Alamak! 3 Perkara Ini Jadi Punca Kulit Muka Gatal

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 19/10/2022

    Alamak! 3 Perkara Ini Jadi Punca Kulit Muka Gatal

    Masalah kulit muka gatal boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa sebarang amaran. Ia boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kadangkala luka pada kawasan kulit wajah.

    Selalunya, kulit gatal berlaku disebabkan penyakit seperti cacar air, gigitan nyamuk atau kulit kering. Tetapi, bukan itu sahaja, ada banyak lagi penyebab gatal pada kawasan muka yang mungkin anda tidak tahu.

    Jika anda kerap alami gatal-gatal pada kulit wajah, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera. Masalah gatal kulit muka yang kronik perlukan perhatian daripada doktor untuk mendapatkan kelegaan.

    Namun, jika anda tertanya-tanya punca sebenar gatal muka yang anda alami, jom ikuti penerangan kami di bawah. Mana tahu, informasi ini mungkin dapat membantu anda.

    Legakan kulit muka gatal

    Sebelum anda mencuba langkah yang lain, cuba periksa sama ada solusi yang mudah seperti menukar pencuci muka atau fabrik baharu dapat melegakan iritasi pada wajah anda.

    Selain itu, jika anda mempunyai alahan terhadap makanan tertentu, cuba elakkannya untuk memastikan muka anda tidak diserang gatal-gatal.

    Walau bagaimanapun, jika alahan merupakan dalang di sebalik kegatalan yang anda alami, pastikan anda mendapatkan rawatan daripada doktor atau farmasi berdekatan. Selalunya, ubat-ubatan tersebut dapat membantu melegakan kegatalan.

    Tetapi, masalah kulit tidak selalunya dapat dilegakan dengan cara yang mudah. Selain masalah di atas, ada beberapa kondisi lain yang boleh menyebabkan kulit muka gatal. Sebagai contoh:

    1. Kulit kering sebabkan muka gatal

    kulit muka gatal

    Kulit yang amat kering boleh menyebabkan masalah gatal yang teruk. Tanpa sebarang rawatan, masalah kulit kering boleh jadi semakin serius.

    Selain itu, kulit kering juga boleh dicetuskan oleh penyakit seperti psoriasis, dermatitis atopik atau masalah buah pinggang.

    Ada juga kemungkinan, anda mungkin melakukan sesuatu tanpa disedari yang menyebabkan kulit anda gatal.

    Sebagai contoh, mandi air panas dan penggunaan pencuci muka yang tidak sesuai boleh menyebabkan kulit gatal. Teknik bercukur yang salah juga boleh membuatkan anda alami iritasi.

    Penjagaan wajah amat penting untuk mereka yang mempunyai kulit kering.

    Di bawah, kami senaraikan beberapa langkah yang mungkin dapat membantu anda untuk menguruskan masalah ini dengan lebih baik:

    1. Ikut pelan rawatan anda. Pastikan anda berjumpa ahli dermatologi untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian.
    2. Jangan lupa hadir janji temu. Rawatan anda mungkin perlu diubah jika kulit anda menunjukkan sebarang perubahan.
    3. Gunakan pelembap! Jangan lupa, pelembap memainkan peranan yang penting untuk menyembuhkan kulit kering.
    4. Basuh muka menggunakan pencuci muka yang lembut. Pilih pencuci yang bebas pewangi.
    5. Mandi dengan air suam bukan air panas. Air panas boleh menyebabkan masalah kulit kering anda jadi semakin teruk.

    2. Muka gatal disebabkan gigitan serangga

    kulit muka gatal

    Gigitan serangga seperti nyamuk, kutu dan pepijat juga boleh menyebabkan kulit muka anda jadi gatal.

    Walau bagaimanapun, masalah kegatalan disebabkan haiwan kecil ini selalunya dapat dikesan disebabkan bekas gigitannya yang jelas.

    Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai masalah infestasi di kawasan tempat tinggal anda, kegatalan yang disebabkan oleh serangga ini boleh menyebabkan ketidakselesaan yang berpanjangan.

    Pertama sekali, anda perlu kenal pasti binatang apakah yang mengigit anda berdasarkan tanda gigitan yang anda alami. Selalunya, ahli dermatologi yang berpengalaman dapat membezakan tanda-tanda gigitan haiwan ini.

    Jika kegatalan ini berlaku disebabkan pepijat, anda perlu memanggil pihak kawalan serangga untuk melakukan pembasmian. Jika tidak, pepijat akan sentiasa menghantui hidup anda dan boleh merebak ke kawasan rumah yang lain.

    3. Kulit muka gatal disebabkan kondisi kulit tertentu

    kulit muka gatal

    Kadangkala, penyakit kulit tertentu seperti dermatitis atopik, cacar air, ekzema, psoriasis dan ruam boleh menyebabkan kulit muka gatal.

    Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan kelegaan, anda perlu tahu kondisi apa yang anda alami. Oleh sebab itu, penting untuk anda mendapatkan diagnosis yang tepat daripada ahli dermatologi yang diiktiraf.

    Selain itu, gatal pada kawasan kulit muka juga boleh menjadi salah satu simptom kanser kulit.

    Salah satu cara untuk mengesan kanser kulit adalah dengan mengesan sama ada anda mempunyai tompokan baharu pada kawasan kulit.

    Mungkin sukar untuk kita mengenal pasti tompokan baharu. Namun, kadangkala tompokan ini boleh menyebabkan kegatalan. Ini merupakan salah satu cara untuk mengenal pasti tompokan baru pada kawasan kulit anda.

    Alahan juga boleh menyebabkan kulit muka gatal. Sebagai contoh, alergi nikel boleh menyebabkan individu rasa gatal ketika bersentuhan dengan sebarang objek yang diperbuat daripada besi.

    Kerongsang yang dipakai pada tudung, zip baju, anting-anting dan rangka cermin mata boleh menyebabkan anda alami gatal-gatal. Jika anda mengalami reaksi alahan, ia mungkin muncul sekali bersama ruam.

    Kesimpulan

    Kegatalan yang berlarutan boleh menjejaskan kualiti hidup anda jika ia tidak dirawat dengan segera.

    Malah, kegatalan ini juga boleh mengganggu tidur anda, menyukarkan anda untuk bekerja dan menyebabkan anda menggaru wajah hingga luka.

    Jika anda tidak dapat mengenal pasti punca kegatalan yang dialami, pastikan anda berjumpa doktor untuk rawatan lanjut. Kegatalan itu mungkin berpunca daripada sesuatu yang lebih serius.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 19/10/2022

    Iklan
    Iklan
    Iklan
    Iklan