backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

5 Punca Anda Boleh Tiba-Tiba Muntah Darah, Bahaya Ke Kalau Kerap Terjadi?

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 04/08/2023

    5 Punca Anda Boleh Tiba-Tiba Muntah Darah, Bahaya Ke Kalau Kerap Terjadi?

    Walaupun masalah ini mungkin jarang berlaku kepada anda, itu bukan bermakna ia mustahil. Maka, kita semua wajar ambil tahu apa maksud, gejala, punca dan kesan muntah darah kepada individu. Jom baca artikel!

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.

    Apa maksud sebenar di sebalik muntah darah?

    Muntah merupakan satu refleks luar kawalan dalam usaha tubuh badan mengeluarkan kandungan yang tidak elok di dalam perut dengan menggunakan laluan mulut. Bayangkan pula jika ia melibatkan darah!

    Masalah yang turut dikenali dengan nama hematemesis ini akan berlaku apabila isi kandungan di dalam perut keluar bercampur sedikit sebanyak dengan darah akibat beberapa sebab atau faktor risiko tertentu.

    Kebiasaannya, masalah hematemesis selalu disalahertikan dengan batuk berdarah (hemoptisis) atau hidung berdarah  (epistaksis) sedangkan ketiga-tiga kondisi ini berlaku di atas sebab dan faktor risiko berbeza.

    muntah darah

    Ada kemungkinan masalah ini terjadi gara-gara punca yang ringan, sederhana ataupun berat seperti petanda penyakit kanser dan lain-lain. Persoalannya, adakah anda perlu risau jika ia terus berlaku dan berulang?

    Sebelum pergi dengan lebih lanjut, anda perlu tahu kenapa masalah ini terjadi terlebih dahulu. Jom terus baca artikel.

    Berikut punca masalah ini terjadi kepada anda!

    Sebenarnya, masalah ini mungkin tidak akan terjadi secara tiba-tiba sahaja melainkan ada sebab yang tertentu. Untuk pengetahuan anda semua, di bawah merupakan beberapa punca paling umum ia berlaku:

    #1. Refluks asid perut (GERD)

    Pertama, anda mungkin boleh muntah berdarah apabila berlaku masalah GERD pada masa yang sama. Kebiasaannya, refluks ini akan terjadi akibat injap pada hujung esofagus tidak mampu tertutup dengan baik.

    Disebabkan tekanan atau paksaan yang berlebihan, ia mungkin menjadi punca kerongkong anda merengsa, meradang dan mengalami luka. Ini sekali gus juga boleh menjadi punca anda menghidapi hematemesis.

    muntah darah

    Punca muntah darah #2. Kecederaan

    Kedua, kecederaan yang bukan sahaja terjadi pada kerongkong malah mulut, tekak, hidung dan mungkin dalam perut juga boleh menjadi punca muntah berdarah. Ini ekoran darah kesan kecederaan tersebut boleh tercampur dengan isi perut sekali gus memicu masalah hematemesis.

    Punca muntah darah #3. Keracunan

    Ketiga, adalah tidak mustahil untuk individu tertelan bahan kimia yang berbahaya seperti asid, toksik dan lain-lain. Ia seterusnya akan menyebabkan sistem imun tubuh badan bertindak mengeluarkan bendasing ini melalui muntah yang kadangkala mungkin keluar berdarah dan berbahaya.

    #4. Beberapa keadaan kesihatan yang lain

    Kadangkala, ia mungkin bukan akibat satu isu sahaja malah gejala kepada keadaan kesihatan tertentu termasuk:

    • Pendarahan ulser peptik dalam perut atau lain-lain
    • Pembengkakan salur vena dalam perut atau lain-lain
    • Hakisan dalam perut akibat gastrik
    • Sindrom Zollinger-Ellison
    • Sindrom Mallory-Weiss
    • Divertikular Meckel (Meckel’s Diverticulum)

    Memandangkan masalah muntah berdarah boleh menjadi indikator kepada banyak jenis penyakit lain, individu wajar berjumpa dan berbincang dengan doktor segera apabila ia mula berlaku kepada diri masing-masing.

    Punca muntah darah #5. Kanser

    Terakhir dan paling bahaya, ia juga mungkin merupakan simptom kepada kanser di bahagian yang terlibat termasuk perut, tekak, kerongkong, hati dan lain-lain. Selain itu juga, akan hadir simptom lain seperti penurunan berat badan, hilang selera makan, kerap rasa letih dan sebagainya.

    muntah darah

    Apa yang anda perlu buat untuk elak & rawat?

    Sekiranya anda mengalami masalah ini pada tahap yang ringan atau sederhana di mana darah yang keluar itu sedikit serta tidak kerap dan tiada sebarang komplikasi lain, ia mungkin tidak begitu bahaya.

    Sebaliknya pula kalau darah yang keluar itu terlalu banyak atau terlampau kerap, ia menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada tubuh badan sekali gus menjejaskan keadaan kesihatan.

    Doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan di bawah jika kalian mendapatkan khidmat di klinik atau hospital:

    1. Ujian darah.
    2. Ujian kamera.
    3. Ujian sinar-X.
    4. Ujian khas lain.

    Kemudian, rawatan seperti pemberian oksigen, transfusi darah, cecair saline serta pengambilan ubat mungkin akan diperlukan bergantung kepada hasil gejala, punca, kesan dan pemeriksaan di atas tadi.

    Konklusinya, masalah muntah darah boleh jadi ringan, sederhana atau berat bergantung kepada punca, gejala serta kesannya terhadap individu. Segera jumpa doktor jika anda rasa sesuatu yang tidak kena berlaku!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 04/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan