Pernahkah anda terdengar atau terbaca mengenai kondisi gastrik angin sesak nafas? Persoalannya, adakah ia benar wujud?
Sering kali menjadi tanda tanya sama ada kesukaran untuk bernafas itu adalah salah satu petanda diserang gastrik atau bukan.
Untuk mengetahui jawapan sebenar kepada persoalan ini, ayuh kita semua ikuti artikel dengan lebih mendalam lagi.
Lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman di sini.
Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan gastrik?
Gastrik atau gastritis adalah merujuk kepada keradangan yang berlaku pada lapisan dalam perut ekoran penurunan tahap perlindungan.
Ia selalu berlaku apabila anda terlupa atau terlepas waktu makan dan akibatnya anda akan terasa perut tidak selesa seperti masuk angin.
Selain ‘skip’ waktu makan, terdapat beberapa lagi faktor risiko lain yang menyebabkan kondisi ini terjadi iaitu:
- Jangkitan bakteria Helicobacter pylori
- Tahap tekanan yang tinggi pada badan
- Pengambilan ubat tahan sakit NSAIDs
- Pengambilan alkohol dan nikotin berlebihan

Kesemua perbuatan ini mungkin akan menyebabkan sakit perut yang melampau disertai dengan beberapa gejala yang lain.
Persoalannya, adakah keadaan kesihatan ini juga akan sebabkan sesak nafas?
Gastrik angin sesak nafas, benarkah keadaan ini boleh terjadi?
Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, kondisi ini sudah pasti akan menjejaskan sistem penghadaman manusia.
Ia akan menyebabkan gejala-gejala berkaitan dengan organ perut, abdomen, tekak dan kawasan berdekatan dengannya.
Bagaimana pula dengan gejala sesak nafas? Adakah ia juga merupakan antara gejala gastritis?
Jawapannya, ya memang benar bahawa gastrik boleh menyebabkan ia berlaku angkara tekanan darah yang meningkat.
Peningkatan tekanan ini dikaitkan dengan keradangan perut dan kegelisahan yang dialami sewaktu mengalami kondisi ini.
Dikatakan tekanan darah ini juga akan meningkatkan kadar degupan jantung sehingga 100 BPM!
Disebabkan itu, usah khuatir jika mengalami sesak nafas akibat gastrik dan segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan atau ubatan.
Apa gejala-gejala gastrik angin sesak nafas yang lain?
Selain gastrik sesak nafas, keadaan kesihatan ini tentu sekali akan menyebabkan gejala lain terutamanya yang melibatkan organ perut.
#1. Ketidakhadaman
Ketidakhadaman ini akan menyebabkan rasa sakit pada bahagian atas perut.
Kebiasaannya, masalah ini mungkin akan berlaku selepas anda makan atau minum.
Ia adalah disebabkan oleh asid dalam perut memecahkan lapisan pelindung dinding perut yang membawa kepada kerengsaan dan kesakitan.
Petanda gastrik #2. Pedih ulu hati
Pedih ulu hati terjadi apabila kandungan asid dalam perut masuk semula ke dalam saluran pemakanan bersama dengan makanan yang dimakan.
Anda akan rasa sakit pada bahagian dada atau tekak seakan-akan seperti terbakar dan selalunya terjadi selepas anda makan dalam kuantiti yang banyak.
Apabila sering terjadi, ia mungkin tanda masalah Gastro Esophageal Reflux Disease (GERD), masalah pencernaan kronik yang berlaku apabila asid perut atau kandungan perut mengalir kembali ke kerongkong anda.

Petanda gastrik angin sesak nafas #3. Hilang selera makan
Masalah gastrik angin cenderung membuat anda hilang selera makan dan jika dipaksa juga, anda hanya mampu untuk memakan sedikit sahaja.
Namun itu tidak bermakna kalian tidak perlu untuk makan kerana mengambil makanan walaupun sedikit adalah penting ketika menghidap gastritis.
#4. Badan lemah dan lesu
Apabila anda mengalami gastrik, badan secara automatik akan sentiasa rasa lemah dan lesu.
Ini kerana anda perlu menahan rasa sakit yang menyebabkan ketidakselesaan pada perut anda.
#5. Rasa loya, mual dan muntah
Angin dalam perut itu akan membuatkan anda loya atau mual yang seterusnya akan membuat anda muntah-muntah.
Muntah akibat gastrik angin sesak nafas ini kebiasaannya berwarna jernih, kuning, atau kehijauan dan mungkin mengandungi darah, bergantung pada tahap gastritis yang dihadapi.

#6. Perut tegang dan kembung
Akhir sekali, perut kembung akan terjadi apabila perut mengeluarkan asid penghadaman secara berlebihan ekoran kerosakan saraf pada bahagian dalaman dinding perut.
Akibatnya, asid berlebihan ini akan melalui usus dan bertindak balas membentuk gas atau angin di dalam perut.
Ia akhirnya mengakibatkan usus dalam perut menjadi tegang dan kembung.
Selain itu, wujud juga beberapa gejala gastrik angin sesak nafas yang lain termasuklah:
- Kerap sendawa
- Sering kentut
- Najis berwarna hitam, dipercayai akibat gastritis yang kronik
Adakah gastrik menyebabkan pening?
Ya, gastrik boleh menyebabkan pening dalam keadaan tertentu. Antara sebabnya:
-
Asid perut berlebihan boleh menyebabkan ketidakselesaan yang menjejaskan keseimbangan badan.
-
Perut kosong terlalu lama boleh menyebabkan paras gula dalam darah menurun, lalu menyebabkan pening atau rasa melayang.
-
Simptom sampingan gastrik seperti loya dan kembung perut boleh menimbulkan rasa tidak stabil.
-
Stres atau cemas akibat sakit gastrik juga boleh menyebabkan pening kepala.
Jika pening berterusan atau teruk, sebaiknya dapatkan pemeriksaan doktor kerana ia juga boleh berpunca daripada masalah lain seperti tekanan darah rendah atau gangguan telinga dalam.
Kenapa kerap kena gastrik?
Kerap kena gastrik boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang mengganggu lapisan perut dan meningkatkan asid perut. Antaranya:
-
Makan tidak teratur atau kerap skip waktu makan.
-
Makanan pedas, berasid atau berminyak yang mencetuskan pengeluaran asid perut berlebihan.
-
Tekanan dan kebimbangan yang merangsang perut menghasilkan lebih banyak asid.
-
Pengambilan ubat tahan sakit (NSAIDs) seperti ibuprofen atau aspirin tanpa makanan.
-
Merokok dan pengambilan alkohol yang merosakkan lapisan pelindung perut.
-
Jangkitan bakteria Helicobacter pylori yang menyebabkan radang pada dinding perut.
Mengamalkan gaya hidup sihat dan makan secara teratur dapat membantu mencegah serangan gastrik yang berulang.
[embed-health-tool-bmi]