Kerap Keletihan: Apakah Puncanya?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sibuk dengan tugasan harian di tempat kerja mahupun di rumah boleh menyebabkan kita keletihan. Namun, jika anda selalu berasa lesu dan keletihan, walaupun pada hari yang anda tidak sibuk, atau pada ketika anda sedang bercuti, ia adalah sesuatu yang pelik. Pernahkah anda terfikir punca atau faktor yang menyebabkan anda kerap keletihan? Ikuti artikel ini untuk lebih memahami apa yang mungkin mengakibatkan anda letih dan lesu.

Punca kerap keletihan

  1. Tidur

Anda mungkin mendapat tidur 7-8 jam sehari, tetapi adakah tidur itu tidur yang berkualiti? Tidak mendapat tidur yang berkualiti adalah salah satu punca yang jelas menyebabkan kelesuan. Badan anda melakukan pelbagai perkara ketika anda tidur termasuk menyimpan memori, melepaskan hormon yang mengatur tahap metabolisme dan tenaga anda.

Menurut American Academy of Sleep Medicine and Sleep Research Society, apabila mendapat tidur yang berkualiti, anda biasanya akan bangun dalam keadaan yang segar, bertenaga dan lebih fokus. Apa yang penting, tidur itu haruslah tidak diganggu untuk membenarkan minda melalui 5 peringkat kitaran proses tidur. Malah, untuk mendapat tidur yang mencukupi, anda harus mengekalkan rutin tidur untuk membantu mencegah keletihan.

Untuk memperbaiki waktu dan kualiti tidur, sebaiknya anda tidur dalam tempoh yang sama setiap malam, bertenang sebelum tidur dan melakukan pelbagai aktiviti pada siang harinya. Namun, seandainya, anda berasa sukar untuk tidur dan mengesyaki berkemungkinan anda mengalami gangguan tidur, berbincang dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan daripada pakar.

  1. Kemurungan

Kemurungan bukan sahaja masalah yang boleh mendatangkan gangguan kepada kehidupan seharian anda seperti untuk melakukan tugasan kerja atau rumah, tetapi masalah kesihatan ini turut akan menjejaskan cara anda makan, tidur serta apa yang anda rasakan tentang diri anda. Tanpa mendapatkan rawatan, simptom berkaitan kemurungan ini mungkin akan berlanjutan sehingga berminggu, berbulan, bahkan mungkin bertahun.

Tidak semua individu yang mengalami kemurungan akan melalui simptom yang sama, tetapi secara umumnya, kemurungan boleh mengurangkan tenaga, mengubah corak tidur dan pemakanan, menganggu ingatan dan fokus serta membuatkan anda berasa putus harapan, tidak bernilai dan sentiasa berfikiran negatif.

Cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan berjumpa dengan pakar terapi dan perubatan yang bertauliah. Anda tidak seharusnya membiarkan diri anda terus dilanda kemurungan kerana ia sememangnya akan menjejaskan kehidupan seharian dan perhubungan anda bersama individu di sekeliling anda.

  1. Makanan

Alahan terhadap makanan atau mengalami tindak balas sensitif terhadap sesuatu makanan, boleh menjadi punca kepada masalah kerap keletihan yang anda hadapi. Reaksi sensitif atau rintangan terhadap sesuatu makanan mungkin menyebabkan masalah seperti ruam gatal, masalah sembelit, hidung berair atau sakit kepala. Tetapi,ia turut boleh menyebabkan keletihan.

Jika anda mempunyai alahan, menurut kajian yang diterbitkan dalam Archives of Internal Medicine, semakin teruk alahan yang anda hadapi, semakin ia akan menjejaskan tidur anda. Alahan menyebabkan sistem imun anda untuk ‘bekerja’ secara berlebihan yang akan menyebabkan keradangan kronik dan keletihan dan mungkin mengganggu pernafasan yang membuatkan anda berdengkur – menjadikan anda kerap terjaga pada waktu malam. Malahan, pengambilan ubatan untuk merawat alahan seperti antihistamin juga mungkin boleh mengganggu corak tidur anda.

Jika sesetengah makanan mungkin membuatkan anda letih, cuba untuk berbincang dengan pakar pemakanan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut untuk menguji sama ada anda mungkin ada alahan terhadap sesuatu makanan atau tidak.

  1. Tekanan

Adalah sesuatu yang normal untuk mempunyai tekanan dalam hidup. Dan, sebenarnya tekanan ini membuatkan anda lebih berjaga dan dapat membantu untuk memberikan yang lebih baik dalam hidup anda seperti dalam tugasan kerja, temuduga – ianya memberikan sesuatu yang positif jika bersifat sementara.

Tetapi tekanan yang berlebihan atau kronik boleh menjejaskan tahap tenaga dan kualiti hidup anda – turut berhubung kait dengan keletihan. Tekanan yang kronik boleh mendatangkan keletihan secara fizikal dan mental yang cenderung menyebabkan wujudnya masalah kesihatan lain.

Pelbagai situasi boleh menyebabkan tekanan – kerja, kewangan, perhubungan, kehidupan – ia takkan pernah berakhir. Bagaimana anda menghadapi tekanan boleh mempengaruhi tahap keletihan yang anda rasai. Jika anda merasa tertekan, anda boleh mencuba beberapa tip untuk menangani tekanan.

  1. Kesihatan

Masalah kesihatan dan perubatan, merupakan antara salah satu faktor yang boleh mengakibatkan anda kerap keletihan walaupun anda melakukan perubahan pada gaya hidup, bersenam, memperbaiki tahap tekanan dan mendapatkan tidur yang mencukupi.

Antara beberapa keadaan kesihatan yang menunjukkan keletihan sebagai salah satu simptomnya adalah seperti: anemia, tiroid yang tidak aktif, diabetes, kegelisahan, penyakit jantung, demam kelenjar, kehamilan serta kekurangan vitamin dan mineral.

Jika anda bimbang tentang keadaan ini, anda boleh berjumpa dengan doktor atau pakar perubatan untuk mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut tentang masalah ini, dengan kadar segera.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut