Tahukah anda apakah punca sakit dada bahagian tengah? Adakah ia tanda sakit jantung, atau sesuatu yang lebih teruk?
Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group
Tahukah anda apakah punca sakit dada bahagian tengah? Adakah ia tanda sakit jantung, atau sesuatu yang lebih teruk?
Setiap tahun, soalan ini menghantui ribuan individu yang kerap mengalami sakit dada.
Malah, sakit dada atau nama lainnya, angina boleh menjadi punca pelbagai jenis penyakit selain sakit jantung seperti pancreatitis, pneumonia dan serangan panik.
Namun, bukan semua sakit dada yang dialami adalah tanda serangan jantung.
Untuk pengetahuan anda, serangan jantung mempunyai tanda yang berbeza mengikut individu. Ada yang mengalami sakit dada tengah. Ada juga yang rasa sakit pada bahagian rahang dan belakang badan.
Tidak kurang juga, ada yang mengalami simptom seperti sukar untuk bernafas atau rasa letih yang amat sangat ketika terkena serangan jantung.
Pendek kata, apa yang anda nampak di kaca televisyen mengenai sakit jantung mungkin bukan 100% benar.
Di bawah, kami akan senaraikan beberapa punca di sebalik rasa sakit dada bahagian tengah yang anda alami. Tidak kiralah sakit dada itu berlaku pada bahagian kanan, kiri atau tengah, ia mungkin berpunca daripada masalah yang sama.
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.
Setiap tahun, ribuan pesakit akan dimasukkan ke dalam wad kecemasan disebabkan sakit dada bahagian tengah.
Menurut statistik dari laman sesawang Harvard Health Publishing, 20% daripadanya didiagnosis dengan sakit jantung atau episod angina yang tidak stabil.
Selain itu, ada juga di antara mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang boleh mengancam nyawa seperti embolisme pulmonari (darah beku di dalam paru-paru), atau aortic dissection (koyakan pada kawasan dalam aorta).
Masalah berkaitan emosi atau stres juga boleh menyebabkan angina.
Walau bagaimanapun, sebahagian besar pesakit didapati tidak mempunyai sebarang kondisi yang berkaitan dengan jantung ataupun salur darah mereka.
Jika anda mengalami sakit dada bahagian tengah, anda perlu mendapatkan pemeriksaan daripada doktor secepat mungkin. Hanya pakar sahaja yang boleh menentukan sama ada sakit dada bahagian tengah yang dialami itu disebabkan oleh angina atau tidak.
Doktor anda mungkin akan melakukan beberapa pemeriksaan fizikal dan bertanya mengenai simptom yang anda alami. Selain itu, sejarah keluarga juga penting untuk mengetahui sama ada anda berisiko untuk mengalami sakit jantung atau penyakit kardiovaskular lain.
Sakit dada bahagian tengah selalunya mempunyai pelbagai punca. Walau bagaimanapun, lazimnya ia bukanlah disebabkan oleh masalah jantung.
Anda mungkin dapat mengenal pasti punca sakit dada anda berdasarkan simptom yang dialami. Namun, elakkan daripada melakukan diagnosis kendiri! Berjumpalah dengan doktor jika anda risau mengenai kesihatan anda.
Di bawah, kami senaraikan beberapa punca lazim sakit dada yang perlu anda tahu:
Pedih ulu hati atau masalah penghadaman – Sakit dada disebabkan pedih ulu hati selalunya berlaku selepas makan. Selain itu, anda juga akan rasa terlalu kenyang hingga menyebabkan makanan terjeluak.
Tegang pada kawasan dada – Rasa sakit dada yang berlaku selepas senaman. Walau bagaimanapun, sakit akan beransur hilang selepas senaman.
Serangan panik atau kegelisahan – Serangan panik boleh berlaku selepas atau ketika anda mengalami satu situasi tegang. Rasa stres yang anda alami membuatkan degupan jantung jadi lebih pantas, badan mula berpeluh dan pening kepala.
Jangkitan atau pneumonia – Sukar bernafas, sering batuk-batuk dan demam adalah antara tanda-tanda pneumonia.
Kayap (shingles) – Ruam pada kulit yang bertukar menjadi kudis.
Sakit dada bukanlah sejenis penyakit yang anda boleh abaikan seperti sakit belakang atau sakit lutut. Ia juga diperiksa oleh doktor dengan kadar yang segera.
Jika anda mengalami sakit dada, elak melakukan diagnosis kendiri.
Selain itu, jangan sesekali fikir sakit jantung hanya berlaku kepada orang tua sahaja. Sebenarnya, individu yang berumur 20 tahun juga boleh terkena serangan jantung.
Malah, atlet yang berada di dalam keadaan yang cergas dan sihat juga boleh tumbang disebabkan penyakit yang sama.
Oleh sebab itu, elakkan menunda-nunda janji temu bersama doktor lebih-lebih lagi jika anda sering diserang sakit dada.
Sebenarnya, rasa sakit dada yang mungkin disebabkan oleh sakit jantung bukannya dapat dirasai pada kawasan tengah dada sahaja. Sakitnya juga boleh menjalar ke bahagian belakang tengkuk, bahu dan dua-dua belah tangan.
Bagaimana jika sakit dada tersebut bukan disebabkan oleh penyakit jantung? Pemeriksaan yang dilakukan oleh pakar dapat menentukan sama ada penyebabnya ialah pedih ulu hati, serangan panik ataupun penyakit lain.
Sakit dada merupakan sesuatu yang serius. Jika anda mengesyaki sakit dada yang anda alami adalah disebabkan oleh sakit jantung, pastikan anda berjumpa dengan doktor secepat mungkin.
Lebih awal anda mendapatkan pemeriksaan, lebih cepatlah anda boleh mendapatkan rawatan yang bersesuaian dengan kondisi anda. Malah, jantung anda juga akan terselamat daripada mengalami sebarang kerosakan kekal pada masa hadapan.
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen