Ingin Kekal Sihat, Ini 6 Kandungan WAJIB Ada Dalam Susu Untuk Warga Emas!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/10/2022

    Ingin Kekal Sihat, Ini 6 Kandungan WAJIB Ada Dalam Susu Untuk Warga Emas!

    Bagi warga emas, susu untuk dewasa mungkin pilihan terbaik untuk diberikan sekiranya mereka tiada selera makan atau tidak lagi boleh makan seperti biasa. Ini kerana, susu dewasa biasanya mengandungi kandungan nutrisi yang mencukupi untuk keperluan tubuh setiap hari.

    Namun, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan sebelum anda membeli susu jenis ini. Sila lihat penerangan di bawah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Sihat Pada Usia Emas, anda boleh klik di sini.

    Kandungan susu dewasa yang mesti diperhatikan sebelum dibeli

    susu dewasa

    Terdapat pelbagai jenama dan jenis susu untuk dewasa yang dijual di pasaran sehingga tidak tahu hendak membeli yang mana satu.

    Perlu diketahui bahawa setiap pengeluar mempunyai formula susu mereka yang tersendiri dan ia mungkin memeningkan anda untuk membelinya.

    Jangan risau, anda hanya perlu perhatikan kandungan nutrien di bawah ini sebelum membeli susu dewasa:

    #1. Mempunyai kandungan protein

    Pastikan susu yang hendak dibeli tinggi kandungan protein.

    Ini kerana protein sangat penting dalam perkembangan dan kekuatan otot tubuh, khususnya kepada warga emas.

    Banyak kajian juga telah mengesahkan bahawa pengambilan protein yang tinggi boleh membantu meningkatkan jisim dan kekuatan otot.

    Bagi warga emas, protein amat penting untuk mengelakkan kesusutan jisim otot yang akhirnya boleh menyebabkan kesukaran untuk bergerak.

    #2. Mempunyai kalsium dan fosforus

    Selain daripada protein, kandungan kedua yang mesti ada dalam susu dewasa ialah kalsium dan juga fosforus.

    Kalsium memainkan peranan yang penting dalam memperbaiki ketumpatan tulang untuk warga emas.

    Tulang yang sihat sememangnya memerlukan kalsium dan juga fosforus.

    Memandangkan tubuh badan manusia tidak dapat menghasilkan kalsium secara semula jadi, maka warga emas perlu mengambilnya melalui sumber makanan seperti susu.

    Jika mereka kurang mengambil kalsium dan juga fosforus, risiko untuk golongan tua mengalami penyakit osteoporosis atau tulang reput amat tinggi.

    #3. Mengandungi zat besi

    susu dewasa

    Zat besi juga merupakan antara nutrien penting yang perlu dilihat dalam susu dewasa.

    Zat besi berperanan membawa atau membekalkan oksigen ke seluruh bahagian tubuh.

    Apabila warga emas mendapat bekalan zat besi yang mencukupi daripada susu, risiko mereka untuk mendapat penyakit anemia akan menjadi semakin rendah.

    Selain itu, zat besi juga merupakan antara komponen penting bagi perkembangan dan tumbesaran tubuh.

    Sesetengah jenis hormon badan juga memerlukan zat besi dalam penghasilannya.

    #4. Mesti ada vitamin B

    Vitamin B juga adalah antara nutrien yang perlu ada dalam setiap tubuh manusia.

    Terdapat lapan jenis vitamin B yang mungkin ada dalam susu dewasa yang hendak dibeli.

    Lapan jenis vitamin B tersebut ialah tiamin, niasin, riboflavin, asid pantotenik, biotin, folat, vitamin B6 dan vitamin B12.

    Vitamin B berperanan untuk memastikan setiap sel badan berfungsi seperti yang sepatutnya.

    Selain itu, vitamin B juga membantu menghasilkan sel darah baharu, menukarkan makanan kepada tenaga selain mengekalkan kesihatan sel kulit, otak dan juga tisu badan.

    #5. Jangan lupa lihat kandungan vitamin A

    Selain itu, anda juga dinasihatkan untuk melihat kepada kandungan vitamin A dalam susu yang hendak dibeli.

    Ini kerana, vitamin A sangat sinonim dengan deria penglihatan manusia.

    Vitamin A membantu meningkatkan dan memelihara kesihatan mata kita.

    Memandangkan warga emas berisiko tinggi untuk mengalami penurunan fungsi mata, vitamin A boleh membantu mengurangkan risiko tersebut.

    Malah, vitamin A yang mencukupi boleh mengelakkan masalah rabun malam daripada berlaku.

    Selain itu, vitamin A juga membantu mengekalkan sistem imun badan warga emas seterusnya mengurangkan risiko terkena jangkitan penyakit.

    #6. Lihat susu yang kurang kandungan gula

    Memandangkan susu untuk warga emas ini merupakan susu formula yang dihasilkan oleh pengeluar, maka ada kemungkinan ia turut ditambah dengan kandungan gula.

    Pastikan produk susu yang hendak dibeli tidak mengandungi kandungan gula tambahan yang tinggi.

    susu dewasa

    Walaupun susu warga emas ini membantu membekalkan nutrien yang mencukupi setiap hari, namun ia tidak sesuai diambil jika mengandungi kandungan gula yang banyak.

    Ini kerana ia boleh merisikokan warga emas kepada penyakit kencing manis.

    Lihat juga beberapa nutrien lain

    Selain daripada nutrien utama seperti di atas, anda juga perlu melihat kepada nutrien tambahan lain yang telah diformulakan dalam susu warga emas ini.

    Antaranya ialah seperti potasium dan vitamin D. Nutrien-nutrien ini juga sangat bermanfaat untuk kesihatan warga emas.

    Selain itu, ikuti aturan pengambilan susu seperti yang tertera pada pembungkusan produk.

    Ini kerana, susu warga emas ini biasanya tinggi kalori dan satu kali pengambilan susu sudah mewakili satu hidangan makanan pada hari tersebut.

    Jadi, elakkan pengambilan secara berlebihan kerana ia sememangnya tinggi kalori.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/10/2022

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan