backup og meta

6 Gaya Pemakanan Sihat Ini Sangat Ideal Untuk Penghidap Diabetes Jenis 1!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 30/11/2022

    6 Gaya Pemakanan Sihat Ini Sangat Ideal Untuk Penghidap Diabetes Jenis 1!

    Gaya pemakanan yang sihat sememangnya menjadi kunci utama dalam pengurusan pesakit diabetes jenis 1. Ini kerana, tanpa gaya pemakanan sihat, pastinya paras gula akan naik mendadak atau berkurangan secara tidak terkawal.

    Jadi, apakah corak atau pola pemakanan terbaik bagi pesakit diabetes jenis 1 untuk mengawal paras gula mereka?

    Baca lebih lanjut tentang Kencing Manis di sini.

    6 prinsip atau gaya pemakanan yang sihat untuk pesakit diabetes jenis 1

    Antara risiko terbesar yang boleh dialami oleh penghidap diabetes jenis 1 ialah hipoglisemia.

    Hipoglisemia merupakan satu keadaan di mana paras gula darah menjadi terlalu rendah.

    Apabila hipoglisemia berlaku, ia boleh menyebabkan simptom-simptom yang bukan sahaja mengganggu kehidupan seharian, tetapi juga membahayakan nyawa.

    Oleh itu, salah satu cara untuk mencegah keadaan ini adalah dengan memantau corak pemakanan setiap hari.

    Sebenarnya, tidak terdapat peraturan khusus berkenaan pemakanan pesakit diabetes jenis 1.

    Namun, enam gaya pemakanan sihat berikut boleh membantu anda untuk mengawal paras gula darah.

    Gaya pemakanan yang sihat 1: Konsisten dengan corak pemakanan

    gaya pemakanan yang sihat

    Bagi pesakit diabetes jenis 1, disiplin makan mengikut jadual setiap hari merupakan antara perkara yang paling penting untuk diamalkan.

    Untuk memastikan paras gula darah sentiasa terjaga dan terkawal, pastikan anda makan mengikut waktu yang sama setiap hari.

    Jika anda mengambil sarapan pada jam 9 pagi, pastikan anda konsisten bersarapan pada jam tersebut setiap hari.

    Jangan sesekali melambat-lambatkan waktu sarapan anda dengan sengaja. 

    Gaya pemakanan sihat 2: Banyakkan makan sayuran rendah karbo

    Anda juga amat disarankan untuk mengambil lebih banyak jenis sayuran yang rendah kandungan karbohidrat.

    Jenis sayuran seperti ini amat baik dan sesuai dengan gaya pemakanan pesakit diabetes jenis 1.

    Ini kerana, sayuran jenis ini mengandungi kandungan serat yang tinggi, selain tidak begitu mempengaruhi paras gula darah. 

    Gaya pemakanan yang sihat 3: Jangan tinggalkan sumber protein

    Ramai yang tidak tahu, kandungan protein dalam makanan sebenarnya boleh membantu mengawal paras gula darah.

    Oleh itu, anda mestilah mengambil jenis protein berkualiti tinggi setiap hari dalam makanan anda.

    Antaranya ialah seperti ikan, telur, kekacang dan juga tauhu.

    Jangan hadkan jenis protein anda kepada satu jenis sumber sahaja.

    Anda boleh pelbagaikannya dan hidangkan mengikut jenis masakan kegemaran anda. 

    Gaya pemakanan sihat 4: Ambil sumber karbohidrat kompleks

    Anda sangat disarankan untuk mengambil jenis karbohidrat kompleks dalam hidangan anda berbanding karbohidrat mudah.

    Ini kerana, karbohidrat kompleks perlu melalui satu proses yang panjang dalam sistem penghadaman anda sebelum ditukarkan menjadi gula untuk diserap ke dalam tubuh.

    Proses yang panjang ini boleh melambatkan penyerapan gula, sekali gus mengelakkan lonjakan paras gula darah.

    Antara contoh sumber karbohidrat kompleks adalah seperti bijirin penuh, kekacang, sayur brokoli, buah epal, lobak merah dan juga buah oren. 

    Gaya pemakanan yang sihat 5: Makan jenis lemak yang sihat

    gaya pemakanan yang sihat

    Lemak juga amat diperlukan sebagai salah satu sumber nutrien penting bagi tubuh.

    Namun, jumlahnya perlulah dikawal dan ia mestilah daripada jenis lemak sihat.

    Makanan yang mengandungi kandungan lemak akan membuatkan anda berasa kenyang lebih lama.

    Oleh itu, anda boleh mengambil jenis lemak sihat dalam hidangan harian anda.

    Antaranya ialah seperti buah avokado, ikan salmon, minyak zaitun, kekacang dan juga biji-bijian. 

    Gaya pemakanan sihat 6: Banyakkan minum air kosong

    Air manis atau bergula merupakan jenis minuman pantang bagi pesakit diabetes.

    Air kosong pula merupakan pilihan yang sangat baik untuk pesakit diabetes jenis 1.

    Ini kerana, ia bukan sahaja tidak mengandungi sebarang kalori, malah ia boleh membantu mengekalkan jumlah air dalam badan.

    gaya pemakanan yang sihat

    Sekiranya tubuh badan pesakit diabetes kekurangan air, maka kepekatan gula dalam darah akan menjadi lebih tinggi.

    Oleh itu, banyakkan minum air kosong untuk mengawal paras gula darah anda. 

    Makanan yang tidak boleh diambil pesakit diabetes jenis 1

    Selain daripada gaya pemakanan yang sihat, anda juga mesti mengetahui jenis-jenis makanan yang tidak boleh disentuh apabila anda menghidap diabetes jenis 1.

    Mungkin ada yang sering bertanya dengan soalan seperti;

    “ Bolehkah saya makan roti ini?” atau,

    “Adakah beras ini sesuai untuk penghidap diabetes?”

    Untuk yang bertanya, anda boleh melihat antara senarai utama makanan yang dilarang kepada penghidap diabetes di bawah ini:

    • Gula yang telah diproses seperti nasi putih, roti putih atau pasta
    • Makanan yang telah diproses seperti nuget, sosej, daging burger, bebola daging dan juga mi segera
    • Gula tambahan dalam makanan sedia dimakan seperti kerepek dan minuman berkarbonat
    • Makanan manis seperti kuih muih, pastri, biskut dan gula-gula
    • Makanan bergoreng atau makanan yang mengandungi lemak jahat yang tinggi
    • Sebarang minuman bergula atau manis seperti air kotak, air tin dan lain-lain lagi

    Untuk melihat lebih banyak maklumat berkenaan pemakanan pesakit diabetes, sila lihat lima artikel lain yang berkaitan di bawah ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 30/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan