backup og meta

Sebatang Atau Sekotak Rokok Sehari, Ada Beza Ke Risiko Merokok Pada Tubuh Badan?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/10/2022

    Sebatang Atau Sekotak Rokok Sehari, Ada Beza Ke Risiko Merokok Pada Tubuh Badan?

    “Alah, kau ambil sebatang ke dua, sama saja bahaya merokok. Takut penyakit jantung lah tu!”, ujar Farid kepada rakannya.

    Sejauh manakah kebenaran penyataan Farid tersebut? Betulkah cara pemikiran di mana jumlah rokok menentukan risiko kesihatan kita di masa hadapan?

    Untuk mengetahui jawapannya, marilah ikuti perkongsian artikel ini.

    Bahaya merokok dan kesannya kepada tubuh

    bahaya merokok

    Rokok menghasilkan bahan kimia yang menyebabkan sekurang-kurangnya 15 jenis penyakit yang berbeza kepada tubuh kita terutama sekali paru-paru dan jantung.

    Walaupun diketahui mengandungi bahan kimia yang banyak, namun masih ramai individu tertarik untuk merokok kerana beranggapan nikotin memberi perasaan yang menyenangkan kepada diri mereka.

    Namun hakikatnya, tabiat ini boleh menyebabkan mereka ketagih dan sukar untuk berhenti kemudian hari.

    American Cancer Society menyatakan merokok boleh memendekkan usia perokok, di mana untuk lelaki sekitar 12 tahun manakala wanita 11 tahun.

    Komplikasi bergantung pada kuantiti rokok: Fakta atau auta?

    bahaya merokok

    Satu kajian mendedahkan tanggapan di mana bahaya merokok berkait dengan jumlahnya merupakan auta semata-mata.

    Kajian tersebut membuktikan lelaki yang merokok hanya sebatang rokok setiap hari masih mempunyai 46% risiko untuk mendapat penyakit jantung berbanding jumlah risiko perokok yang merokok 20 batang sehari.

    Manakala untuk wanita, individu yang menghisap sebatang rokok setiap hari mempunyai 31% risiko untuk mendapat penyakit jantung daripada jumlah risiko perokok yang merokok 20 batang sehari.

    Kajian ini juga meneliti risiko strok daripada sebatang rokok sehari berbanding 20 batang sehari.

    Kadarnya serupa dengan risiko penyakit jantung iaitu 41% risiko untuk lelaki dan 34% untuk wanita.

    Komplikasi merokok lain yang merisaukan termasuklah:

    #1 Boleh menjadi buta

    Bahaya merokok dikaitkan dengan risiko degenerasi makula yang berkaitan dengan usia, penyebab utama kebutaan orang dewasa yang berumur 65 tahun ke atas.

    #2 Diabetes jenis 2

    Merokok menyumbang kepada diabetes jenis 2 dan meningkatkan risiko komplikasi penyakit ini, termasuklah saluran darah yang kurang ke kaki.

    Ini boleh menyebabkan jangkitan dan jika tidak dirawat, boleh mengakibatkan amputasi anggota badan. Ya, anda tidak salah kerana anda boleh kehilangan kaki akibat bahaya merokok!

    #3 Disfungsi ereksi atau mati pucuk

    Fungsi seksual lelaki boleh terjejas kerana rokok. Tembakau menyebabkan penyempitan saluran darah di seluruh badan anda, termasuklah bekalan darah ke zakar.

    Namun, sekiranya anda berhenti merokok, ia dapat memberikan perubahan yang besar.

    #4 Kehamilan luar rahim

    Kehamilan luar rahim atau ektopik adalah komplikasi yang boleh mengancam nyawa wanita. Ia lebih cenderung untuk berlaku dalam kalangan perokok.

    Ia berlaku apabila telur yang disenyawakan menempel di tempat lain selain rahim.

    #5 Penyakit gusi

    Seolah-olah anggota badan tidak mencukupi, anda juga berisiko kehilangan gigi akibat merokok.

    Antara kesan merokok termasuklah jangkitan gusi yang boleh merosakkan tulang yang menyokong gigi anda.

    Ia merupakan penyebab utama kehilangan gigi pada orang dewasa.

    Bahaya merokok bawa maut!

    The Lancet Respiratory Medicine mendedahkan satu kajian di mana individu dalam kumpulan perokok ringan, iaitu yang merokok satu hingga lima batang sehari tidak peka akan risiko untuk mengalami penyakit jantung dan paru-paru yang boleh membawa maut.

    Perokok jangka masa panjang berisiko untuk mendapat penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) yang tidak dapat diubati.

    Selain itu, mereka juga berpotensi untuk mendapat kanser paru-paru. Merokok merupakan penyebab utama untuk kanser paru-paru dan ia boleh dielakkan sama sekali.

    Jika anda berhenti merokok sebelum mencecah usia 40 tahun, risiko kematian awal lebih kurang dibandingkan dengan jika berhenti selepas berusia 40 tahun.

    Akan tetapi, jikalau anda berhenti merokok selepas berusia 60 tahun, risiko kematian lebih rendah berbanding orang dewasa yang masih merokok.

    Katakan TAK NAK kepada rokok

    bahaya merokok

    Oleh sebab risiko mendapat komplikasi penyakit jantung dan strok hampir sama dengan perokok yang merokok 20 batang sehari, seeloknya anda cubalah untuk berhenti sebelum terlambat.

    Jalanilah gaya hidup yang sihat demi kesihatan jantung anda. Anda boleh amalkan cara di bawah:

    #1 Berhenti merokok

    Cubalah untuk berhenti merokok dan janganlah menukar ketagihan anda kepada benda lain seperti vape, rokok elektronik dan sebagainya.

    Anda boleh berbincang dengan doktor mengenai cara yang paling efektif untuk anda menghentikan bahaya merokok.

    #2 Amalkan senaman dan aktiviti fizikal

    Seeloknya, amalkan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti fizikal intensiti sederhana seperti berjalan pantas, berjoging, dan berbasikal tiga kali seminggu.

    Menjalankan aktiviti fizikal dengan kerap mempunyai banyak faedah seperti mengurangkan keinginan anda untuk merokok, menurunkan berat badan, mengatasi tekanan, tidur dengan lebih baik dan sebagainya.

    #3 Pemakanan yang sihat

    Pemakanan yang sihat dan seimbang bukan sahaja bagus untuk jantung anda malah seluruh tubuh anda.

    Jika anda mempunyai penyakit lain, berbincanglah dengan doktor mengenai diet yang sesuai untuk anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan