backup og meta

Sesak Nafas, Bengkak Badan: Ini Petanda Senyap Pesakit Lemah Jantung!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 22/08/2023

    Sesak Nafas, Bengkak Badan: Ini Petanda Senyap Pesakit Lemah Jantung!

    Penyakit lemah jantung, atau turut dikenali dengan nama kardiomiopati (cardiomyopathy) merupakan sejenis penyakit yang mempengaruhi otot pada bahagian jantung.

    Apabila penyakit kardiomiopati menjadi semakin serius, jantung tidak dapat lagi mengepam darah secara normal dan mengekalkan ritmanya. 

    Oleh sebab itu, pesakit lebih berisiko untuk menghidap penyakit lain seperti kegagalan jantung atau degupan jantung tidak teratur (aritmia).

    Selain itu, keadaan jantung lemah ini turut menyebabkan pengumpulan cecair pada bahagian paru-paru, buku lali, kaki ataupun abdomen. Kondisi ini merupakan salah satu kerisauan buat pesakit.

    Sebenarnya, ada banyak rawatan jantung lemah seperti pemberian ubat-ubatan, pembedahan ataupun untuk kes yang lebih serius – pemindahan organ.

    Walau bagaimanapun, semua rawatan ini bergantung kepada keseriusan penyakit yang dihidapi.

    Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.

    Pengumpulan cecair tanda lemah jantung

    lemah jantung

    Retensi air pada kawasan buku lali, kaki dan abdomen merupakan masalah besar untuk mereka yang pernah menghidap kegagalan jantung.  

    Menurut Dr. Eldrin Lewis dari Harvard-affiliated Brigham and Women’s Hospital, sebarang pengumpulan cecair pada badan boleh berubah menjadi situasi yang mengancam nyawa dalam sekelip mata.

    Menurut beliau lagi, pesakit yang mengalami peningkatan berat badan dengan ketara perlu berjumpa doktor dalam kadar yang segera. Jangan sesekali tunggu sehingga jatuh sakit.

    Malah, peningkatan berat badan sebanyak 2.5 kg sudah cukup untuk menandakan sesuatu yang serius.

    Penyakit lemah jantung boleh membawa kepada kegagalan jantung.

    Selalunya, rawatan untuk kardiomiopati bertujuan untuk mengurangkan risiko kegagalan jantung.

    Untuk pengetahuan anda, ada pesakit lemah jantung yang tidak mengalami sebarang simptom.

    Selalunya, simptom mulai muncul apabila penyakit tersebut sudah menjadi serius. Sebagai contoh, antara simptom lemah jantung yang lazim adalah:

    1. Sesak nafas, lebih-lebih lagi ketika melakukan senaman.
    2. Keletihan.
    3. Bengkak pada kawasan kaki, buku lali, perut dan leher.

    Selain tanda-tanda di atas, pesakit juga mungkin mengalami pening kepala, pengsan semasa melakukan aktiviti fizikal,aritmia, dan juga sakit dada.

    lemah jantung

    Bagaimana hendak mengesan masalah retensi air?

    Cara yang terbaik adalah dengan menimbang berat badan setiap hari.

    Pastikan berat badan anda sekarang hampir dengan berat badan semasa anda tidak mempunyai sebarang masalah retensi air. Berat ini turut dikenali dengan nama dry weight.

    Jika anda pernah ke hospital dan sedang mengambil ubat-ubatan, anda pasti tahu dry weight anda.

    Walau bagaimanapun, jika tidak, doktor dan jururawat dapat membantu anda untuk mendapatkan berat badan ini.

    Untuk mendapatkan bacaan yang tepat mengenai berat badan anda, pastikan:

    1. Anda rekod dry weight anda dan bandingkan bacaan berat badan harian dengannya. Tuliskan bacaan berat badan anda setiap hari di dalam sebuah logbook.
    2. Kekal mengikut rutin harian. Kadangkala, perubahan kecil di dalam rutin anda boleh menyebabkan berat badan naik sehingga 2 kg!
    3. Timbang berat badan pada masa yang sama menggunakan penimbang yang sama. Masa yang terbaik untuk menimbang berat adalah pada waktu pagi sebelum sarapan.

    Baca juga:

    Berat badan naik tanda bahaya

    Jika anda mengalami peningkatan berat badan lebih daripada 1 kg sehari atau 2 kg seminggu, Dr. Eldrin mencadangkan agar anda:

    1. Mencari sumber garam berlebihan di dalam diet anda yang boleh dikurangkan. Elakkan mengambil makanan tinggi garam untuk mengelakkan retensi air berlaku.
    2. Jika berat tidak turun-turun dalam masa sehari atau dua, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Doktor mungkin akan membuat sedikit perubahan dari segi ubat-ubatan.

    Perlu melakukan perubahan gaya hidup elak lemah jantung

    Pesakit jantung lemah perlu mengamalkan diet dan senaman untuk memastikan jantung kekal sihat.

    Jika anda tidak tahu perubahan apa yang perlu dilakukan, doktor dapat membantu anda dan memberikan nasihat mengenai diet dan senaman yang selamat.

    lemah jantung

    Selain itu, pastikan anda bercakap dengan doktor berkenaan jumlah air yang anda boleh ambil setiap hari.

    Terlalu banyak minum air boleh menyebabkan penyakit ini menjadi semakin teruk. Doktor juga mungkin mencadangkan diet yang rendah garam dan lemak.

    Selain perkara di atas, perubahan gaya hidup lain seperti berhenti merokok, menurunkan berat badan berlebihan, elakkan pengambilan alkohol atau dadah, mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi serta mengurangkan stres juga dapat membantu pesakit jantung lemah.

    Kesimpulan

    Jika anda menghidap kardiomiopati, pastikan anda sentiasa menjaga diri anda. Sebarang simptom baharu seperti bengkak pada kawasan kaki, buku lali, abdomen atau leher perlulah dirujuk kepada doktor secepat mungkin.

    Selain itu, pastikan anda:

    1. Mengambil ubat mengikut saranan doktor.
    2. Melakukan perubahan gaya hidup seperti yang dicadangkan.
    3.  Hadir setiap janji temu seperti yang dijadualkan.
    4. Mengikuti rawatan seperti yang ditetapkan, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai penyakit lain seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

    Penyakit lemah jantung selalunya berlaku secara turun-temurun. Oleh sebab itu, jika ada di antara ahli keluarga anda menghidap penyakit ini, pastikan anda melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 22/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan