backup og meta

Tak Perlu Lagi Tahan Nafsu Makan, 5 Jenis Makanan Tinggi Karbohidrat Ini Bagus Untuk KURUS!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 21/05/2021

    Tak Perlu Lagi Tahan Nafsu Makan, 5 Jenis Makanan Tinggi Karbohidrat Ini Bagus Untuk KURUS!

    Karbohidrat, komponen makanan ini sering dipersalahkan kerana ia dikatakan menjadi punca kegemukan.

    Harus anda tahu, tidak semua karbohidrat diciptakan sama. Ada karbohidrat yang menggemukkan, namun ada juga kaya serat.

    Walaupun diet rendah karbohidrat bermanfaat bagi sesetengah individu, namun anda tidak semestinya perlu menyeksa diri daripada mengelak makanan berkarbohidrat tinggi.

    Apa yang penulis cuba sampaikan sebenarnya? Jom ikuti artikel ini!

    Kenali apa itu karbohidrat

    Sebelum pergi lebih lanjut, adalah wajar untuk kalian kenali karbohidrat dengan lebih mendalam.

    Karbohidrat atau ringkasannya karbo, adalah komponen dalam makanan yang berfungsi menyalurkan tenaga melalui kalori kepada tubuh badan.

    Ia terdiri daripada 3 komponen iaitu serat, kanji dan gula. Kadar pengambilan sehariannya adalah bergantung kepada umur, jantina, tinggi dan berat badan anda.

    Buat anda yang belum tahu, terdapat 2 jenis karbohidrat utama iaitu karbohidrat mudah dan karbohidrat kompleks.

    • Karbo kompleks

    Karbo kompleks ada 2 kategori iaitu kanji dan serat dan kedua-duanya perlu diuraikan terlebih dahulu oleh tubuh badan sebelum digunakan sebagai sumber glukosa.

    Kedua-dua kategori karbo kompleks ini sangat disarankan untuk diambil kerana masing-masing mempunyai khasiatnya yang tersendiri.

    • Karbo mudah

    Karbo mudah terdiri daripada gula semula jadi dan gula tambahan. Gula semula jadi merujuk kepada yang boleh dijumpai secara semula jadi dalam produk tenusu, buah-buahan dan sayur-sayuran.

    Gula tambahan pula merujuk kepada gula yang ditambah kepada sebarang makanan semasa prosedur memasak.

    Jika anda ingin memilih sumber karbohidrat untuk diet yang tepat, pilihlah sumber karbo dengan kandungan serat tinggi yang ada dalam karbo kompleks.

    Makanan-makanan karbohidrat tinggi serat

    #1 Quinoa

    quinoa

    Mungkin kalian jarang mendengar makanan ini, tapi quinoa adalah bijian berkhasiat yang telah menjadi sangat popular dalam komuniti kesihatan semula jadi.

    Ia dikelaskan sebagai pseudocereal, sejenis bijian yang disiapkan dan dimakan sama seperti biji-bijian.

    Quinoa yang dimasak mengandungi 21.3% karbohidrat, menjadikannya makanan berkarbohidrat tinggi.

    Walaupun mengandungi kandungan karbo yang tinggi, ia juga merupakan sumber protein dan serat yang baik.

    Bukan itu saja, quinoa kaya dengan banyak mineral dan sebatian tumbuhan. Ia turut dikaitkan dengan faedah kesihatan termasuk kawalan gula darah yang lebih baik.

    Disebabkan ia tidak mengandungi gluten, ini menjadikannya alternatif yang cukup popular bagi mereka yang menjalani diet bebas gluten.

    Faktor serat dan protein tinggi menjadikannya makanan mengenyangkan yang tahan lama lantas bantu mengurangkan berat badan!

    #2 Oat

    Oat, tidak dapat dinafikan lagi khasiatnya mungkin merupakan antara makanan bijirin yang paling sihat di planet ini!

    Ia mengandungi banyak zat yang kaya dengan sumber vitamin, mineral dan antioksidan.

    Oat mentah mengandungi 66% karbohidrat, hampir 11% daripadanya adalah serat. Ia juga sangat tinggi dengan powerful soluble fiber yang digelar oat beta-glukan.

    Tambah lagi, oat merupakan sumber protein yang agak baik, lebih banyak berbanding kebanyakan biji-bijian.

    Penyelidikan menunjukkan, oat dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dengan menurunkan kadar kolesterol.

    Makan oat turut menurunkan kadar gula dalam darah, terutama bagi pesakit dengan diabetes jenis 2.

    Tambahan pula, oat sangat mengenyangkan yang membuatkannya sumber karbohidrat untuk diet yang bagus!

    #3 Buah-buahan

    Buah-buahan juga merupakan salah satu sumber karbohidrat yang berupaya membantu kalian saat sedang diet.

    Ini kerana buah-buahan mengandungi gula semula jadi yang diubah menjadi tenaga oleh tubuh.

    Pilihlah buah-buahan yang kaya serat sehingga menjadikan anda kenyang lebih lama, seperti raspberry, pir, epal, dan pisang.

    Selain serat, buah-buahan juga banyak mengandungi vitamin dan mineral penting, seperti vitamin C dan kalium.

    #4 Kentang

    Selain serat, kentang adalah sumber semula jadi proteinase inhibitor, bahan kimia semula jadi yang meningkatkan hormon kenyang dan mengurangkan selera makan.

    Bagi pembaca yang sedang diet, mungkin kalian boleh cuba menggantikan nasi dengan kentang.

    Kentang memiliki kandungan resistant starch (kanji yang tidak dapat tercerna), lantas membantu dalam menurunkan berat badan!

    Lebih baik lagi jika kentang dimakan bersama dengan kulitnya, kerana kulit kentang terkandung banyak serat yang bermanfaat. Selain itu, kentang juga kaya vitamin C dan kalium.

    #5 Beras perang

    beras perang

    Makanan ruji di Malaysia adalah beras putih biasa. Tetapi hakikatnya beras perang menawarkan pelbagai faedah kesihatan yang baik untuk badan.

    Manfaat kesihatan beras perang sebahagian besarnya disebabkan ia termasuk dalam bijirin penuh.

    Serat beras perang membantu merendahkan paras kolesterol, menggerakkan sisa melalui saluran penghadaman, menggalakkan kekenyangan dan boleh membantu mencegah pembentukan gumpalan darah.

    Menggantikan bijirin yang lebih halus dengan beras ini boleh membantu anda menurunkan berat badan.

    Rumusan

    Karbohidrat tidak bersalah! Kebenarannya, beberapa jenis makanan paling sihat di dunia adalah yang mempunyai tinggi kandungan karbohidratnya.

    Walaupun berkhasiat, kuantiti pengambilannya perlu dikawal, lebih-lebih lagi makanan daripada kumpulan karbo mudah yang tinggi kandungan gula.

    Sekarang, anda tidak perlu lagi menahan diri daripada mengambil makanan berkarbohidrat saat berdiet, nikmatinya tanpa rasa bersalah!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 21/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan