasal dari lokasi tertentu telah tersebar ke seluruh badan menyebabkan komplikasi serta simptom yang boleh mengancam nyawa.

    Sebagai contoh, bagi penghidap kanser hati, jika sel barah telah merebak ke paru-paru, mereka boleh mengalami masalah sesak nafas.

    Pengelasan kanser dibuat secara sistematik berdasarkan kepada penemuan ujian makmal menggunakan alat pengimbas seperti pengimbas CT dan pengimejan resonans magnet (MRI).

    Sistem yang diguna pakai secara meluas untuk mendiagnosis kanser dinamakan sebagai sistem TNM.

    kanser hati tahap 4

    • T merujuk kepada saiz tumor
    • N merujuk kepada integriti kelenjar limfa (adakah sel kanser sudah menerobos masuk?)
    • M merujuk kepada metastasis (proses di mana sel kanser telah tersebar ke organ lain)

    Walaupun umumnya kita tahu bahawa peringkat kanser ada 4, namun setiap peringkat tersebut mempunyai perincian yang lebih mendalam bagi membantu doktor untuk menjalankan protokol rawatan.

    Apa maksud diagnosis kanser hati tahap 4?

    Bagi kanser pada tahap 4, ia terbahagi kepada 2 iaitu tahap 4A dan tahap 4B.

    Kanser hati tahap 4 (A)

    Bagi penghidap kanser hati tahap 4A, proses metastasis belum lagi berlaku. 

    Proses pengelasannya merujuk kepada saiz tumor (satu atau lebih) dan ia telah tersebar ke kelenjar limfa berdekatan.

    Tiada sel kanser yang boleh dikesan pada organ lain seperti paru-paru dan tulang. 

    Maka simptom yang dialami oleh penghidap boleh jadi lebih ringan berbanding dengan penghidap kanser hati 4B.

    kanser hati tahap 4

    Kanser hati tahap 4 (B)

    Sama seperti kanser hati tahap 4A, tahap 4B juga dikelaskan mengikut saiz dan sel kanser yang telah tersebar ke kelenjar limfa.

    Namun, yang membezakan di antara keduanya adalah kanser tahap 4B telah pun merebak ke organ lain seperti tulang dan paru-paru.

    Manifestasi individu yang menghidap masalah ini boleh jadi serius dan mengancam nyawa.

    Berapa kadar survival pesakit kanser hati tahap 4?

    Prognosis (atau potensi kesembuhan) diramal oleh doktor berdasarkan kepada beberapa faktor.

    Apabila ia melibatkan kanser tahap akhir, penjelasan yang sering diberikan kepada pesakit seringkali berkait dengan berapa lama masa yang mereka ada untuk hidup.

    Apa yang anda perlu tahu adalah doktor bukan tuhan.

    Prognosis yang dikeluarkan oleh mereka adalah berdasarkan kepada situasi klinikal berserta faktor seperti:

    1. Jenis kanser hati
    2. Tahap penyebarannya ke organ lain. 
    3. Tahap kesihatan individu secara umum. 
    4. Jenis rawatan yang diambil dan tahap kepatuhan pesakit.
    5. Tindak balas rawatan yang diberi.

    Oleh sebab itulah prognosis bagi dua individu yang menghidap kanser organ ini pada tahap 4 boleh jadi berbeza.

    Menurut kajian, subjek yang mengalami masalah kanser hati metastatik (telah tersebar ke organ lain) mempunyai purata tahun untuk hidup di antara 4 hingga 11 bulan.

    kanser hati tahap 4

    Walau bagaimanapun, perkara ini bergantung kepada punca kanser hati tahap 4 dan bagaimana teruk kerosakan organ ini serta keberkesanan rawatan yang diberi.

    Menurut Persatuan Kanser Amerika (ACS), peratusan untuk hidup 5 tahun bagi penghidap kanser hati 4A adalah pada sekitar 11%.

    Walau bagaimanapun, nilai tersebut jatuh kepada 2% apabila proses metastasis telah berlaku (kanser hati tahap 4B).

    Adakah saya boleh sembuh daripada barah hati?

    Dalam istilah perubatan, terdapat satu proses yang disebut sebagai remisi. 

    Remisi adalah keadaan di mana, anda tidak menunjukkan sebarang simptom atau tanda menghidap barah hati selepas menjalani rawatan kanser.

    Namun ia tidak bermakna sel kanser sudah habis terbunuh dan anda akan hidup sihat.

    Teknologi perubatan yang maju telah memberikan kelebihan kepada mereka yang menghidap masalah kanser hati tahap 4 untuk mengalami remisi sepenuhnya (tiada simptom langsung).

    Walau bagaimanapun, peratusan perkara ini berlaku adalah sangat rendah dan doktor akan memantau penghidap secara berkala untuk memastikan sel kanser tidak kembali aktif.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 15/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan