backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Kopi Atau Teh? Ketahui Air Berkafein Yang Sesuai Untuk Anda!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 24/06/2022

Kopi Atau Teh? Ketahui Air Berkafein Yang Sesuai Untuk Anda!

Air berkafein sangat popular di seluruh dunia. Ia terkandung di dalam lebih daripada 60 spesies tumbuh-tumbuhan terutamanya coklat, kopi dan teh.

Mungkin anda pernah menganggap kafein adalah perkataan lain bagi minuman kopi. Hakikatnya ia tidak begitu.

Kafein merupakan sejenis bahan perangsang sistem saraf semula jadi. 

Walaupun ia selamat untuk diminum, jika diambil dalam kuantiti yang banyak, kafein boleh menyebabkan kesan sampingan yang mempengaruhi kualiti hidup individu.

Mungkin ada dalam kalangan anda yang gemar minum kopi atau anda lebih suka mendapatkan kafein dari sumber lain seperti teh dan coklat.

Setiap minuman mempunyai kandungan kafein yang berbeza. Malah bagi kopi sekalipun, kepekatan kafein boleh berbeza mengikut cara penyediaannya.

Artikel ini akan memfokuskan kepada perbezaan kandungan kafein di dalam minuman kopi dan teh. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

Teh, pilihan individu yang ingin bersederhana dalam air berkafein

Air berkafein

Daun teh mempunyai kadar kepekatan kafein yang lebih tinggi (3.5%) berbanding dengan biji kopi (1.1 hingga 2.2%).

Walau bagaimanapun, seperti yang anda sedia maklum, cara penyediaan minuman turut memberikan impak kepada tahap kepekatan kafein di dalam minuman.

Sebagai contoh, penyediaan kopi menggunakan air panas boleh mengekstrak lebih banyak kafein daripada biji kopi.

Kuantiti biji kopi yang digunakan juga jauh lebih tinggi berbanding dengan jumlah daun teh yang diperlukan untuk menyediakan satu minuman.

Oleh itu, jika dibandingkan pada minuman, 1 cawan kopi mempunyai kepekatan kafein yang lebih tinggi berbanding dengan 1 cawan teh.

Teh putih, hijau dan hitam sebenarnya berasal daripada daun tumbuhan yang sama.

Apa yang membezakannya adalah waktu ia dipetik dan tahap proses oksidasi yang berlaku terhadap daun tersebut.

Teh hitam berasal daripada daun teh yang telah mengalami proses pengoksidaan. Ia tidak seperti daun teh hijau dan teh putih.

Ini memberikan rasa yang lebih pekat dan ia meningkatkan jumlah kafein di dalam teh hitam semasa penyediaan minuman dibuat.

Secara puratanya:

  1. Secawan teh hitam boleh mengandungi 47 hingga 90 mg kafein. 
  2. Secawan teh hijau boleh mengandungi 20 hingga 45 mg kafein.
  3. Secawan teh putih boleh mengandungi 6 hingga 60 mg kafein.

Terdapat juga variasi lain seperti teh hijau matcha yang mempunyai kepekatan kafein yang tinggi.

Jika anda mahu minuman teh yang tidak berkafein, terdapat produk teh herba bebas kafein yang dijual di pasaran antarabangsa.

Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna minuman tersebut tidak mempunyai kafein langsung.

Ia boleh memberikan maksimum 12 mg kafein dan paras ini dianggap sebagai jumlah yang boleh diabaikan (tidak cukup untuk memberikan sebarang kesan fisiologi).

Air berkafein

Cara penyediaan kopi yang berbeza hasilkan air berkafein yang berlainan 

Secara umumnya, secawan kopi mengandungi kira-kira 95 mg kafein.

Ramai yang menganggap biji kopi panggang gelap mempunyai kepekatan kafein yang lebih tinggi berbanding dengan biji kopi panggang cerah.

Walau bagaimanapun, kandungan kafein tidaklah begitu terpengaruh dengan teknik panggangan.

Cumanya, jika anda suka menggunakan biji kopi panggang gelap, anda cenderung untuk menggunakannya pada amaun yang lebih banyak memandangkan ia kurang tumpat.

Dalam banyak-banyak cara penyediaan kopi, espresso merupakan kaedah yang boleh memberikan jumlah kafein yang tinggi dalam minuman anda.

Sebagai contoh, jika anda suka membeli kopi Starbucks, 1 auns (30 ml) espresso mengandungi kira-kira 58 mg kafein.

Kebanyakan minuman kopi ditambah dengan 2 auns espresso menjadikan kepekatan kafein sekitar 116 mg.

Jika dibandingkan juga di antara minuman kopi tidak berkafein (decaffeinated coffee), kepekatan kafein tertinggi kebiasaannya ada pada espresso decaf (sekitar 3 hingga 16 mg bagi setiap 16 auns minuman).

Baca juga:

Mana satu yang menjadi pilihan? 

Kafein boleh memberikan rangsangan yang cukup pantas. Ia kebiasaannya berkesan dalam tempoh 20 minit hingga 1 jam selepas diambil.

Jika anda mudah untuk mendapat gejala seperti berdebar-debar, sukar menumpukan perhatian dan sebagainya selepas ambil air berkafein, cuba ambil teh dan elakkan daripada mengambil kopi.

Minuman teh atau kopi tidak berkafein juga boleh menjadi pilihan sekiranya anda ingin menikmati air tersebut tanpa kesan sampingan kafein.

Bagi yang suka akan air berkafein pula, anda perlu berhati-hati dan dinasihatkan untuk tidak mengambil melebihi had yang telah disarankan oleh pakar.

Air berkafein

Kajian menunjukkan pengambilan kafein tidak sepatutnya melebihi 400 mg sehari atau 200 mg pada satu masa. 

Saranan tersebut boleh berubah mengikut keadaan kesihatan seperti kehamilan dan sebagainya.

Oleh itu, sangat penting untuk anda merujuk kepada doktor perubatan bagi mendapatkan nasihat berkaitan dengan pengambilan air berkafein.

Konklusi

Cara penyediaan kopi dan teh boleh memberikan impak kepada jumlah kafein yang terdapat di dalam minuman tersebut.

Bagi yang ingin ‘berpuasa’ daripada air berkafein, anda boleh memilih minuman yang mempunyai kandungan kafein yang rendah sehingga anda selesa dengan minuman versi decaf.

Jika anda memang penggemar kopi pula, pastikan anda tidak minum melebihi 400 mg sehari atau 200 mg pada satu masa.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.



Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 24/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan