backup og meta

Jantung Terhenti Ketika Di Dalam Tandas? Ini Ada Kaitan Dengan Cara Buang Air Besar, Tau!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/01/2022

    Jantung Terhenti Ketika Di Dalam Tandas? Ini Ada Kaitan Dengan Cara Buang Air Besar, Tau!

    Kita selalu dengar mengenai pesakit jantung yang mengalami kemalangan di bilik air, lebih-lebih lagi orang tua yang menghidap cardiac arrest atau masalah jantung terhenti. Tetapi, dalam banyak-banyak tempat, mengapa kemalangan sering berlaku di dalam tandas?

    Sebenarnya, masalah jantung terhenti boleh berlaku di mana-mana sahaja. Namun, serangan yang berlaku di dalam tandas mempunyai bahayanya yang tersendiri.

    Disebabkan tandas merupakan ruang yang bersifat peribadi, mungkin sudah terlambat apabila ahli keluarga mulai sedar mengenai ketiadaan pesakit. 

    Oleh sebab itu, pesakit mempunyai risiko yang lebih besar untuk mengalami kecederaan yang lebih teruk kerana lewat mendapatkan rawatan.  

    Jika tidak dirawat secepat mungkin, masalah jantung terhenti boleh menyebabkan kematian. Kemungkinan pesakit untuk terus hidup boleh ditingkatkan jika pesakit mendapatkan rawatan secepat mungkin.

    Masalah jantung terhenti atau cardiac arrest

    masalah jantung terhenti

    Serangan jantung dan jantung terhenti sebenarnya bukanlah penyakit yang sama. Serangan jantung berlaku apabila darah yang mengalir ke arah jantung terhalang.

    Jantung terhenti pula berlaku apabila jantung mengalami masalah dan berhenti berdegup secara tiba-tiba.

    Serangan jantung merupakan masalah sistem peredaran darah, jantung terhenti pula merupakan masalah elektrikal jantung.

    Masalah jantung terhenti boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran. Disebabkan jantung tidak dapat mengepam darah secara normal, darah tidak sampai pada organ-organ penting seperti otak dan paru-paru.

    Dalam masa beberapa saat, pesakit akan pitam dan tidak mempunyai denyutan nadi. Jika tidak mendapatkan rawatan dalam masa beberapa minit, pesakit boleh meninggal dunia.

    Walaupun serangan jantung dan jantung terhenti merupakan dua perkara yang berbeza, namun dua penyakit ini sebenarnya saling berkait antara satu sama lain.

    Pesakit jantung yang sedang pulih berisiko untuk mengalami jantung terhenti. Malah, serangan jantung didapati dapat meningkatkan risiko jantung terhenti.

    Kebanyakan serangan jantung tidak menyebabkan jantung berhenti secara tiba-tiba. Tetapi, apabila jantung terhenti, serangan jantung selalunya merupakan punca di sebaliknya.

    Mengapa masalah jantung terhenti sering berlaku di tandas?

    masalah jantung terhenti

    Jantung terhenti selalunya berlaku disebabkan masalah elektrikal. Masalah degupan jantung yang tidak teratur lebih banyak berlaku ketika mandi ataupun ketika membuang air besar.

    Ketika membuang air besar, kita selalunya akan meneran. Walaupun ini bukanlah satu amalan yang luar biasa, aktiviti ini sebenarnya boleh membebankan jantung.

    Jika jantung anda sudah mengalami masalah, aktiviti ini boleh menyebabkan jantung terhenti secara tiba-tiba.

    Menurut Dr. Satish S.C. Rao dari Medical College of Georgia, duduk sahaja di atas mangkuk tandas tidak berbahaya. Namun, aktiviti meneran dalam satu jangka masa yang lama boleh mendatangkan bahaya.

    Malah, aktiviti meneran ketika membuang air besar juga boleh mencetuskan masalah pada sistem kardiovaskular anda. Ia boleh menyebabkan sinkope (pengsan) atau kematian mengejut.

    Tambah lagi, masalah sembelit yang kronik juga didapati berkait rapat dengan penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.

    Langkah keselamatan ketika berada di tandas

    Jika anda perlukan bantuan kecemasan ketika berada di bilik air, penting untuk anda mendapatkannya secepat mungkin walaupun anda rasa malu.

    Masalah jantung terhenti boleh membawa maut jika anda tidak mendapatkan rawatan segera. 

    Pastikan anda minta pertolongan seseorang apabila anda mula mengalami simptom seperti:

    1. Sakit dada.
    2. Sesak nafas.
    3. Pening kepala.
    4. Muntah-muntah.
    5. Sukar bernafas.
    6. Pengsan.

    Jika anda baru sahaja mengalami serangan jantung dan sedang pulih, pastikan ahli keluarga anda tahu mengenai kondisi kesihatan anda jika berlakunya sebarang kecemasan.

    Anda juga perlulah mempunyai ‘sistem keselamatan’ sendiri untuk memastikan keselamatan anda di rumah sentiasa terjaga.

    Sebagai contoh, pastikan ada ahli keluarga yang akan periksa kondisi anda jika anda berada di dalam tandas dalam satu tempoh masa tertentu.

    Selain itu, bawa telefon bimbit ketika mandi atau membuang air besar. Amalan ini mungkin dapat membantu anda ketika kecemasan.

    Pastikan telefon bimbit tersebut berada dekat dengan anda supaya mudah untuk anda menelefon ahli keluarga jika berlakunya kemalangan.

    Amalkan juga tabiat berikut ketika berada di dalam tandas:

  • Jangan rendam badan di dalam air panas melepasi paras dada.
  • Pasang jam loceng ketika mandi.
  • Jangan mandi atau berendam lama-lama selepas mengambil ubat yang membuatkan anda rasa mengantuk.
  • Penyakit jantung seperti strok atau jantung terhenti boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di manapun mereka berada.

    Oleh sebab itu, pesakit jantung perlulah tahu mengenai tanda serangan jantung untuk tujuan keselamatan.

    Kesimpulan

    masalah jantung terhenti

    Masalah jantung terhenti merupakan kondisi yang kerap berlaku di dalam bilik air.

    Disebabkan kesukaran untuk berkomunikasi, individu yang alami jantung terhenti di dalam tandas boleh meninggal dunia kerana tidak sempat mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

    Jika anda mengalami simptom seperti sakit dada dan sebagainya, panggil ahli keluarga terdekat dan minta mereka telefon 999. Jantung terhenti masih boleh dirawat jika pesakit dibawa ke hospital dengan kadar yang segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan