Pernahkah anda mengalami situasi migrain semasa puasa terutama di bulan Ramadan? Sebenarnya, ia bukan satu perkara yang pelik namun tidak juga normal. Jom baca artikel untuk tahu tentangnya!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Sistem Saraf & Otak, anda boleh klik di sini.
Apakah punca jika anda migrain semasa puasa?
Semasa puasa, badan kita perlu menahan lapar dan dahaga. Di hari-hari biasa, kita sentiasa boleh dapatkan makanan jika rasa lapar, tetapi berbeza di bulan Ramadan.
Perubahan yang berlaku ini sedikit-sebanyak mengubah cara badan kita berinteraksi untuk mengadaptasi keadaan tersebut.
Namun, dalam menjalani proses adaptasi tersebut, kadangkala ia boleh mencetuskan beberapa keadaan kesihatan, antaranya sakit kepala ketika puasa.
Ia biasanya berlaku di waktu tengah hari atau petang. Pada waktu ini, badan sudah kekurangan tenaga dan cecair. Rasa sakit tersebut boleh berlaku sama ada di bahagian depan, kanan atau kiri kepala.
Jika ia diikuti dengan muntah, keadaan akan menjadi lebih teruk. Apakah punca migrain semasa puasa?
1. Dehidrasi air
Kekurangan air atau dehidrasi boleh mencetuskan sakit kepala. Sebab itu sangat penting untuk menadapatkan air yang cukup sepanjang puasa bulan Ramadan.
2. Ketagihan kafein
Bagi mereka yang mengambil kafein (kopi atau teh) secara berkala, berhenti mengambilnya secara tiba-tiba mungkin boleh mencetuskan sakit kepala.
Anda sebaiknya mula berhenti secara beransur-ansur beberapa minggu sebelum Ramadan.
3. Hipoglisemia (gula darah rendah)
Antara punca masalah ini adalah gula darah rendah. Ini boleh berlaku bukan sahaja pada penghidap diabetes, tetapi juga orang biasa.
Ia mungkin berlaku jika anda mengambil banyak makanan manis semasa sahur. Makanan manis akan merangsang pelepasan insulin dalam jumlah yang banyak untuk menurunkan kadar gula dalam darah.
Insulin yang banyak akhirnya boleh menyebabkan hipoglisemia dan sakit kepala.
4. Stres punca migrain semasa puasa
Stres atau tertekan adalah antara punca migrain berlaku. Dalam keadaan kehidupan hari ini yang sangat menekan, terutamanya di bandar, meningkatkan lagi insiden sakit kepala.
Tekanan kerja, trafik yang sesak ditambah dengan rasa lapar, sudah tentu sakit kepala dibuatnya.
Apakah petua jika anda migrain semasa puasa?
1. Elakkan terlalu banyak makanan manis semasa sahur
Seperti yang disebutkan di atas, makanan manis merangsang pelepasan insulin yang akan menurunkan kadar glukosa darah, seterusnya mencetuskan sakit kepala.
Banyakkan ambil makanan kaya serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
Jangan lupa makanan karbohidrat kompleks yang membantu mengekalkan tenaga dan rasa kenyang untuk bertahan puasa sepanjang hari. Makanan kaya karbohidrat kompleks termasuk nasi, roti dan oat.
2. Jangan lupa minum air
Air adalah sangat penting di bulan Ramadan, khususnya.
Memandangkan anda hanya ada masa untuk memenuhi keperluan cecair anda antara maghrib dan subuh, banyakkan masa ini untuk mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
Tetapkan masa yang sama setiap hari untuk minum bagi mengelakkan terlupa.
Misalnya, dua gelas semasa berbuka puasa, dua gelas sebelum solat isyak atau tarawih, dua gelas selepas tarawih dan seberapa banyak gelas semasa sahur.
Selain air, beberapa jenis buah-buahan juga boleh membantu anda kekal terhidrat.
3. Elakkan faktor risiko migrain
Anda harus sentiasa dalam keadaan tenang dan gembira di bulan puasa Ramadan bagi mengelakkan sakit kepala.
Elakkan pergaduhan, keluar rumah awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas serta banyakkan membaca al-Quran dan berzikir.
4. Dapatkan tidur yang cukup
Jangan kurang atau terlebih tidur. Kedua-duanya tidak baik untuk kesihatan. Jam yang cukup bagi setiap orang adalah berbeza-beza.
Asalkan anda boleh menjalani kehidupan harian dengan cergas dan sihat, berapa pun jam tidur anda sudah dikira mencukupi.
Kebiasaannya antara enam hingga lapan jam. Jika tidur malam tidak mencukupi, cari waktu lain untuk menampung hutang tidur tersebut, contohnya sebelum zohor.
5. Jumpa doktor jika migrain teruk
Jika langkah-langkah di atas tidak berjaya, sebaiknya anda dapatkan nasihat doktor. Anda mungkin diberikan ubat-ubatan untuk diambil bagi mengurangkan sakit kepala.
Jika migrain semasa puasa anda serius, berkemungkinan anda tidak perlu berpuasa.
Meskipun ada keringanan bagi orang yang sakit untuk ponteng puasa, itu tidak menjadikan anda terlalu mudah membuat keputusan untuk tidak berpuasa.
Keputusan tersebut haruslah disokong oleh pemeriksaan oleh doktor. Ramadan hanya setahun sekali. Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk beramal sebanyaknya!
[embed-health-tool-bmi]