backup og meta

Hanya Dengan Sakit Otot Boleh Buat Nyawa Anda Melayang! Jadi, Jangan Ambil Remeh

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nur Es Naini · Disemak pada 10/05/2022

    Hanya Dengan Sakit Otot Boleh Buat Nyawa Anda Melayang! Jadi, Jangan Ambil Remeh

    Rhabdomyolysis merupakan penyakit yang jarang kita dengar. Namun, ia adalah sindrom yang boleh mengancam nyawa hanya dengan gejala sendi otot robek.

    Rhabdomyolysis terjadi akibat kerosakan otot yang menyebabkan fiber otot robek dan pecah, serta kandungannya bocor ke dalam sistem darah.

    Ia dikenali sebagai suatu sindrom kerana boleh berakhir dengan kerosakan pelbagai sistem organ dalam badan yang lain.

    Sendi otot robek rupanya ada sindrom mengancam nyawa!

    otot robek

    Tidak banyak data mengenai penyakit ini di Malaysia. Di Amerika, lebih 26,000 kes dilaporkan setahun.

    Antara punca yang diketahui menjadi penyebab sindrom sendi otot robek rhabdomyolysis adalah:

    • Pengambilan alkohol berlebihan
    • Ubatan seperti statin dan fibrate yang digunakan dalam rawatan kolesterol tinggi, colchicine bagi rawatan penyakit gout, steroid dan antibiotik
    • Penyalahgunaan dadah seperti amphetamine, ecstacy, kokain
    • Trauma seperti crush injury, kena panahan kilat, renjatan elektrik dan luka terbakar tahap 3
    • Suhu yang tinggi seperti strok haba
    • Senaman yang berat atau latihan sukan yang intensif menyebabkan kecederaan otot
    • Lain-lain seperti faktor keturunan, jangkitan yang teruk, penyakit endokrin

    Tanda atau gejala sendi otot robek rhabdomyolysis

    Pada awalnya, penyakit ini tidak mudah dikesan kerana mungkin tidak bergejala. Apabila sudah ada komplikasi baru ia mula memberikan tanda-tanda yang lebih sistemik dan tidak spesifik.

    Contoh gejala yang mungkin ada:

    • Sakit otot yang melampau, mungkin disertai dengan kemerahan dan bengkak di kawasan itu
    • Penat dan lesu
    • Demam
    • Muntah-muntah
    • Keliru atau delirium
    • Kencing berwarna gelap/keruh
    • Jantung berdebar

    Paling penting adalah untuk mengesan rhabdomyolysis seawal mungkin.

    Sindrom sendi otot robek ini mempunyai gejala yang tidak khusus kerana ia bergantung kepada faktor penyebabnya.

    Walaupun begitu, ujian bagi mengenal pasti rhabdomyolysis perlulah dijalankan serta-merta jika terdapat kemungkinan penyakit ini.

    Ia adalah kritikal dalam usaha untuk mengelakkan komplikasi yang boleh meragut nyawa.

    Bagaimana diagnosis otot robek rhabdomyolysis dibuat?

    otot robek

    Beberapa siri ujian makmal akan dijalankan oleh doktor anda. Ini termasuk ujian darah dan ujian air kencing.

    Berikut adalah senarai ujian yang selalunya dijalankan:

    • Ujian darah
    • Fungsi buah pinggang (mengesan komplikasi kerosakan buah pinggang)
    • Creatine kinase (produk daripada kerosakan otot)
    • Fungsi hati (mengesan komplikasi keradangan hati)
    • Full blood count (mengesan komplikasi pembekuan darah, Disseminated Intravascular Coagulation)
    • Ujian air kencing
    • Melihat warna dan kepekatan urin
    • Mengesan kehadiran myoglobin akibat komplikasi buah pinggang (myoglobinuria)
    • ECG
    • Untuk mengesan arrhythmia (rentak jantung yang abnormal)

    Myoglobin merupakan protein yang hadir dalam otot. Apabila otot pecah, protein ini akan dibebaskan ke dalam salur darah dan akhirnya berakhir di buah pinggang bagi proses tapisan.

    Myoglobin adalah toksik untuk sel-sel buah pinggang dan sekiranya ia tersumbat di situ, maka kegagalan buah pinggang akan berlaku dan tidak boleh diubati.

    Keadaan ini menyebabkan pesakit akan memerlukan dialisis seumur hidup.

    Senarai komplikasi akibat sindrom rhabdomyolysis

    Apabila otot rosak dan pecah, ia melepaskan kandungannya ke dalam salur darah. Kandungan otot ini sesetengahnya adalah toksik, jika berlebihan dalam darah mahupun sistem organ lain.

    Contohnya, paras elektrolit seperti kalsium, kalium, asid urik dan fosfat hasil daripada pecahan otot menyebabkan kandungan elektrolit tidak seimbang dalam darah.

    Ini akan mengakibatkan gangguan rentak jantung, kegagalan jantung, dehidrasi, kegagalan buah pinggang dan kerosakan hati.

    #1 Kerosakan buah pinggang

    Ramai pesakit rhabdomyolysis berakhir dengan kegagalan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis seumur hidup.

    Ini merupakan komplikasi lewat yang paling serius jika diagnosis ini lambat dikesan.

    Kehadiran myoglobin, iaitu sejenis protein dalam otot di dalam urin menunjukkan protein ini telah sampai ke buah pinggang.

    Sekiranya ia tersumbat dalam proses penapisan, ia akan menjadi toksik pada sel-sel buah pinggang dan akhirnya buah pinggang menjadi rosak.

    #2 Ketidakseimbangan elektrolit

    Elektrolit dalam darah akan menjadi berlebihan dan berkurangan akibat pembebasan bahan dalam otot ini ke dalam kitaran darah.

    Hyperkalemia atau paras kalium yang tinggi boleh menyebabkan arrhythmia, iaitu sejenis gangguan pada rentak jantung. Jika lebih serius, ia akan berakhir dengan jantung terhenti (cardiac arrest).

    Kandungan fosfat yang tinggi dalam darah hasil pecahan otot akan mengakibatkan tahap kalsium berkurangan. Hypocalcemia boleh menyebabkan kekejangan otot.

    Asid urik pula dikaitkan dengan sakit gout dan batu karang.

    #3 Kerosakan hati

    Protease adalah sejenis enzim yang juga dilepaskan dalam kitaran darah apabila kerosakan otot berlaku. Ia berkebolehan merosakkan hati dengan keradangan.

    #4 DIVC (disseminated intravascular coagulation)

    Suatu kondisi pembekuan darah abnormal di mana darah beku terbentuk di merata-rata sistem dalam badan menyebabkan gangguan salur darah terutamanya yang bersaiz kecil. Selalunya ini adalah keadaan kecemasan yang perlu dirawat segera.

    Apakah rawatan jika otot robek?

    Sasaran utama dalam merawat rhabdomyolysis peringkat awal adalah membetulkan elektrolit dan mengekalkan tahap hidrasi yang optima.

    Paling utama, objektif rawatan adalah untuk mengelakkan daripada kegagalan buah pinggang sehingga memerlukan dialisis.

    Kesemuanya perlulah dilakukan di bawah pemerhatian yang ketat oleh doktor pakar dan perlukan kemasukan ke hospital.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nur Es Naini · Disemak pada 10/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan