Selamat bersara diucapkan kepada anda yang bakal atau sedang bersara! Sama ada anda bersara wajib atau bersara awal, ia sama sahaja.
Bersara bukan penamat kepada kehidupan aktif, malah ia boleh menjadi permulaan kepada fasa yang lebih tenang dan bermakna.
Setelah kesibukan yang menghantui diri anda, kini minda anda dapat berehat menjalani hari-hari dengan lebih tenang dan perlahan dengan pengisian yang lebih bermakna!
Selamat bersara! 8 Cara nak elak hari anda menjadi suram
Jika anda membuat pilihan untuk bersara wajib ataupun bersara pilihan sendiri, pastinya anda mempunyai sebab yang kukuh di atas keputusan ini. Berikut ialah antara cara untuk mengisi hari-hari anda.
#1. Terima hakikat yang anda telah atau bakal bersara
Ketika anda mengalami perkara ini, ada banyak perkara bermain di dalam fikiran. Sama ada anda berasa marah, sedih, cemas, sedih, cuba untuk terima dan faham apa yang anda rasa.
Luah apa yang terbuku ke atas buku nota atau bersembang kepada individu yang anda percaya bagi melegakan kekusutan yang ada.
#2. Bersara adalah tempoh penting selepas dunia pekerjaan

Walau apa pun keadaan dan waktu hari persaraan anda, anda perlu menerimanya. Ia adalah perkara biasa yang anda akan alami setelah usai tempoh anda untuk bekerja.
Jika anda lihat semuua perih jerih yang anda telah lakukan di masa lalu, ia akan mengingatkan kembali diri anda bahawa anda akan dapat mengurus perubahan ini juga.
Selamat bersara #3. Tetapkan rutin dan matlamat baharu
Ramai pesara merasa hilang arah setelah tiada tanggungjawab di dalam pekerjaan seharian. Ini boleh membawa kepada perasaan tidak berguna atau kemurungan. Oleh itu, penting untuk terus menetapkan rutin harian dan matlamat kecil selepas bersara.
Dengan mempunyai matlamat boleh memberikan rasa tujuan dan membantu untuk mentakrifkan semula identiti anda.
Antara contoh rutin & matlamat:
- Tetapkan masa tidur dan bangun yang konsisten
- Buat senarai tugasan harian seperti membaca, bersenam, bercucuk tanam dan sebagainya
- Tetapkan matlamat bulanan seperti belajar kemahiran baru, menyiapkan projek di rumah atau pergi bercuti
#4. Lakukan kerja sambilan
Jika anda masih mempunyai keinginan untuk bekerja selepas bersara, anda boleh lakukan kerja sambilan. Selain dapat menambah pendapatan, anda akan kekal sibuk seperti rutin kebiasaan walaupun berlainan waktu kerja.
Selamat bersara #5. Bina hubungan sosial yang baharu
Kesepian merupakan antara punca utama kemurungan dalam kalangan warga emas. Selepas bersara, hubungan sosial tidak aktif seperti di waktu pekerjaan.
Untuk kekal bersosial, anda boleh lakukan perkara di bawah:
- Sertai kelab komuniti, kumpulan keagamaan atau sukarelawan
- Libatkan diri dalam aktiviti kejiranan seperti gotong-royong atau kelas senaman berkumpulan
- Gunakan teknologi – hubungi anak cucu melalui media sosial
Komunikasi yang berterusan dapat merangsang minda, mengurangkan tekanan emosi dan menjadikan hidup anda lebih bermakna.
#6. Amalkan gaya hidup sihat
Jangan lupa untuk amalkan pemakanan yang sihat ketika anda bersara. Masih tidak terlambat lagi untuk lakukan perkara ini ya!
Hal ini kerana, apa yang kita makan turut memberi kesan kepada kesihatan mental. Makanan yang sihat dapat menyokong fungsi otak, manakala senaman fizikal membantu meningkatkan hormon gembira (endorfin).

Amalan penting:
- Ambil makanan seimbang tinggi omega-3, antioksidan dan vitamin B kompleks seperti ikan, kekacang, sayuran hijau dan buah-buahan
- Lakukan senaman ringan seperti berjalan kaki, tai chi, berkebun atau berenang
- Dapatkan tidur berkualiti antara 6-8 jam setiap malam
7. Mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan
Selepas bersara, anda mempunyai lebih banyak masa untuk menilai semula tujuan hidup. Ini adalah masa yang baik untuk mendekatkan diri kepada Tuhan dengan melakukan aktiviti-aktiviti kerohanian.
Antaranya:
- Luangkan masa mendalami ilmu agama dan rohani
- Berkongsi ilmu atau pengalaman melalui ceramah atau mentor kepada golongan muda
Bila seseorang merasa dirinya masih berguna dan diperlukan, mindanya akan lebih cergas dan hatinya lebih bahagia.
8. Dapatkan sokongan profesional jika perlu
Jika anda merasa murung, cemas, atau tidak bermotivasi dalam jangka masa panjang, jangan takut untuk mendapatkan bantuan.
Antara pilihan sokongan yang ada:
- Kaunselor profesional
- Klinik kesihatan mental kerajaan atau swasta
- Sokongan rakan sebaya dalam kumpulan sokongan pesara
Tindakan awal ini boleh mengelakkan keadaan mental menjadi lebih serius.

Selamat bersara orang hebat!
[embed-health-tool-bmi]