Jangan terkejut, ada individu yang tidak dapat mengawal fungsi usus sehingga terberak tanpa sengaja. Keadaan ini dikenali sebagai inkontinens najis.
Ikuti artikel ini untuk penjelasan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.
Masalah inkontinens najis
Turut dikenali sebagai inkontinens dubur (anal incontinence), ia merujuk kepada keadaan fungsi usus yang tidak dapat dikawal.
Ini bermakna najis keluar daripada rektum atau dubur walaupun anda tidak mahu, iaitu boleh berlaku di luar bilik air. Kebocoran ini berlaku tanpa pengetahuan anda.
Istilah fecal incontinence boleh digunakan dalam situasi seperti berikut:
- Kebocoran najis apabila kentut
- Kebocoran najis semasa aktiviti fizikal atau harian
- Keinginan mendadak untuk berak tanpa anda sempat ke tandas
- Terdapat kesan najis pada seluar dalam selepas pergerakan usus biasa
- Hilang 100% kawalan usus
Fungsi usus tidak dapat dikawal: Bagaimana ia berlaku?
Beberapa faktor mempengaruhi masalah inkontinens najis ini, seperti:
- Otot di rektum dan dubur – 2 bahagian terakhir usus, tidak berfungsi dengan baik
- Rektum tidak dapat meregang untuk menahan najis. Dalam keadaan normal, akan wujud ‘sensasi rektum’ untuk memberi amaran keperluan untuk ke tandas
- Otot dubur (sfinkter) tidak mempunyai keupayaan ‘menutup’ lubang dubur
- Ketidakupayaan fizikal dan mental untuk memahami isyarat sudah tiba masanya ke tandas untuk pergerakan usus
- Najis terlalu berair
Siapa yang berisiko?
Sesiapa sahaja boleh mengalami masalah inkontinens najis. Namun sesetengah individu lebih berisiko mengalaminya jika:
- Berusia lebih 65 tahun
- Seorang wanita yang baru melahirkan anak atau mengambil terapi penggantian hormon menopaus
- Pesakit diabetes berpanjangan, sklerosis berbilang, trauma belakang kesan kecederaan atau pembedahan kerana keadaan ini berisiko merosakkan saraf yang berfungsi mengawal pembuangan air besar
- Masalah kawalan usus ini sering terjadi kepada individu dengan penyakit Alzheimer peringkat akhir dan demensia
- Mengalami ketidakupayaan fizikal mungkin menyukarkan individu untuk sampai ke tandas tepat pada masanya. Kecederaan yang menyebabkan kecacatan fizikal juga boleh menyebabkan kerosakan saraf rektum punca fecal incontinence
Baca juga:
Fungsi usus tidak dapat dikawal: Ini puncanya
- Kekerapan mengalami cirit-birit atau sembelit. Keadaan ini menyebabkan otot rektum dan dubur menjadi lemah dan mengurangkan keupayaan menahan najis.
- Kerosakan otot boleh berlaku semasa proses kelahiran yang sukar melalui faraj sehingga memerlukan doktor menggunakan forsep atau membuat episiotomi. Ia juga boleh berlaku kesan pembedahan dubur atau rektum.
- Otot di rektum dan dubur secara semula jadi akan lemah seiring peningkatan usia. Struktur lain berdekatan pelvis juga boleh menjadi lemah sekali gus membawa kepada masalah kesukaran mengawal fungsi usus.
- Sekiranya saraf yang mengawal keupayaan otot rektum dan dubur untuk ‘mengecut’ rosak, inkontinens dubur boleh berlaku. Kerosakan boleh berlaku semasa proses kelahiran faraj yang sukar, pembedahan dubur, sembelit – kesan kerap meneran dengan teruk, masalah kesihatan tertentu seperti diabetes, sklerosis berbilang, strok, tumor tulang belakang.
- Jika otot rektum tidak elastik seperti seharusnya, lebihan najis yang terkumpul boleh bocor dan keluar. Penyakit radang usus seperti penyakit Crohn juga boleh menjejaskan keupayaan rektum untuk meregang. Parut akibat pembedahan dan terapi radiasi juga boleh mengeraskan otot rektum.
- Keadaan perubahan tertentu seperti prolaps rektum – rektum jatuh ke dalam dubur atau rektokel – rektum menolak ke dalam faraj, sembelit kronik juga boleh menjadi punca inkontinens najis terjadi.
- Penyalahgunaan julap, terapi radiasi, keadaan sistem saraf tertentu dan kecacatan kongenital (diwarisi), keradangan (bengkak) dan penyakit radang usus juga boleh menjejaskan keupayaan mengawal najis.
Komplikasi
Komplikasi inkontinens najis mungkin termasuk:
- Tekanan emosi. Maruah terjejas yang dikaitkan dengan kehilangan kawalan ke atas fungsi tubuh boleh menimbulkan rasa malu, segan, kekecewaan dan kemurungan. Ia adalah kondisi biasa untuk individu yang mengalami keadaan ini, menyembunyikan masalah atau mengasingkan diri daripada masyarakat
- Iritasi kulit. Kulit pada sekitar dubur adalah sangat halus dan sensitif. Sentuhan kerap dengan najis boleh menyebabkan wujudkan kesakitan dan kegatalan serta meningkatkan potensi untuk terjadi luka (ulser) yang memerlukan rawatan perubatan
Merawat keadaan fungsi usus tidak terkawal
Terdapat rawatan yang boleh membantu memperbaiki masalah ketidakupayaan kawalan usus ini dan mengurangkan kesannya terhadap kehidupan. Ia biasanya bergantung kepada punca yang menyebabkannya.
Antara rawatan untuk inkontinens najis adalah:
- Produk inkontinens – seperti pad yang dipakai dalam seluar atau palam kecil yang dimasukkan ke dalam punggung
- Perubahan diet – menghindari makanan yang memburukkan masalah cirit-birit
- Ubatan untuk mengurangkan sembelit atau cirit-birit
- Senaman lantai pelvis untuk menguatkan otot yang digunakan bagi mengawal usus
- Pembedahan boleh dipertimbangkan jika rawatan lain tidak membantu
Bolehkah fungsi usus tidak terkawal dicegah?
Proses penuaan, trauma lampau dan keadaan perubatan tertentu boleh menyebabkan wujudnya masalah kawalan usus ini dan ia biasanya tidak dapat dicegah.
Walau bagaimanapun, anda boleh mengurangkan risiko dengan mengekalkan pergerakan usus teratur dan menjaga kekuatan otot pelvis.
Sekiranya wujud sebarang keraguan atau kebimbangan mengenai kondisi diri, anda disaran untuk melakukan pemeriksaan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian.
[embed-health-tool-bmr]