backup og meta

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Proses Penuaan Normal

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/08/2021

    Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Proses Penuaan Normal

    Apabila kita sudah menginjak usia tua, banyak perubahan yang pasti akan berlaku dalam hidup kita. Ini termasuklah proses penuaan. Namun, bagaimana untuk mengetahui jika proses penuaan yang kita lalui itu adalah penuaan normal atau tidak?

    Ini perkara yang berlaku dalam proses penuaan normal

    Perkara-perkara ini mungkin akan anda alami bagi proses penuaan normal. Tetapi anda tidak perlu risau kerana kami akan memberikan beberapa tip bagaimana untuk anda mengatasi hal-hal yang berlaku ini.

    #1. Jantung bekerja dengan lebih kuat

    Apabila anda semakin tua, saluran darah dan arteri anda akan menjadi semakin kaku. Jantung anda perlu bekerja dengan lebih keras untuk mengepam darah.

    Ini boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan masalah-masalah jantung yang lain.

    Apa yang perlu anda lakukan hanyalah untuk kekal aktif. Sama ada anda hanya berjalan, berlari atau bersenam secara sederhana, ia boleh membantu untuk menjaga berat badan dan mengawal tekanan darah anda.

    Selain itu, anda juga perlu makan banyak buah-buahan, sayur-sayuran, dan biji-bijian untuk menjaga kesihatan jantung.

    Pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi. Tidur selama 7 hingga 8 jam setiap malam agar ia dapat memperbaiki dan menyembuhkan hati serta saluran darah anda.

    #2. Kulit berasa agak berlainan

    proses penuaan

    Anda mungkin menyedari bahawa kulit anda terasa lebih kering dan kurang anjal berbanding sebelumnya.

    Itu kerana kulit anda kurang menghasilkan minyak semula jadi seiring bertambahnya usia. Anda juga akan kurang berpeluh selain kehilangan sebahagian tisu lemak di bawah kulit.

    Ini boleh menjadikan anda kelihatan lebih kurus. Kulit anda juga mungkin akan mempunyai kedutan, bintik-bintik, atau pertumbuhan kecil kulit.

    Apa yang boleh anda lakukan adalah dengan mengelakkan penggunaan air panas sewaktu mandi. Ini kerana air panas boleh mengeringkan kulit anda dengan lebih cepat.

    Selain itu, pakai pelindung matahari dan pakaian pelindung semasa anda berada di luar rumah.

    Periksa kulit anda dengan kerap dan beritahu doktor jika anda melihat sebarang perubahan padanya.

    Sekiranya anda merokok, anda perlulah menghentikan tabiat tersebut kerana ia jelas boleh menyebabkan kulit yang berkedut.

    #3. Pendengaran dan penglihatan anda akan mula terganggu

    Anda mungkin sukar untuk fokus pada objek dari jarak dekat. Anda juga mungkin memerlukan penggunaan cermin mata membaca untuk pertama kalinya.

    Anda berasa silau dan berasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan cahaya yang agak drastik.

    Bagi pendengaran pula, anda mungkin mengalami kesukaran untuk berbual di ruang sesak atau mendengar dengan frekuensi tinggi.

    Bagi mengatasi masalah ini, periksa penglihatan dan pendengaran anda secara berkala.

    Pakai cermin mata hitam untuk melindungi mata anda di luar rumah. Pakai penutup telinga untuk melindungi atau menyekat telinga anda daripada mendengar bunyi yang kuat.

    #4. Gigi dan gusi anda akan turut alami perubahan

    penuaan normal

    Anda mungkin perasan gusi anda akan mula merenggang daripada gigi anda. Sesetengah ubat-ubatan juga membuatkan mulut anda lebih kering.

    Mulut yang kering boleh menyebabkan anda lebih berisiko untuk mengalami gigi yang reput dan juga jangkitan.

    Bagi mengatasi hal ini, berus dan flos gigi anda dua kali sehari untuk menghilangkan sisa makanan dan plak di antara gigi anda.

    Ini adalah kaedah terbaik untuk membantu mencegah penyakit gusi dan kehilangan gigi.

    Anda juga dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor gigi bagi melakukan pemeriksaan dan pembersihan secara berkala.

    #5. Tulang anda mula menjadi rapuh

    Seawal usia 40-an dan 50-an, tulang anda mula menjadi lemah. Tulang anda menjadi kurang padat dan lebih rapuh. Ini meningkatkan risiko untuk anda mengalami kepatahan tulang. Anda mungkin melihat diri anda kelihatan menjadi lebih pendek.

    Sebenarnya, bermula pada usia 40-an, anda mungkin lebih pendek antara 1 hingga 2 inci. Hal ini berlaku apabila cakera di tulang belakang anda mulai menyusut. Sendi anda mungkin akan terasa lebih kaku.

    Cecair dan tulang rawan yang melapisi sendi boleh berkurangan atau hilang seiring bertambahnya usia. Apabila tisu di antara sendi anda pecah, anda mungkin mengalami artritis.

    Untuk mengelakkan hal-hal ini daripada berlaku dengan pantas, pastikan anda mendapat sumber kalsium dan vitamin D yang mencukupi. Sumber kalsium yang baik dalam makanan anda termasuklah produk tenusu, badam, dan sayur-sayuran seperti brokoli dan kangkung.

    Doktor anda juga mungkin akan mengesyorkan pengambilan suplemen kalsium.

    Vitamin D sangat penting untuk kesihatan tulang kerana ia berperanan membantu tubuh menyerap kalsium dan mengekalkan kekuatan tulang.

    Sesetengah individu mendapatkan cukup sumber kalsium dengan menghabiskan banyak waktu di bawah sinar matahari.

    Anda juga boleh mendapatkannya daripada sumber seperti ikan tuna, ikan sardin, kuning telur, dan makanan yang diperkaya seperti susu dan bijirin. 

    Kesimpulan

    Anda boleh memperlambatkan proses penuaan yang berlaku ini dengan mengikuti beberapa tip yang telah kami sarankan seperti di atas.

    5 perkara yang dinyatakan ini adalah antara proses penuaan normal bagi seseorang individu yang telah mula menginjak usia senja.

    Jadi, anda tidak perlu begitu risau jika mengalami salah satu daripada perkara-perkara di atas.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan