backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Letih Berpuasa Sampai Tak Boleh Tinggalkan Katil? Bahaya, Ini Tanda Sindrom Keletihan Kronik!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 27/10/2021

    Letih Berpuasa Sampai Tak Boleh Tinggalkan Katil? Bahaya, Ini Tanda Sindrom Keletihan Kronik!

    Ketika berpuasa, normallah jika badan kita rasa letih dan lemah sepanjang hari. Kadangkala, belum sampai tengah hari, perut sudah terasa sakit dan mata mula mengantuk. Ramadan merupakan bulan yang mencabar untuk umat Islam. Walaupun begitu, jika badan anda terasa penat dan letih sepanjang masa, mungkin ada punca badan letih lain di sebalik kelesuan yang dialami.

    Salah satu punca keletihan yang keterlaluan ini adalah sejenis penyakit yang dikenali dengan nama sindrom keletihan kronik (Chronic fatigue syndrome – CFS) atau myalgic encephalomyelitis (ME).

    Sindrom ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak. Malah, ia lebih lazim dalam kalangan wanita dan akan mula menunjukkan simptom ketika pesakit mula berusia 20-40 tahun.

    Tetapi, apakah bezanya CFS dengan keletihan biasa? Untuk pengetahuan anda, individu yang menghidap CFS tidak dapat melakukan aktiviti mereka seperti biasa kerana rasa letih yang melampau.

    Malah, keletihan mereka akan jadi semakin teruk jika mereka melakukan sebarang aktiviti fizikal ataupun mental.

    Kadangkala, badan pesakit jadi lemah dan letih sehinggakan mereka tidak mampu meninggalkan katil masing-masing pada waktu pagi.

    Sempena Hari Kesedaran CFS/ME Antarabangsa tanggal 12 Mei ini, kami kongsikan artikel berkaitan mengenai keadaan badan letih keterlaluan ini. 

    Jom teruskan membaca.

    Simptom dan punca badan letih sepanjang masa

    badan lemah

    Salah satu ciri sindrom keletihan kronik ialah rasa lesu yang melampau setelah melakukan senaman.

    Selalunya, mereka yang menghidap sindrom ini akan mengalami simptom seakan-akan demam selepas bersenam. Malah, mereka juga tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk melakukan aktiviti harian.

    Sebagai contoh, mereka tidak mampu untuk melakukan aktiviti biasa seperti berjalan-jalan di pusat membeli-belah, minum kopi bersama kawan ataupun menyiapkan anak untuk ke sekolah tanpa mengalami keletihan yang kronik.

    Selain badan yang sering rasa lemah dan letih, mereka yang menghidap sindrom keletihan kronik juga mungkin mengalami:

  • Masalah untuk tidur.
  • Sakit otot dan sendi.
  • Pening kepala.
  • Sakit tekak.
  • Sukar berfikir, mengingat atau fokus.
  • Sering alami simptom seakan-akan demam.
  • Sering rasa tidak sihat.
  • Degupan jantung pantas atau tidak teratur.
  • Sindrom keletihan kronik merupakan sejenis penyakit yang sukar untuk diduga. Simptom yang pesakit alami juga boleh berubah pada masa hadapan.

    Malah, apa yang mereka alami juga boleh sembuh atau menjadi lebih serius pada masa akan datang.

    Hingga hari ini, punca sindrom keletihan kronik yang membuatkan badan pesakit letih dan lesu masih belum dapat dikenal pasti.

    Namun, kondisi ini mungkin dipicu oleh jangkitan atau faktor tertentu yang menyebabkan seseorang individu itu lebih berisiko untuk mengalami sindrom ini.

    Bagaimanakah penyakit ini didiagnosis?

    Hingga hari ini, masih belum ada ujian yang dapat mendiagnosis sindrom ini dengan tepat.

    Walaupun begitu, pengesanan awal dapat membantu pesakit untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin. Pesakit juga didapati dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik jika penyakit mereka dikesan awal.

    Jika anda disyaki mengalami sindrom keletihan kronik, doktor akan:

    1. Bertanya mengenai sejarah perubatan dan keluarga.
    2. Bertanya mengenai simptom yang anda alami, kekerapannya, berapa lama ia berlangsung dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan anda.
    3. Melakukan ujian fizikal dan mental yang menyeluruh.
    4. Melakukan ujian darah, urin dan sebagainya.

    Kesan sindrom keletihan kronik kepada pesakit

    badan lemah

    Walaupun kita semua sering sakit badan dan rasa lemah apabila melakukan aktiviti yang berat, ia tidak sama dengan apa yang dirasai oleh mereka yang menghidap sindrom keletihan kronik.

    Seperti penyakit lain, sindrom ini boleh dibahagikan kepada 3 tahap:

    1. Tidak teruk – Pesakit tidak mampu melakukan 50% daripada aktiviti harian.
    2. Sederhana – Pesakit tidak dapat keluar dari rumah.
    3. Serius – Pesakit tidak boleh meninggalkan katil dan terpaksa diuruskan oleh orang lain.

    Ada pesakit yang tidak dapat bekerja, pergi ke sekolah ataupun bersosial bersama ahli keluarga dan teman rapat.

    Ramai yang anggap pesakit sindrom keletihan kronik hanyalah ‘penat sepanjang hari’. Mereka tidak tahu kesan sebenar penyakit ini yang boleh memberi impak yang besar terhadap fizikal, emosi dan juga kewangan pesakit.

    Pesakit juga tidak digalakkan untuk memaksa diri untuk terus melakukan aktiviti yang sama seperti orang lain. Jika tidak, pesakit akan alami relaps dan membuatkan kondisi yang mereka alami jadi semakin teruk.

    Oleh sebab itu, semua orang haruslah memahami bahawa pesakit sindom keletihan kronik mempunyai tindak balas biologikal yang abnormal terhadap aktiviti harian dan senaman.

    Walaupun sukar, penghidap penyakit ini dapat menguruskan keadaan mereka dengan lebih baik jika mereka mempunyai pemikiran dan tingkah laku yang positif.

    Kesimpulan

    badan lemah

    Hidup dengan sindrom keletihan kronik amat sukar. Rasa lesu yang melampau boleh membuatkan pesakit sukar untuk menjalani kehidupan yang normal.

    Malah, penyakit ini juga boleh memberikan kesan yang negatif terhadap kesihatan fizikal dan mental pesakit.

    Jika ada di antara ahli keluarga atau kenalan anda yang mempunyai penyakit ini, pastikan anda cuba untuk memahami kondisi mereka dan elakkan memberi nasihat yang tidak membantu.

    Mereka yang mengalami sindrom keletihan kronik tidak boleh ‘memaksa diri untuk bekerja’ seperti orang lain. Keletihan yang mereka alami juga bukanlah sesuatu yang dibuat-buat. 

    Malah, jika mereka bekerja terlalu kuat, ada risiko untuk mereka relaps dan alami simptom yang lebih teruk!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 27/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan