backup og meta

Ada Risiko Pada Jantung Jika Mengambil Pil Perancang, Para Wanita WAJIB Baca Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 06/03/2022

    Ada Risiko Pada Jantung Jika Mengambil Pil Perancang, Para Wanita WAJIB Baca Ini!

    Benarkah kesan pengambilan pil perancang boleh menjadi penyebab hipertensi? Para wanita, sebelum anda mengambil sebarang pil kontraseptif, fahami situasi ini terlebih dahulu!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

    Benarkah wujud kesan pengambilan pil perancang?

    Bagi kebanyakan wanita, pengambilan pil perancang oral adalah kaedah berkesan untuk mencegah kehamilan tidak diingini serta mengatasi haid tidak teratur.

    Turut dikenali pelbagai nama lain seperti pil pencegahan atau kawalan kehamilan, ia juga membantu menyelesaikan masalah disebabkan perubahan hormon seperti jerawat.

    Pil pencegahan ini dianggap sebagai antara kaedah selamat dan hanya mengakibatkan potensi kesan sampingan kecil.

    Pun begitu bagi sesetengah wanita, kesan pengambilan pil perancang boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah yang membimbangkan.

    Kandungan estrogen pada pil kontraseptif oral dipercayai menjadi penyebab hipertensi yang terjadi.

    Kenapakah hanya pil perancang jenis oral yang menjadi penyebab?

    Kesan pengambilan pil perancang, punca hipertensi

    Secara amnya, terdapat 2 jenis pil pencegahan kehamilan. 

    Yang pertama dan paling umum adalah pil perancang jenis kombinasi – atau dikenali sebagai pil kontraseptif oral, COCP.

    Pil ini mengandungi gabungan hormon sintetik; estrogen dan progestin untuk mengelakkan ovari melepaskan telur. 

    Kedua-dua hormon ini juga mempunyai kesan terhadap lendir serviks – yang membantu menyekat sperma daripada bersentuhan dengan telur.

    kesan pengambilan pil perancang

    Hormon-hormon yang terkandung dalam pil ini boleh menjejaskan tekanan darah, sekali gus menjadi penyebab hipertensi.

    Kajian menunjukkan bahawa estrogen berkait rapat dengan peningkatan tahap tekanan darah sistolik dan diastolik, walaupun tidak ketara.

    Dalam kajian tahun 1981, para penyelidik mendapati beberapa wanita mengalami hipertensi sebagai kesan pengambilan pil perancang yang mengandungi estrogen.

    Manakala kajian pada 1996 yang melibatkan lebih daripada 68,000 wanita lingkungan usia 25 hingga 42 tahun, menunjukkan pengguna kontraseptif oral mempunyai risiko peningkatan signifikan kerana didiagnosis dengan hipertensi.

    Penyelidikan lain yang dilakukan pada tahun 2006, mendapati penggunaan hormon estrogen dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah kecil pada wanita pascamenopause.

    Jenis pil yang kedua pula adalah pil progestin atau dikenali sebagai ‘pil mini’. 

    Ia hanya menggunakan dos hormon progestin dalam jumlah yang lebih kecil untuk menyekat kehamilan daripada terjadi.

    Oleh sebab pil mini ini tidak mengandungi estrogen, maka kecenderungan untuk menjadi penyebab hipertensi adalah lebih kecil berbanding pil kontraseptif jenis kombinasi. 

    Baca juga:

    Penyebab hipertensi sekunder

    Jadi sememangnya wujud kesan pengambilan pil perancang yang menjadi penyebab hipertensi.

    Tetapi adakah semua jenis hipertensi itu sama?

    Terdapat 2 jenis tekanan darah tinggi.

    Bagi jenis pertama dikenali sebagai hipertensi primer, puncanya tidak diketahui dengan tepat. Walau bagaimanapun, ia dikaitkan dengan beberapa faktor risiko tertentu.

    Antaranya:

  • Masalah obesiti
  • Diabetes jenis 2
  • Pengambilan garam harian tinggi – bagi individu yang sensitif dengan natrium
  • Stres 
  • Manakala jenis yang kedua, disebut sebagai hipertensi sekunder – tekanan darah tinggi yang disebabkan oleh punca yang dapat dikenal pasti.

    kesan pengambilan pil perancang

    Oleh sebab penyebab hipertensi adalah kerana kesan pengambilan pil perancang, maka ia dikategorikan sebagai hipertensi sekunder.

    Agak sukar untuk mengenal pasti keadaan ini kerana kedua-dua jenis hipertensi ini jarang menghasilkan gejala, walaupun tekanan darah menjadi tinggi.

    Risiko utama untuk terkena hipertensi sekunder akibat pil pencegahan kehamilan tidak diketahui.

    Tetapi ada beberapa faktor yang boleh menjadikan anda lebih terdedah kepada hipertensi, iaitu:

    • Terdapat sejarah keluarga dengan tekanan darah tinggi, terutamanya wanita
    • Mempunyai tekanan darah tinggi semasa mengandung
    • Mempunyai masalah dengan jantung atau saluran darah

    Elakkan kesan pengambilan pil perancang 

    Memandangkan penyebab hipertensi terjadi adalah daripada pil kontraseptif oral kombinasi, anda mempunyai beberapa pilihan.

    Pilihan-pilihan itu adalah bergantung sama ada peningkatan tekanan darah itu cukup signifikan sehingga perlu dibimbangkan atau tidak.

    Pilihan yang paling jelas, jika anda lebih gemar kepada pengambilan pil perancang oral, disarankan untuk mencuba pil yang hanya mengandungi progestin seperti pil mini. 

    kesan pengambilan pil perancang

    Sekiranya anda memutuskan untuk berhenti kerana kesan pengambilan pil perancang yang menyebabkan peningkatan tekanan darah, ada pilihan kaedah kawalan keluarga lain boleh dicuba.

    • Kawalan kelahiran yang boleh dibeli di kaunter seperti kondom untuk lelaki atau wanita atau spermisida 
    • Pilihan preskripsi termasuklah IUD atau diafragma
    • Jika anda sudah tidak mahu hamil kembali, kaedah perancang keluarga kekal pilihan terbaik seperti mengikat tiub fallopio

    Kesimpulannya 

    Penyebab hipertensi daripada kesan pengambilan pil perancang berisiko untuk terjadi jika anda mengambil sebarang bentuk kawalan kelahiran yang menggunakan estrogen. 

    Ini bermaksud cincin faraj, tampalan dan semua pil kontraseptif oral gabungan berpotensi meningkatkan tahap tekanan darah anda.

    Berita baiknya, ada pelbagai pilihan selamat lain yang boleh anda pilih.

    Jika anda mempunyai tekanan darah tinggi dan ingin mula menggunakan alat kawalan kelahiran, dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor terlebih dahulu.

    Mereka boleh memeriksa tahap kesihatan anda dan memberikan penyelesaian serta cadangan terbaik untuk bentuk perancang keluarga yang berkesan dan selamat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 06/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan