Macam Mana Nak Pilih Ubat Migrain? Ada 5 Langkah Mudah Untuk Anda
Sakit kepala dan migrain boleh mengganggu aktiviti harian, menyebabkan ketidakselesaan serta menjejaskan kualiti hidup. Penggunaan ubat migrain yang sesuai boleh membantu melegakan kesakitan yang anda alami.

Tetapi tahukah anda bahawa tidak semua jenis kesakitan memerlukan pendekatan rawatan yang sama?
Selain migrain dan sakit kepala, masalah seperti sakit gigi, sakit otot, sakit belakang, sakit sendi dan sakit haid juga boleh menyebabkan ketidakselesaan yang memerlukan perhatian.
Setiap jenis kesakitan mungkin mempunyai punca yang berbeza.
Justeru, sebelum anda mendapatkan ubat penahan sakit over-the-counter (OTC) atau berjumpa dengan doktor untuk dapatkan preskripsi ubat, ia perlu mengambil kira jenis kesakitan, bahan aktif, formulasi ubat dan keperluan individu.
Jadi, bagaimana anda boleh memilih ubat yang sesuai untuk melegakan kesakitan dengan berkesan dan selamat?
Untuk mendapatkan lebih banyak info, anda boleh klik di sini.
Kenapa boleh jadi migrain?
Anda mesti tertanya-tanya, kenapa boleh jadi migrain?
Migrain adalah keadaan kesihatan yang biasa berlaku, yang kerap mempengaruhi wanita kerana disebabkan pengaruh hormon. 1
Terdapat beberapa jenis migrain termasuk migrain yang didahului oleh gejala amaran tertentu, seperti melihat lampu berkelip.
Dalam tinjauan di Amerika Syarikat, 17.1% wanita dan 5.6% lelaki melaporkan mengalami gejala migrain, yang menunjukkan kekerapan lebih daripada 10% di seluruh dunia. 2
Untuk makluman anda, migrain paling kerap menyerang orang dewasa yang berusia antara 35 hingga 45 tahun. 1
Sebelum ambil ubat migrain, ketahui apakah simptom migrain?
Migrain adalah sakit kepala yang boleh menyebabkan sensasi berdenyut teruk yang biasanya terjadi pada satu sisi kepala.
Migrain mungkin boleh dikaitkan dengan faktor harian seperti terlalu lama menghadap skrin, kurang tidur, dehidrasi atau cuaca panas.
Ia sering disertai dengan rasa loya, muntah, dan kepekaan yang melampau terhadap cahaya dan suara. 3
Berapa lama migrain menyerang?
Sakit migrain boleh menyerang anda sekurang-kurangnya 4 jam tetapi boleh saja berlarutan sehingga berhari-hari. 3
5 tip memilih ubat migrain atau tahan sakit
Ubat untuk melegakan migrain boleh didapati secara over-the-counter (OTC) atau melalui preskripsi doktor, bergantung pada jenis rawatan yang diperlukan.
Apabila memilih ubat OTC, pemilihan ubat yang sesuai perlu mengambil kira jenis kesakitan, bahan aktif, dos, formulasi, kelajuan dan tempoh kelegaan, serta keperluan kesihatan individu.
Apakah ubat migrain paling bagus? Jawapannya, tiada ubat yang terbaik untuk tubuh kerana setiap ubat sakit direka untuk memenuhi keperluan berbeza pengguna.
Berikut ialah langkah mudah untuk anda memilih ubat migrain yang sesuai:
1. Bahan aktif
Bahan aktif menentukan bagaimana ubat bertindak di dalam badan.
Paracetamol dan ubat antiradang bukan steroid (NSAID), seperti Ibuprofen, Aspirin dan Naproxen sodium mempunyai sifat dan pertimbangan keselamatan yang berbeza. Ubat yang sesuai untuk seseorang mungkin tidak sesuai untuk individu lain. 4
Paracetamol boleh didapati di kaunter untuk jualan runcit (Racun Tidak Berjadual). 5
Ibuprofen, Aspirin dan Naproxen sodium (NSAID) hanya boleh dijual dan direkodkan di dalam Buku Preskripsi (Racun Kumpulan C) daripada farmasi. 5
Jangan memilih ubat hanya berdasarkan jenama atau kekuatan dalam miligram.
Sebaliknya, semak bahan aktif, indikasi dan amaran pada label untuk memastikan ia sesuai dengan jenis kesakitan yang dialami.
2. Dos dan arahan penggunaan
Dos ubat migrain perlu mengikut arahan pada label atau nasihat profesional kesihatan.
Dos yang lebih tinggi tidak semestinya memberikan kelegaan yang lebih baik, sebaliknya boleh meningkatkan risiko kesan sampingan atau keracunan jika tidak mengikut arahan pada label ubat.
Semak kekuatan setiap dos, jumlah yang boleh diambil dan kekerapan pengambilan seperti yang dinyatakan pada label produk. 6
Jangan mengambil dos tambahan atau mengambil ubat dengan lebih kerap hanya kerana kesakitan masih belum reda.
3. Formulasi ubat
Ubat tahan sakit boleh didapati dalam pelbagai formulasi seperti tablet, kaplet dan formulasi larut atau efervesen.
Pilihan formulasi boleh bergantung pada keperluan dan cara pengambilan yang lebih sesuai untuk individu.
Bagi mereka yang memilih alternatif selain menelan tablet, formulasi larut atau efervesen yang sesuai mungkin menjadi pilihan.
Sesetengah ubat direka untuk melepaskan bahan aktif dengan segera, manakala formulasi tertentu mengubah cara bahan aktif dilepaskan.
Produk gabungan pula mungkin mengandungi bahan aktif tambahan untuk tujuan tertentu.
Perbezaan ini boleh mempengaruhi cara ubat digunakan dan langkah berjaga-jaga yang diperlukan. 7
4. Kelajuan mula bertindak dan tempoh kelegaan
Masa yang diperlukan untuk ubat migrain mula memberikan kesan dan berapa lama kesannya bertahan boleh berbeza mengikut bahan aktif, produk, formulasi dan individu.
Sesetengah formulasi mungkin direka khas untuk penyerapan yang lebih pantas, manakala formulasi lain mungkin direka untuk memberikan pelepasan bahan aktif yang lebih berpanjangan.
Kelegaan yang lebih cepat tidak semestinya bermakna ubat itu lebih sesuai untuk semua jenis kesakitan. 7, 8
5. Keperluan dan keadaan kesihatan individu, antara cara memilih ubat migrain
Umur, berat badan, kehamilan atau penyusuan, masalah hati atau buah pinggang, sejarah ulser perut dan ubat lain yang diambil boleh mempengaruhi pilihan rawatan. Ahli farmasi atau doktor boleh membantu menentukan pilihan yang lebih sesuai. 4
Justeru, bandingkan bahan aktif, kekuatan setiap dos, arahan penggunaan, formulasi dan amaran keselamatan pada label.
Jangan memilih ubat berdasarkan angka miligram atau harga sahaja.
Apakah ubat yang boleh menghilangkan migrain?
Ubat penahan sakit untuk migrain ringan atau sederhana ialah ibuprofen, aspirin (NSAID) dan paracetamol. Ubat-ubatan ini juga boleh memberikan melegakan kesakitan yang berkesan untuk ramai orang yang mempunyai sakit belakang, sakit gigi, period pain, demam dan keradangan. 9
Anda boleh membeli ubat penahan sakit seperti paracetamol, aspirin dan ibuprofen tanpa preskripsi.
Walau bagaimanapun, paracetamol dan aspirin boleh didapati di kaunter untuk jualan runcit (Racun Tidak Berjadual), manakala ibuprofen (Racun Kumpulan C) boleh didapati melalui farmasi dan penjualannya perlu direkodkan dalam Buku Preskripsi. 5
Oleh itu, penting untuk pastikan ia selamat untuk anda ambil terutamanya jika anda ialah kanak-kanak, wanita yang hamil atau menyusukan anak atau mempunyai sakit yang lain seperti ulser perut, penyakit hati, kegagalan buah pinggang atau darah tinggi. 9
Dos NSAID selalunya lebih tinggi dalam migrain. Sebagai contoh, 900mg untuk aspirin atau 600mg untuk ibuprofen. Oleh itu,anda perlu berhati-hati dengan jumlah dos setiap ubat jika menggunakan ubat gabungan dengan berbilang bahan aktif dalam satu pil. 10
Untuk serangan migrain yang teruk, doktor mungkin mempertimbangkan rawatan seperti ubat antiradang bukan steroid (NSAID), triptan, magnesium atau cecair intravena, bergantung pada keadaan pesakit.
Rawatan lain juga mungkin diperlukan berdasarkan simptom yang dialami.
Nak pilih ubat migrain berjenama & ubat generik ?
Buat pengetahuan anda, ubat berjenama atau generik keduanya mengandungi bahan aktif yang sama.
Ubat generik diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkaitan setelah memenuhi piawaian yang ditetapkan, termasuk menunjukkan bioekivalensi dengan produk rujukan.
Walaupun begitu, produk mungkin berbeza dari excipients (bahan tidak aktif) , bentuk dos, formulasi dan harga.
Perbezaan tersebut tidak bermakna ubat berjenama sentiasa lebih berkesan atau ubat generik sentiasa kurang berkesan.
Mengapa migrain masih tidak hilang walaupun sudah makan ubat migrain?
Punca migrain yang tidak reda selepas mengambil ubat tidak semestinya berpunca daripada harga atau jenama ubat.
Antara kemungkinan yang berlaku ialah jenis migrain yang dialami, punca asas yang belum dikenal pasti, perkara yang trigger migrain, kesesuaian ubat atau tindak balas individu terhadap rawatan. 11
Sebagai contoh, migrain mungkin memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza daripada sakit kepala jenis lain. Jika sakit kepala kerap berulang atau tidak bertambah baik, dapatkan nasihat profesional kesihatan untuk mengenal pasti punca dan menentukan langkah seterusnya.11
Elakkan menambah dos atau mengambil ubat migrain lebih kerap daripada yang disarankan semata-mata kerana migrain masih berlaku.
Jika migrain atau sakit kepala kerap berulang, menjadi semakin kerap atau bertambah tidak baik, dapatkan nasihat daripada profesional kesihatan dan elakkan daripada terus menambah dos atau mengambil ubat dengan lebih kerap daripada yang disarankan. 12
Kesimpulan
Serangan migrain boleh dicegah dan dirawat. Namun, tidak ada satu kaedah yang dijamin berkesan untuk semua orang.
Tambahan pula, kesakitan yang dialami setiap individu adalah berbeza.
Apa yang boleh anda lakukan ialah sentiasa mengetahui dan mengelakkan sebarang punca dan pencetus migrain anda.
Selain itu, anda perlu mencari rawatan atau ubat migrain yang paling sesuai untuk melegakan ketidakselesaan migrain yang sedang anda alami.
Fahami kesakitan anda dan pilih ubat yang sesuai dengan kesakitan anda!