backup og meta

Teringin Nak Tindik Lidah? Ada 11 Komplikasi Kena Tahu, Termasuk Sukar Bercakap!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 25/07/2021

    Teringin Nak Tindik Lidah? Ada 11 Komplikasi Kena Tahu, Termasuk Sukar Bercakap!

    Ingin tonjolkan kelainan diri dengan bertindik oral seperti tindik lidah? TETAPI tahukah anda, perbuatan itu boleh mengakibatkan komplikasi masalah kesihatan serius?

    Tindik lidah, bibir atau pipi

    Apabia menyebut tentang soal gaya, macam-macam fesyen boleh dilihat. Ada yang suka mencacah tatu dan tidak kurang juga yang suka bertindik, seperti tindik lidah mahupun telinga.

    Tak sakit ke tindik dekat mulut tu?

    Umumnya, bertindik oral (mulut) adalah lubang kecil yang dilakukan pada bahagian oral tubuh yang membolehkan anda memakai barangan perhiasan. 

    Anda boleh mendapatkan tindikan di bahagian dalam mulut (intraoral) atau jenis tindikan yang dapat dilihat di luar mulut (perioral).

    Beberapa tempat yang biasa untuk melakukan tindikan adalah termasuk:

    • Lidah 
    • Bibir
    • Pipi
    • Frenum (tisu yang menghubungkan bibir atau lidah ke gusi atau lantai mulut)
    • Uvula (tisu yang tergantung pada bahagian belakang tekak)

    Komplikasi yang boleh berlaku

    Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, ia sememangnya salah satu cara untuk bergaya. Pun begitu, ia boleh membahayakan diri.

    Mengapa?

    Ini kerana mulut adalah bahagian yang penuh bakteria dan boleh mengakibatkan jangkitan dan bengkak. 

    Lidah yang bengkak boleh mendatangkan kesukaran untuk anda bernafas.

    Bagi sesetengah individu dengan penyakit jantung, bakteria boleh mencetuskan keadaan yang boleh merosakkan injap jantung anda. 

    Tindik lidah juga boleh menyebabkan anda berisiko mengalami pendarahan. Ini kerana terdapat banyak saluran darah pada bahagian tersebut.

    Bukan setakat itu sahaja, barang perhiasan atau barang kemas juga boleh menimbulkan masalah.

    Ia boleh pecah di dalam mulut dan mengakibatkan anda tercekik!

    Anda juga boleh secara tidak sengaja tergigit barang kemas tersebut semasa makan, tidur, bercakap ataupun ketika mengunyah makanan. 

    Bayangkan jika perbuatan tersebut menyebabkan gigi anda pecah? 

    Anda boleh kehilangan gigi atau memerlukan rawatan akar (root canal) – rawatan untuk gigi yang rosak teruk – untuk memperbaikinya. 

    bertindik

    Tindikan oral juga boleh menyebabkan:

    • Kesukaran untuk bercakap, mengunyah atau menelan
    • Kerosakan lidah, gusi atau tampalan gigi
    • Membuatkan air liur meleleh
    • Menyukarkan doktor untuk melakukan x-ray pada gigi
    • Mengakibatkan masalah kesihatan serius, seperti penyakit gusi, pendarahan tidak terkawal, jangkitan jangka panjang, hepatitis B dan hepatitis C
    • Mengakibatkan reaksi alahan terhadap logam barangan kemas
    • Kerosakan saraf pada lidah – biasanya terjadi dalam tempoh singkat, namun tetap wujud risiko untuk ia berlanjutan

    Bagi individu dengan keadaan kesihatan tertentu yang boleh melambatkan proses penyembuhan berkemungkinan berdepan dengan risiko kesihatan.

    Ini termasuklah mereka yang mengalami masalah penyakit jantung, diabetes, hemofilia dan penyakit autoimun.

    Langkah keselamatan tindik lidah, bibir atau pipi

    Jika anda masih mahu bertindik oral seperti tindik lidah, pastikan anda telah mendapatkan suntikan vaksin untuk hepatitis B dan tetanus.

    Anda juga disarankan untuk memilih kedai menindik yang bersih dan dikendalikan dengan baik.

    Sebaiknya, dapatkan tukang tindik berlesen. Ini bermakna mereka mempunyai kepakaran atau latihan khas untuk melakukan proses tindikan.

    Individu yang melakukan prosedur menindik seharusnya membasuh tangan dengan sabun pembunuh kuman dan memakai sarung tangan pakai buang.

    Selain itu, pastikan juga mereka menggunakan alatan yang telah disteril atau baru (pakai buang).

    bertindik

    Penjagaan selepas bertindik

    Untuk mengelakkan sebarang masalah jangkitan dan memastikan tindikan sembuh – biasanya mengambil masa 3 hingga 4 minggu, anda perlu melakukan proses penjagaan rapi selepas bertindik.

    • Basuh lidah atau bibir yang ditindik setiap kali selepas makan, mengambil makanan ringan atau sebelum tidur. Sebaiknya gunakan air garam suam atau ubat kumur antibakteria dan bebas alkohol
    • Elakkan daripada mencium sesiapa semasa proses penyembuhan ini. Ini bagi menghindari anda bersentuhan dengan air liur individu lain
    • Jangan berkongsi peralatan utensil seperti cawan, pinggan, sudu, garpu mahupun pisau makan
    • Hindari pengambilan makanan yang pedas, masin atau berasid (termasuklah minuman)
    • Elakkan minuman panas seperti kopi, teh atau coklat panas
    • Bersikap lemah lembut. Bercakap dan kunyah dengan berhati-hati serta hindari daripada melanggar barang perhiasan pada gigi
    • Sekali-sekala, lakukan pemeriksaan pada barang kemas untuk memastikan ia masih ketat. Ini adalah bagi mengelakkan risiko tertelan atau tercekik
    • Tanggalkan barang kemas semasa bersukan atau memakai pelindung mulut

    Biasanya, semasa proses penyembuhan ini, anda boleh menanggalkan barang kemas untuk jangka masa pendek tanpa menutup lubang tindikan. 

    Sekiranya anda melakukan proses tindik lidah, penindik akan memberikan barbell lebih besar bagi membolehkan lidah ruang untuk sembuh ketika ia membengkak.

    Apabila bengkak semakin surut, anda akan menukarkannya kepada barbell yang bersaiz lebih kecil untuk mengurangkan gangguan kepada gigi.

    Setelah sembuh, anda dinasihatkan untuk menanggalkan perhiasan lidah itu setiap malam dan menggosoknya seperti anda memberus gigi

    Anda juga mungkin mahu menanggalkannya sebelum tidur atau ketika melakukan sebarang aktiviti aktif.

    Rawatan doktor

    tindik lidah

    Selepas melakukan tindik lidah atau bahagian oral lain, anda boleh menjangkakan gejala jangka pendek seperti rasa sakit, bengkak atau penghasilan air liur tambahan.

    Namun, dalam masa sama perhatikan jika wujud simptom jangkitan seperti:

    • Kemerahan
    • Bengkak
    • Banyak pendarahan
    • Keluar cecair lain
    • Bau busuk
    • Ruam
    • Demam

    Sekiranya anda mengalami tanda-tanda di atas, lakukan pemeriksaan doktor. Anda juga perlu berjumpa doktor jika berasakan sesuatu yang tidak betul pada bahagian tindikan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 25/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan