Apakah simptom kurang gula dalam badan? Adakah ia keadaan yang berbahaya? Untuk mengetahui jawapannya, teruskan pembacaan anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Punca simptom kurang gula dalam badan
Bacaan gula dalam badan yang rendah atau hipoglikemia, terjadi apabila gula darah (glukosa) turun di bawah julat sihat. Jika paras gula darah turun terlalu rendah, ia boleh menjadi keadaan berbahaya yang memerlukan rawatan segera.
Gula darah dianggap rendah jika ia turun di bawah 3.9 mmol/L.
Hipoglikemia paling kerap dialami penghidap diabetes. Pengambilan terlalu banyak ubat, melangkau makan, tidak cukup makan atau terlebih bersenam daripada biasa boleh mengakibatkan gula darah rendah.
Mengapa gula darah rendah?
Gula darah rendah boleh berlaku atas beberapa sebab, seperti:
Simptom kurang gula dalam badan berkaitan dengan diabetes
Diabetes menjejaskan keupayaan badan untuk menggunakan insulin.
Bagi penghidap diabetes, pelbagai rawatan boleh membantu sel dalam badan menggunakan glukosa dalam darah. Antaranya suntikan insulin dan ubat oral yang meningkatkan pengeluaran insulin.
Namun jika mengambil terlalu banyak ubat jenis ini, bacaan gula dalam badan yang rendah boleh terjadi. Tidak cukup makan, melangkau hidangan makan atau terlewat makan juga boleh menjadi punca gula darah rendah.
Melakukan aktiviti fizikal berlebihan tidak dirancang tanpa pengambilan makanan mencukupi juga boleh mengakibatkan penurunan gula dalam darah.
Punca lain
Walaupun tidak menghidap diabetes, anda mungkin mengalami gula darah rendah. Namun hipoglikemia adalah lebih jarang berlaku pada individu tanpa diabetes.
Beberapa kemungkinan penyebab gula darah rendah pada individu tanpa diabetes adalah:
- Ubatan tertentu seperti quinine
- Beberapa keadaan perubatan, seperti hepatitis dan gangguan buah pinggang
- Tumor yang menghasilkan lebihan insulin
- Gangguan endokrin, seperti kekurangan kelenjar adrenal
Antara simptom kurang gula dalam badan
Jika paras gula darah menjadi terlalu rendah, tanda dan gejala hipoglikemia boleh termasuk:
- Pucat
- Badan menggigil
- Berpeluh
- Sakit kepala
- Lapar atau loya
- Degupan jantung tidak teratur atau laju
- Keletihan
- Kerengsaan atau kegelisahan
- Sukar fokus
- Pening
- Kebas pada bibir, lidah atau pipi
Apabila hipoglikemia bertambah buruk, tanda dan gejala boleh termasuk:
- Kekeliruan, tingkah laku luar biasa atau kedua-duanya, seperti ketidakupayaan untuk menyelesaikan rutin harian
- Kehilangan koordinasi
- Percakapan tidak jelas
- Penglihatan kabur atau tunnel vision
- Mimpi ngeri, jika tertidur
Hipoglikemia yang teruk boleh menyebabkan:
- Tiada tindak balas (hilang kesedaran)
- Sawan
Apa yang perlu dilakukan jika mengalami simptom kurang gula dalam badan?
Sebagai rawatan kurang gula dalam darah, anda perlu segera makan atau minum 15 gram karbohidrat yang mudah dihadam.
Contoh karbohidrat yang mudah dihadam di dalam menu makanan untuk kurang gula dalam darah:
- ½ cawan jus atau air soda
- 1 sudu besar madu
- 4 atau 5 kraker masin
- 3 atau 4 biji gula-gula atau tablet glukosa
- 1 sudu besar gula
Gula darah sangat rendah adalah kecemasan perubatan.
Jika anda atau individu lain yang menghidap diabetes mengalami gejala teruk, seperti tidak sedarkan diri, pemberian ubat glukagon adalah penting dan individu perlu mendapatkan rawatan segera!
Jika anda berisiko untuk gula darah rendah, adalah penting untuk berbincang dengan doktor bagi mendapatkan preskripsi untuk glukagon.
Merawat hipoglikemia
Cara mengatasi kurang gula dalam badan paling utama adalah dengan pengambilan karbohidrat.
Beberapa makanan ringan yang baik untuk dibawa sebagai bekalan adalah:
- Gula-gula
- Air soda atau jus
- Madu atau gula
- Gula-gula getah
- Buah segar atau kering
Anda juga boleh mengambil tablet glukosa yang boleh dibeli tanpa preskripsi untuk menaikkan gula darah dengan cepat. Namun pastikan anda menyemak jumlah gram dalam setiap tablet sebelum mengambilnya.
Tunggu 15 minit selepas makan atau mengambil tablet glukosa dan uji gula darah sekali lagi. Jika tidak meningkat, makan 15 gram karbohidrat atau dos tablet glukosa sekali lagi. Ulanginya hingga paras gula mula meningkat.
Pastikan anda tidak makan secara berlebihan atau ia boleh mengakibatkan paras gula dalam darah menjadi terlalu tinggi.
Jika tiada tindak balas pada bacaan gula dalam badan yang rendah, lakukan pemeriksaan doktor dengan segera.
Gejala gula darah rendah boleh menjadi lebih teruk jika tidak dirawat.
[embed-health-tool-bmi]