backup og meta

Bukan Warga Emas Sahaja, Orang Muda Juga Berisiko Terkena Alzheimer Jika Ini Berlaku...

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 30/08/2021

    Bukan Warga Emas Sahaja, Orang Muda Juga Berisiko Terkena Alzheimer Jika Ini Berlaku...

    Tahukah kalian bahawa tanggal 21 September pada setiap tahun merupakan Hari Alzheimer Sedunia? Ya, ia bukan satu tarikh yang perlu dipandang enteng!

    Ini kerana Alzheimer adalah satu penyakit berbahaya yang sering menyerang golongan warga emas.

    Pun begitu, ini tidak bermakna orang muda perlu berasa lega kerana anda juga masih mempunyai risiko.

    Persoalannya, apakah penyebab Alzheimer di usia muda? Untuk mengetahui jawapannya, jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi!

    Apa itu Alzheimer?

    Sebelum pergi dengan lebih lanjut, adalah wajar untuk kita semua berkenalan dengan penyakit ini terlebih dahulu.

    Untuk pengetahuan anda, Alzheimer atau lebih dikenali sebagai nyanyuk dalam kalangan masyarakat kita adalah sejenis penyakit yang membabitkan otak.

    Ia akan menjejaskan otak terutamanya dalam aspek memori, pemikiran dan kelakuan yang sudah pasti akan memberi kesan kepada kehidupan seharian kita.

    Sekiranya berlaku, penderita mungkin akan mengalami simptom-simptom seperti berikut:

    • Hilang memori
    • Kesukaran melakukan aktiviti seharian
    • Kesukaran menyelesaikan sebarang masalah
    • Kesukaran untuk bercakap atau menulis
    • Kesukaran mengingati tempat atau masa
    • Kurang daya pemikiran rasional
    • Kurang mementingkan kebersihan
    • Perubahan mood dan personaliti
    • Tidak mahu bercampur dengan kawan, keluarga dan komuniti

    gejala diabetes

    Akibatnya, penderita mungkin akan menjadi asing dalam dunianya sendiri sekali gus menjejaskan kehidupan.

    Menurut statistik yang pernah dikeluarkan oleh Alzheimer’s Association, penyakit ini merangkumi 60 ke 80 peratus kes demensia yang berlaku.

    Statistik itu turut menyatakan bahawa majoriti individu yang didiagnosis terkena penyakit nyanyuk ini adalah berusia 65 tahun ke atas.

    Sehingga kini, masih tiada sebarang penawar yang berjaya ditemui untuk merawat Alzheimer namun ada rawatan lanjutan yang boleh mengawal penyakit ini.

    Persoalannya, apa punca sebenar ia berlaku kepada individu?

    Apa punca Alzheimer?

    Sama seperti penawarnya, punca sebenar penyakit ini juga masih tidak dapat ditentukan sepenuhnya oleh doktor.

    Pun begitu, ramai pakar telah sebulat suara berpendapat bahawa ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor risiko termasuklah:

  • Usia tua – Individu yang berusia 65 tahun ke atas adalah lebih berisiko
  • Sejarah keluarga – Individu yang ada ahli keluarga dengan penyakit ini adalah lebih berisiko
  • Genetik – Wujud beberapa genetik dalam tubuh badan yang membawa kepada penyakit ini
  • Namun ini tidak bermakna kalian pasti akan terkena Alzheimer jika ada salah satu, dua atau tiga faktor risiko ini kerana ia hanya akan meningkatkan risiko sahaja.

    Genetik adalah punca utama?

    Meskipun tiada satu sebab kukuh yang boleh disahkan sebagai punca utama, genetik dikatakan adalah dalangnya!

    Menurut sorotan kajian, gene Apolipoprotein E (APOE) yang wujud dalam tubuh badan mungkin merupakan pencetus timbulnya pelbagai simptom-simptom nyanyuk.

    Pun begitu, para pengkaji juga sependapat bahawa jika tidak terdapat gen ini dalam tubuh badan tidak bermakna kalian boleh terlepas daripada risiko penyakit berbahaya ini.

    Untuk langkah keselamatan, adalah lebih baik untuk anda pergi berjumpa doktor dan menjalani ujian darah untuk memastikan sama ada terdapat gen ini dalam tubuh badan atau tidak.

    gejala diabetes

    Meskipun ramai orang tua yang menjadi mangsanya, namun tahukah kalian bahawa orang muda juga berisiko?

    Ini penyebab Alzheimer di usia muda!

    Buat anda yang mungkin belum tahu, penyakit nyanyuk tidak tertakhluk khas kepada orang tua malahan juga boleh terjadi kepada individu yang lebih muda.

    Untuk lebih tepat lagi, Alzheimer di usia muda dikategorikan buat penderita yang berusia 30 hingga 60 tahun.

    Ia lebih dikenali sebagai Alzheimer jenis young-onset atau early-onset yang menjadi igauan ngeri golongan belia.

    Menurut kajian, kira-kira 5 hingga 6 peratus penderita penyakit ini akan menunjukkan simptom sebelum berusia 65 tahun lagi.

    Persoalannya, apakah penyebab Alzheimer di usia muda?

    Majoriti penderita penyakit ini di usia muda menghidapi jenis sporadic yang pakar sendiri belum pasti mengapa ia terjadi sebelum usia yang sepatutnya.

    Namun ada juga individu yang menghidapi jenis familial di usia muda yang dikaitkan dengan sejarah ahli keluarga yang juga terkena penyakit ini sebelum usia.

    Tidak sama seperti penyakit nyanyuk yang biasa dan berkaitan dengan gen APOE, penderita di usia muda dikaitkan dengan 3 gen yang lain iaitu APP, PSEN1 dan PSEN2.

    Jawapan ringkasnya, penyebab Alzheimer di usia muda adalah mutasi genetik yang berlaku dalam tubuh badan penderita.

    alzheimer

    Ingatlah bahawa ia bukan penyakit biasa!

    Konklusinya, penyakit ini tidak wajar dipandang enteng dan hanya dianggap akan berlaku ketika seseorang itu mencapai usia warga emas sahaja.

    Ini kerana, orang muda yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 60 tahun juga berisiko terkena penyakit ini jika berlaku mutasi genetik dalam tubuh badan.

    Meskipun tiada sebarang penawar yang berjaya ditemui untuk merawat Alzheimer, adalah wajar untuk anda segera berjumpa doktor untuk berkonsultasi.

    Jika dirawat awal sebelum mencecah tahap yang membimbangkan, maka gejala penyakit ini mungkin dapat dikawal dan diselenggara untuk kehidupan yang lebih baik!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 30/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan