Rawatan crown gigi adalah prosedur dental yang memasang selubung gigi palsu di atas gigi rosak dengan tujuan memperbaiki bentuk dan fungsi gigi individu yang telah teruk terjejas.
Pun begitu, ramai yang risau untuk cuba kerana takut jika ada kesan buruk pada gigi. Benarkah?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mulut, sila dapatkannya di sini.
Apa yang kita kena tahu tentangnya…
Untuk pengetahuan anda semua, rawatan crown gigi adalah bersifat jangka masa panjang seperti braces gigi. Bezanya, ia akan kekal dan tidak boleh tanggal waktu kemudian.
Pemasangan ‘mahkota’ tiruan pada gigi ini mungkin memerlukan sekurang-kurangnya dua hari di mana hari pertama untuk doktor memeriksa kondisi gigi rosak dan mencipta selubung gigi palsu sebelum ia akan dipasang pada hari kedua nanti.
Namun jika wujud masalah seperti pembusukan dan risiko infeksi atau luka pada pulpa gigi, maka individu perlu buat rawatan akar gigi terlebih dahulu sebelum pasang crown.
Kebiasaannya, crown ini boleh kekal pada gigi selama 5 ke 15 tahun tanpa perlu diganti dengan yang baru. Ia bergantung kepada cara anda menjaga kebersihan dan kesihatan gigi.
Buat anda yang mungkin terfikir dan tertanya tentang asas pembuatan mahkota gigi ini, ia boleh terdiri daripada bahan-bahan seperti; besi tahan karat, logam, porselin, resin dan seramik.
Ya, ada banyak manfaat pasang crown gigi!
Seperti mana yang kami telah nyatakan di atas tadi, pemasangan mahkota gigi adalah untuk individu memperbaiki bentuk dan fungsi gigi yang rosak akibat faktor risiko tertentu.
Selain itu juga, individu yang mungkin tidak ada masalah gigi rosak tetapi gigi buruk turut boleh gunakan rawatan ini. Cuma, ia akan jatuh ke dalam kategori rawatan kosmetik.
Berikut adalah senarai masalah gigi yang mungkin boleh selesai dengan pemasangan alat ini:
- Mengembalikan gigi rosak
- Menyatukan gigi retak
- Melindungi gigi berlubang
- Menutupi implan gigi yang ditanam
- Menutupi warna gigi yang berubah seperti kuning atau hitam
Dalam erti kata lebih mudah, memang wujud banyak manfaat memasang crown gigi depan gigi yang rosak, retak, berlubang dan lain-lain masalah gigi. Apa yang mungkin membuatkan ramai risau untuk pakai alat ini adalah sama ada ia akan membawa kesan buruk atau tidak? Jom terus baca untuk tahu!
Tapi, wujud juga mudarat pakai crown gigi?
Semua perkara ada pro dan kontra dan alat ini juga mungkin tidak terkecuali. Ini kerana ia berada sangat dekat dengan gigi dan gusi lantas meningkatkan risiko kesan serta mudaratnya.
Sekiranya mahkota gigi yang anda pakai ada masalah ini, maka sila jumpa doktor dengan segera:
#1. Gigi jadi sensitif
Paling umum dan kerap terjadi, pemasangannya mungkin akan menjadi punca gigi sensitif terutama jika anda crown gigi depan, dipasang pada kedudukan terlalu tinggi atau rendah.
Bukan sahaja terhadap suhu yang terlalu panas atau dingin, gigi anda juga mungkin rasa ngilu di saat sedang menggigit jenis makanan yang tertentu seperti makanan manis.
#2. Crown longgar
Lama-kelamaan, bahan pelekat pada mahkota gigi ini akan terkikis dan tercabut. Kesannya, crown akan jadi longgar sekali gus ada risiko untuk ia terlepas atau tercabut daripada gigi asli lantas mendedahkan gigi pada bahaya seperti bakteria atau parasit.
#3. Crown patah
Selain wujud risiko ia terlepas atau tercabut dari gigi asli, crown untuk gigi anda itu juga mungkin boleh patah akibat tekanan yang terlalu kuat. Tekanan itu boleh datang daripada tabiat buruk menggigit kuku, menghisap jari atau memakan makanan serba keras.
#4. Masalah pada gusi
Pengguna mahkota tiruan pada gigi lebih berisiko mengalami gingivitis – masalah keradangan pada gusi sehingga akan mula tampak kemerahan dan berdarah jika lebih teruk.
Sekiranya terbiar tanpa buat rawatan, kondisi ini boleh menyebabkan gusi tertarik daripada mahkota gigi. Akibatnya, selubung gigi mungkin akan nampak terpisah daripada gusi.
#5. Reaksi alergi
Akhir sekali, pemakai mahkota gigi juga mungkin berisiko tinggi untuk mengalami reaksi alergi angkara bahan-bahan yang digunakan dalam proses pembuatan crown tersebut.
Menurut Journal of Clinical & Diagnostic Research, antara gejala alahan terhadap alat ini adalah:
- Rasa terbakar di dalam mulut
- Radang pada sekitar mulut
- Ruam pada sekitar mulut
- Lidah mati rasa pada sebahagian tempat
- Sakit otot dan sendi
[embed-health-tool-bmi]