Penyakit arteri koronari merupakan salah satu jenis penyakit jantung yang lazim di dunia. Penyakit ini turut dikenali dengan nama penyakit jantung koronari atau penyakit jantung iskemia. Tanda sakit jantung koronari selalunya sukar untuk dikesan kerana ia mengambil masa berdekad sehinggalah simptom mulai muncul.
Penyakit arteri koronari bermula ketika kita masih muda.
Ketika remaja, salur darah mula membentuk jaluran lemak. Lama-kelamaan, lemak ini akan berkumpul dan menyebabkan luka pada dinding saluran darah.
Kemudian, bahan-bahan lain seperti sel, protein dan kalsium di dalam darah akan mula melekat pada kawasan tersebut.
Bahan-bahan ini akan berkumpul dan membentuk plak. Pembentukan plak inilah yang akan menyebabkan saluran arteri menjadi sempit.
Pembentukan plak ini turut dikenali dengan nama aterosklerosis. Ia boleh menyebabkan sakit jantung atau sakit dada (angina).
Kebanyakan serangan jantung berlaku apabila plak ini pecah dan menyebabkan pembentukan darah beku di sekitarnya.
Simptom
Simptom penyakit arteri koronari
Apabila saluran darah telah menjadi sempit, darah tidak mampu membekalkan oksigen yang cukup kepada jantung lebih-lebih lagi apabila ia berdegup laju.
Pada awalnya, pengedaran darah yang berkurangan mungkin tidak akan menyebabkan apa-apa simptom.
Walau bagaimanapun, tanda sakit jantung koronari boleh dirasai jika plak terus terbentuk di dalam arteri.
Sebagai contoh, pesakit mungkin akan alami simptom seperti berikut:
- Sakit dada (angina). Anda mungkin rasa tekanan atau sakit pada kawasan dada seperti ada orang sedang berdiri di atas badan anda. Rasa sakit ini dikenali dengan nama angina dan boleh dirasai pada kawasan tengah atau kiri dada.
- Sesak nafas. Jika darah tidak dapat membekalkan oksigen yang cukup kepada badan, anda akan rasa sesak nafas atau penat yang amat sangat setelah melakukan aktiviti tertentu.
- Sakit jantung. Arteri yang telah terhalang sepenuhnya dengan darah beku akan menyebabkan sakit jantung. Baca lebih lanjut mengenai tanda sakit jantung di sini. Walaupun begitu, sakit jantung boleh berlaku tanpa sebarang simptom.
Punca dan faktor risiko
Punca penyakit jantung koronari
Penyakit ini berlaku apabila terdapatnya luka pada kawasan dalam arteri koronari. Luka ini boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti:
- Amalan merokok.
- Tekanan darah tinggi.
- Kolesterol tinggi.
- Rintangan terhadap insulin atau diabetes.
- Tidak aktif (menjalani hidup sedentari)
Faktor risiko
Antara faktor risiko untuk penyakit ini adalah:
- Umur. Mereka yang lebih tua berisiko untuk mengalami luka atau penyempitan pada kawasan arteri.
- Jantina. Lelaki lebih berisiko untuk mengalami penyakit arteri koronari. Namun wanita mempunyai risiko yang meningkat selepas menopaus.
- Sejarah keluarga. Anda lebih berisiko untuk mengalami penyakit ini jika ada ahli keluarga atau saudara-mara dengan penyakit yang sama.
- Merokok. Individu yang merokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung.
- Tekanan darah tinggi.
- Kolesterol tinggi.
- Diabetes, lebih-lebih lagi diabetes jenis 2.
- Berat badan berlebihan atau obes.
- Tidak aktif.
- Stres.
- Diet tidak seimbang.
Diagnosis dan rawatan
Bagaimanakah penyakit arteri koronari didiagnosis?
Doktor akan melakukan diagnosis dengan cara:
- Bercakap dengan pesakit mengenai simptom, sejarah penyakit dan juga faktor risiko.
- Melakukan ujian fizikal.
- Melakukan ujian diagnostik.
Melalui ujian diagnostik, doktor boleh mengesan sejauh manakah penyakit yang anda alami serta kesannya terhadap fungsi jantung anda. Anda mungkin menerima ujian diagnostik seperti:
- Ujian elektrokardiograf seperti ECG atau EKG.
- Ujian makmal seperti ujian darah dan sebagainya.
- Ujian invasif seperti cardiac catheterization.
Rawatan penyakit arteri koronari
Jika anda menghidap penyakit ini, doktor mungkin akan mencadangkan beberapa langkah untuk mengurangkan risiko sakit jantung:
- Perubahan gaya hidup seperti makan secara sihat (kurang garam, kurang lemak), bersenam dengan lebih kerap, berat badan yang sihat dan berhenti merokok.
- Pengambilan ubat-ubatan untuk merawat faktor risiko penyakit arteri koronari seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau aritmia.
- Pembedahan untuk memperbaiki pengaliran darah menuju jantung.
Komplikasi
Penyakit jantung jenis ini boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Sakit dada (angina). Anda akan alami sakit dada apabila salur darah menyempit, lebih-lebih lagi ketika sedang melakukan aktiviti yang berat.
- Sakit jantung. Jika plak pecah dan darah beku terbentuk, halangan pada saluran darah boleh menyebabkan serangan jantung.
- Kegagalan jantung. Jika ada beberapa bahagian jantung yang tidak mendapat oksigen atau nutrisi yang cukup disebabkan pengaliran darah yang tersekat, jantung mungkin akan jadi terlalu lemah untuk mengepam darah.
- Aritmia. Bekalan oksigen yang tidak mencukupi boleh mengganggu impuls elektrikal jantung dan menyebabkan degupan jantung yang tidak normal.
Pencegahan
Perubahan gaya hidup yang dilakukan untuk merawat penyakit jantung jenis ini juga dapat membantu mengelakkan penyakit arteri koronari.
Gaya hidup yang sihat boleh memastikan arteri anda sentiasa kuat dan bebas plak.
Untuk jantung yang lebih sihat, ikuti tip di bawah:
- Berhenti merokok.
- Kawal kondisi seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan diabetes.
- Aktif secara fizikal.
- Makan makanan rendah lemak, rendah garam yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan juga bijirin penuh.
- Pastikan berat badan sihat.
- Kurangkan dan kawal stres.
[embed-health-tool-heart-rate]