backup og meta

Boleh Sembuh Ke Jika Ada Penyakit Endokarditis, Jangkitan Pada Jantung?

Boleh Sembuh Ke Jika Ada Penyakit Endokarditis, Jangkitan Pada Jantung?

Keadaan jantung yang mengalami jangkitan adalah sangat serius dan perlu mendapatkan rawatan sewajarnya. Tetapi bolehkah individu dengan penyakit endokarditis ini sembuh sepenuhnya?

Baca perkongsian artikel ini bagi mengetahui jawapannya. Semoga bermanfaat!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

Apa itu masalah jantung endokarditis?

Sebelum kita mengetahui sama keadaan jantung ini boleh pulih sepenuhnya atau tidak, ayuh kita fahami serba sedikit mengenai endokarditis atau turut dikenali sebagai endokarditis infektif.

Di dalam kehidupan, bakteria memang ada di sekeliling kita dan wujud pada bahagian tubuh tertentu. 

Tetapi bagi individu dengan isu kesihatan jantung, bakteria dalam aliran darah boleh melekat pada tisu yang rosak dan mengakibatkan jangkitan disebut endokarditis.

Jika jangkitan ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kerosakan kekal dan mengakibatkan kehilangan nyawa.

Simptom penyakit endokarditis 

Apabila seseorang individu mendapat masalah jantung melibatkan jangkitan ini, simptom akan berlaku secara tiba-tiba atau mungkin berkembang dari masa ke masa.

Apa yang dirasai akan bergantung kepada tahap kesihatan jantung dan punca jangkitan berlaku. 

Gejalanya adalah berbeza bagi setiap individu, namun antara simptom yang dialami adalah:

  • Rasa seperti mengalami selesema

Anda mungkin mengalami demam, menggigil dan berpeluh malam. Selain itu, terdapat kemungkinan untuk anda turut berasa sakit pada otot dan sendi.

penyakit endokarditis

  • Bunyi jantung

Endokarditis boleh menyebabkan deruan jantung (murmur) baharu atau bertambah, atau bunyi luar biasa pada degupan jantung mahupun perubahan kepada yang sedia ada.

  • Perubahan pada kulit tanda masalah jantung

Benjolan atau bintik kecil mungkin muncul pada tangan atau kaki. 

Anda juga akan terlihat bintik-bintik pada bahagian putih mata atau langit mulut disebabkan saluran darah yang pecah.

Kulit pucat juga mungkin antara gejala yang akan dialami.

  • Alami kesakitan

Mengalami rasa sakit pada sebelah kiri tubuh, di bawah rusuk – mungkin tanda limfa sedang mencuba melawan penyakit.

  • Kencing berdarah tanda penyakit endokarditis 

Anda boleh melihatnya sendiri atau memerlukan doktor mengujinya di bawah mikroskop.

  • Alami bengkak

Bahagian perut dan kaki mungkin mengalami bengkak.

  • Rasa mual

Hilang selera makan, berasa loya atau muntah.

Merawat penyakit endokarditis

Pilihan rawatan masalah jantung endokarditis biasanya melibatkan pengambilan ubat dan pembedahan.

penyakit endokarditis

Ubat untuk endokarditis 

Kebanyakan kes endokarditis ini akan dirawat dengan antibiotik – ubat berfungsi membersihkan tubuh daripada jangkitan.

Ubat ini akan berperanan membersihkan semua kuman pada jantung dan injap jantung.

Antibiotik akan diberikan selama 2-6 minggu melalui tiub intravena (IV) yang dimasukkan ke dalam vena (saluran darah).

Jenis antibiotik yang diterima dan tempoh rawatan akan bergantung kepada tahap keterukan penyakit endokarditis, kuman yang menjangkiti dan sejarah perubatan anda sebelum ini.

Ujian darah dan prosedur diagnostik akan membantu doktor menentukan ubat antibiotik yang terbaik untuk anda.

Semasa menerima antibiotik, doktor akan mengambil sampel darah dengan kerap untuk melihat sama ada jangkitan mula hilang daripada aliran darah atau tidak.

Baca juga:

Pembedahan untuk penyakit endokarditis 

Memulakan rawatan antibiotik lebih awal boleh mengurangkan risiko komplikasi endokarditis.

Pun begitu, ada kalanya jangkitan yang terjadi boleh mengakibatkan kerosakan pada jantung atau injap jantung. Keadaan ini mengakibatkan perlunya untuk menjalani pembedahan memulihkan kerosakan.

Doktor turut akan mengesyorkan pembedahan untuk membersihkan jangkitan atau menggantikan injap jantung yang rosak teruk akibat jangkitan.

Pembedahan untuk endokarditis sering disarankan jika:

  • Ketulan darah beku yang berkembang disebabkan oleh jangkitan terputus dan menyebabkan strok
  • Penyakit endokarditis berlaku disebabkan oleh kulat kerana jangkitan kulat lebih sukar dirawat daripada jangkitan bakteria
  • Jangkitan tidak dapat dibersihkan dengan antibiotik atau apabila bakteria punca jangkitan mewujudkan rintangan terhadap antibiotik
  • Jangkitan telah merosakkan injap jantung
  • Anda mengalami kegagalan jantung kongestif – berlaku apabila cecair terkumpul di dalam dan sekeliling jantung serta paru-paru kerana darah tidak dipam dengan betul melalui jantung. Keadaan ini terjadi mungkin disebabkan injap jantung rosak

Teruskan kehidupan dengan penyakit endokarditis 

Endokarditis bukanlah jangkitan berjangkit. Ini bermakna anda tidak perlu mengasingkan diri jika mengalaminya. Anda juga boleh menggunakan peralatan rumah, mainan atau pakaian ahli keluarga lain.

penyakit endokarditis

Paling penting adalah anda perlu mendapatkan rawatan antibiotik dan menghabiskan keseluruhan fasa rawatan kerana risiko jangkitan untuk kembali adalah tinggi jika rawatan tidak lengkap.

Umumnya, ubat yang diberikan boleh mendatangkan beberapa kesan sampingan. Ia bergantung kepada jenis antibiotik yang diberikan doktor. 

Anda perlu melakukan ujian darah dan ekokardiogram susulan selepas menyelesaikan rawatan bagi memastikan jangkitan telah disingkirkan sepenuhnya daripada aliran darah serta bagi memeriksa injap jantung.

Selepas jangkitan hilang dan ekokardiogram menunjukkan hasil yang baik, anda boleh kembali ke kehidupan normal. Malah, lebih 90% pesakit endokarditis pulih sepenuhnya.

Namun anda perlu sentiasa menjaga kebersihan gigi kerana ia adalah bahagian penting dalam pencegahan endokarditis.

Pastikan anda memaklumkan kepada doktor sekiranya anda berisiko untuk mendapat penyakit ini.  

Selain itu, sentiasa berhati-hati apabila ingin mendapatkan tindikan atau tatu pada tubuh jika anda berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan jantung ini. 

Jangkitan kulit atau luka perlu dipastikan sembuh dengan betul atau anda perlu melakukan pemeriksaan doktor.

[embed-health-tool-heart-rate]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Endocarditis. https://www.cardiosmart.org/topics/endocarditis, Accessed on Nov 16, 2021
  2. MD Christopher H. Cabell, MD Elias Abrutyn, and MD Adolf W. Karchmer (2003). Bacterial Endocarditis. https://doi.org/10.1161/01.CIR.0000071082.36561.F1, Accessed on Nov 16, 2021
  3. Can you fully recover from endocarditis? https://www.mvorganizing.org/can-you-fully-recover-from-endocarditis/, Accessed on Nov 16, 2021
  4. Endocarditis. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/endocarditis/symptoms-causes/syc-20352576, Accessed on Nov 16, 2021
  5. Infective Endocarditis Surgery, https://my.clevelandclinic.org/health/treatments/17125-infective-endocarditis-surgery, Accessed on Nov 16, 2021
  6. Infective endocarditis, https://www.heartandstroke.ca/heart-disease/conditions/infective-endocarditis, Accessed on Nov 16, 2021
  7. Treatment – Endocarditis, https://www.nhs.uk/conditions/endocarditis/treatment/, Accessed on Nov 16, 2021

 

Versi Terbaru

15/05/2024

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Endokarditis

Jangkitan Jantung


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/05/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan