backup og meta

7 Mitos Lazim Mengenai Sakit Jantung, Betul Ke Orang Rajin Bersenam Terselamat?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    7 Mitos Lazim Mengenai Sakit Jantung, Betul Ke Orang Rajin Bersenam Terselamat?

    “Sakit jantung penyakit orang lelaki” atau “Saya masih muda untuk menghidap penyakit jantung” – Jika anda pernah dengar ayat-ayat berikut, anda tidak keseorangan. Jika ditanya, masih ramai yang tidak tahu mengenai ciri ciri penyakit kardiovaskular.

    Malah, dalam kalangan masyarakat kita, wujudnya terlalu banyak salah faham mengenai penyakit jantung. 

    Masih ramai yang tidak tahu bahawa penyakit kardiovaskular boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur atau jantina. Salah faham ini jika dibiarkan membarah boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan jantung kita.

    Dengan mengasingkan antara fakta dan auta, kita boleh menjadi lebih cakna mengenai penyakit jantung serta ciri ciri penyakit kardiovaskular.

    Kita juga dapat menjaga kesihatan diri dengan lebih baik setelah mengetahui hakikat sebenar mengenai sakit jantung.

    Dalam artikel kali ini, kami akan membincangkan lebih lanjut mengenai ciri-ciri bagi penyakit kardiovaskular serta mitos yang sering diperkatakan umum. 

    Nak tahu lebih lanjut mengenai mitos dan ciri-ciri bagi penyakit kardiovaskular? Jom, teruskan pembacaan anda!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

    7 mitos utama mengenai sakit jantung

    Di bawah, kami senaraikan 7 mitos utama mengenai penyakit kardiovaskular yang sering dianggap benar.

    Pada masa yang sama, kami akan terangkan juga mengenai ciri ciri penyakit kardiovaskular supaya anda boleh mengenali tanda-tandanya.

    Mitos 1: Sakit jantung merupakan penyakit orang lelaki

    ciri ciri penyakit kardiovaskular

    Sebenarnya, sakit jantung boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kiralah lelaki atau wanita.

    Malah, hampir 2 kali ganda wanita meninggal dunia disebabkan penyakit jantung koronari berbanding kanser payudara.

    Oleh sebab itu, wanita perlu lebih berhati-hati mengenai serangan jantung. Malah, ciri ciri penyakit kardiovaskular dalam kalangan wanita juga lebih sukar untuk dikesan.

    Sebab itulah, ramai wanita yang tidak sedar mereka mengalami sakit jantung. Selalunya, mereka hanya sedar mengenainya ketika semuanya sudah terlambat.

    Mitos 2: Saya masih muda dan sakit jantung hanya untuk orang tua

    ciri ciri penyakit kardiovaskular

    1 dalam 3 penghidap sakit jantung adalah orang yang berusia 30 tahun ke atas, namun bukan semuanya adalah warga emas.

    Plak boleh terbentuk di dalam saluran jantung seawal remaja jika anda mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat. 

    Lama-kelamaan, plak ini akan membuatkan arteri menjadi tersumbat lalu menyebabkan sakit jantung.

    Kini, orang muda juga tidak terlepas daripada penyakit kardiovaskular. Tambah lagi, penyakit lain yang boleh meningkatkan risiko sakit jantung seperti diabetes dan obesiti semakin lazim berlaku pada zaman ini walaupun dalam kalangan orang muda.

    Tua bukanlah salah satu ciri-ciri bagi penyakit kardiovaskular. Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa sebarang amaran!

    Mitos 3: Saya tidak mempunyai sebarang simptom atau ciri ciri penyakit kardiovaskular

    64% wanita yang meninggal dunia secara tiba-tiba disebabkan penyakit jantung koronari tidak mengalami sebarang simptom.

    Disebabkan wanita dan lelaki seringkali mengalami simptom yang berbeza, jadi wujudnya salah faham mengenai sakit jantung lebih-lebih lagi apabila wanita mengalami simptom yang ‘senyap’ dan sukar dikesan.

    Serangan jantung bukanlah seperti apa yang kita selalu lihat di kaca televisyen. 

    Antara ciri ciri penyakit kardiovaskular yang sedikit berbeza ialah rasa hendak pitam, pengsan, sakit di bahagian rahang atau atas abdomen serta keletihan yang amat sangat.

    Baca juga:

    Mitos 4: Saya mempunyai sakit jantung, jadi saya tidak boleh kerap bergerak

    ciri ciri penyakit kardiovaskular

    Kurang bergerak dan tidak aktif merupakan sesuatu yang bahaya kepada pesakit jantung.

    Malah, ia boleh menyebabkan pembentukan darah beku di kawasan kaki. Kesihatan penghidap penyakit jantung juga akan menjadi semakin teruk.

    Sebab itulah, penghidap penyakit jantung perlu bersenam. Walau bagaimanapun, pastikan anda berhubung dengan doktor terlebih dahulu. Dapatkan nasihat pakar sebelum memulakan apa-apa senaman.

    Aktiviti fizikal dapat menguatkan otot pada kawasan jantung, melancarkan peredaran darah dan meningkatkan kesihatan pesakit secara am.

    Mitos 5: Orang yang selalu bersenam tidak akan mengalami sakit jantung

    Anda masih boleh mengalami serangan jantung walaupun sering bersenam. Buktinya, ramai orang muda yang mengalami sakit jantung ketika bermain futsal atau berlari.

    Bukan itu sahaja, anda juga boleh mempunyai badan yang kurus dan langsing, namun masih terdedah dengan penyakit kardiovaskular. Salah satu punca sakit jantung dalam kalangan mereka yang berbadan kurus ialah kolesterol yang tinggi.

    Namun, ada juga faktor lain yang memainkan peranan. Sebagai contoh, faktor genetik dan usia juga boleh menyebabkan risiko anda untuk menghidap sakit jantung meningkat.

    Berbadan gempal dan sudah lanjut usia bukanlah ciri ciri penyakit kardiovaskular. Semua orang boleh mengalaminya, tidak kira usia atau bentuk badan.

    Mitos 6: Boleh makan vitamin untuk kurangkan risiko penyakit jantung

    vitamin

    Ada banyak jenis vitamin yang boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti vitamin C, E dan beta karotena. Walau bagaimanapun, masih belum ada kajian yang dapat membuktikan keberkesanannya.

    Malah, menurut American Heart Association, pengambilan suplemen juga mungkin tidak dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung kerana masih belum ada bukti saintifik yang cukup untuk menyokongnya.

    Lebih baik jika anda mengamalkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Makanan ini juga dapat membekalkan anda dengan semua vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan.

    Mitos 7: Ahli keluarga saya menghidap penyakit jantung, jadi saya tidak boleh lari daripadanya

    Benar, risiko penyakit jantung akan meningkat jika anda mempunyai ahli keluarga dengan penyakit yang sama.

    Walau bagaimanapun, ada banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko tersebut.

    Makan secara sihat, pastikan berat badan normal, selalu bersenam dan jangan merokok adalah antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan sakit jantung.

    Pastikan anda lebih peka mengenai ciri ciri penyakit kardiovaskular supaya mudah untuk anda mendapatkan rawatan awal.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan