backup og meta

Tak Sah Jika Tak Kerap Ke Tandas Kalau Makan Pedas! Tapi Apa Sebabnya?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 11/10/2021

    Tak Sah Jika Tak Kerap Ke Tandas Kalau Makan Pedas! Tapi Apa Sebabnya?

    Meskipun ia adalah sangat menyelerakan, namun kita semua harus tahu bahawa terdapat keburukan makan pedas terhadap perut.

    Antara kesan keburukan makan pedas yang paling biasa akan dialami adalah sakit perut sehingga menyebabkan penderita berulang kali ke tandas.

    Namun, adakah anda tahu apa punca sebenar sakit perut selepas makan pedas? Jom ikuti artikel ini untuk baca lebih lanjut!

    Malaysia, syurga makanan pedas!

    Tujuan artikel ini ditulis sebenarnya adalah disebabkan masyarakat kita itu sendiri sangat gemar akan makanan yang pedas-pedas dan tidak tahu keburukan makan pedas ini.

    Sebagai contoh, sarapan pagi paling ikonik bagi orang Malaysia adalah nasi lemak berlauk berserta sambal yang lazat namun pedas.

    Tidak pula mengira makanan tengah hari atau malam yang juga banyak menyediakan lauk-pauk pedas seperti kari, gulai atau asam pedas.

    Akibatnya, ramai individu yang akan kerap mengunjungi tandas selepas waktu makan akibat cirit-birit yang amat menjengkelkan.

    Oleh itu, perlulah kita semua tahu keburukan makan pedas yang akan menyebabkan sakit perut dan cirit-birit kepada si penggemarnya!

    keburukan makan pedas

    Apa kaitan keburukan makan pedas dengan sakit perut?

    Kepedasan adalah satu reaksi deria rasa pada lidah yang diaktifkan oleh rempah ratus seperti cili atau lada di dalam masakan.

    Masakan seperti kari, gulai dan asam pedas sudah tentu perlu dicampurkan dengan bahan-bahan ini untuk mencipta rasanya.

    Namun mungkin ramai tak tahu bahawa rempah ratus sebegini mempunyai kandungan bernama capsaicin yang boleh merengsakan.

    Disebabkan itu, lidah atau kulit yang terkena bahan capsaicin ini akan terasa seakan terbakar apabila bersentuhan satu sama lain.

    Apabila memasuki perut pula, ada individu yang boleh bertoleransi namun ada juga yang tidak angkara dinding perut terlalu sensitif.

    Akibatnya, mereka yang tidak biasa untuk makan pedas akan mengalami sakit perut sehingga menyebabkan cirit-birit kronik.

    Bagaimana capsaicin menyebabkan cirit-birit?

    Pencernaan adalah satu proses yang berlaku dalam perut dan bermula dari saat gigitan pertama makanan sehingga ia dibuang.

    Sepanjang perjalanan untuk diproses dan dibuang, makanan akan melalui pelbagai organ termasuklah kerongkong, perut dan usus.

    Apabila kita makan pedas, molekul capsaicin ini akan bertindak balas dengan reseptor bernama transient potential vanilloid 1 (TRPV1).

    Untuk pengetahuan anda, reseptor inilah yang akan memberi isyarat kepada otak bahawa berlaku ‘kebakaran’ dalam tubuh badan.

    keburukan makan pedas

    Disebabkan itu, otak akan bertindak balas dengan melepaskan endorfin – membuat kita berasa sedikit lega dan mahu makan pedas lebih banyak.

    Apabila memasuki usus, sisa makanan dengan bahan ini akan bergerak lebih cepat sekali gus menyebabkan kondisi cirit-birit berlaku.

    Adakah cirit-birit ini berbahaya?

    Kebiasaannya, kondisi cirit-birit yang disebabkan oleh makanan pedas boleh pulih dengan sendirinya selepas 1 atau 2 hari.

    Dalam kebanyakan kes, mengubatinya sendiri di rumah dengan cara mengelak makan pedas selama beberapa hari sudah memadai.

    Namun ia juga mungkin boleh jadi berbahaya sekiranya anda mengalami dehidrasi akibat cirit-birit tidak terkawal atau dirawat.

    Disebabkan itu, anda disarankan untuk minum lebih banyak air kosong untuk mengelakkan kondisi ini menjadi lebih teruk.

    Jika ia masih tidak kebah selama beberapa hari, elakkan terus makanan pedas dan segera berjumpa doktor untuk berkonsultasi.

    Bolehkah kita semua makan pedas?

    Sebenarnya, soalan ini hanya boleh dijawab setelah mengetahui ketahanan seseorang itu terhadap makanan yang pedas.

    Ini kerana ada individu yang boleh bertoleransi dengannya dan ada juga yang mempunyai dinding perut sensitif.

    Namun secara umumnya, tiada masalah untuk kita semua makan pedas asalkan tahu cara untuk makan dengan betul.

    keburukan makan pedas

    Sekiranya kalian kerap sakit perut dan cirit-birit selepas makan pedas, ada beberapa tip yang boleh diamalkan:

    • Makan bersama produk tenusu untuk meneutralkan efek sampingan
    • Makan bersama manisan untuk mengelirukan reseptor dalam mulut
    • Makan dengan amaun yang sedikit sahaja
    • Bersedia untuk terus ke tandas selepas makan

    Jadi, adalah tidak salah untuk anda mencuba makanan pedas asalkan tahu cara untuk makan dengan betul serta tidak memudaratkan anda!

    Ia bukan petanda yang tidak baik!

    Mungkin ramai yang akan mengejek dan memerli anda akibat tidak mahu atau mampu untuk tahan dengan keburukan makan pedas gara-gara efek selepasnya.

    Sebenarnya, sakit perut dan cirit-birit yang berlaku selepas kalian makan pedas bukanlah merupakan petanda yang tidak baik.

    Ini kerana ia menunjukkan bahawa tubuh badan anda sedang berfungsi dengan baik dan hanya ingin melindungi anda daripada anasir tidak baik.

    Konklusinya, capsaicin yang wujud dalam rempah ratus makanan pedas adalah dalang kepada kondisi sakit perut dan cirit-birit.

    Untuk mengelakkannya, sila makan dengan cara yang betul terutamanya buat mereka yang mempunyai dinding perut sensitif.

    Selepas mengetahui informasi ini, jangan lagi risau untuk mencuba makanan dari Malaysia ya?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 11/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan