Ada daripada kita yang mengambil kapsul minyak atau serbuk habbatussauda sebagai rutin harian. Namun, tahukah anda apakah kesan sampingan makan habbatussauda jika diambil berlebihan? Ketahui dos selamat dan kesan terlebih makan habbatussauda di sini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Habbatussauda, biji hitam tinggi khasiat
Habbatussauda juga dikenali dengan nama jintan hitam atau black cumin. Biji yang diperoleh daripada tumbuhan berbunga ini telah lama digunakan sebagai ubat sejak beribu tahun yang lalu.
Kini, kebanyakan produk habbatussauda boleh diperoleh dalam bentuk kapsul minyak yang diekstrak daripada biji habbatussauda tersebut.
Minyak habbatussauda mengandungi kandungan fitokimia iaitu thymoquinone, yang boleh bertindak sebagai antioksidan.
Antioksidan berfungsi dengan cara menyahtoksik bahan kimia berbahaya dalam badan yang dikenali sebagai radikal bebas.
Habbatussauda juga mungkin mempunyai kesan dalam badan yang membantu meningkatkan sistem imun, melawan kanser, mengurangkan bengkak, dan mengurangkan tindak balas alahan dengan bertindak sebagai antihistamin.
Berapakah jumlah dos habbatussauda yang boleh diambil?
Walaupun minyak habbatussauda mungkin mempunyai beberapa khasiat atau kebaikan kepada tubuh, namun tidak bermaksud ia boleh menggantikan segala ubat-ubatan sedia ada yang sedang anda ambil.
Malah, buat masa ini tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menentukan dos selamat pengambilan minyak habbatussauda ini.
Bagi kebiasaan individu dewasa, minyak habbatussauda diambil dengan dos antara 1 hingga 2.5 gram setiap hari selama 4 hingga 12 minggu.
Bagi jenis serbuk pula, ia biasa diambil dengan jumlah antara 1 hingga 2 gram setiap hari selama 8 hingga 12 minggu.
Memandangkan minyak habbatussauda ini dianggap sebagai suplemen, anda perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambilnya, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai keadaan kesihatan tertentu.
Doktor boleh membantu menentukan dos selamat yang bersesuaian dengan tubuh anda.
Ini kesan sampingan makan habbatussauda berlebihan!
Pengambilan minyak atau kapsul serbuk habbatussauda sebagai makanan tambahan atau suplemen tidaklah salah.
Namun, kita tidak boleh terlalu obses sehingga mengambil minyak habbatussauda ini tanpa kawalan setiap hari.
Setiap yang kita makan perlulah dikawal kuantiti atau dosnya agar tidak menyebabkan kesan sampingan kepada tubuh.
Walaupun habbatussauda mungkin mempunyai khasiat kepada tubuh, ia masih lagi boleh menyebabkan kesan sampingan kepada anda jika diambil secara berlebihan.
Antara kesan sampingan makan habbatussauda ialah:
#1. Kesan terlebih makan habbatussauda: Interaksi dengan ubat-ubatan
Tidak mustahil jika minyak atau serbuk habbatussauda boleh berinteraksi dengan kebanyakan ubat-ubatan seperti ubat darah tinggi, ubat kencing manis, ubat pencair darah, dan ubat diuretik.
Jika ini berlaku, ia mungkin boleh menyebabkan tindak balas yang mengurangkan keberkesanan ubat-ubatan tersebut.
#2. Kesan sampingan makan habbatussauda: Interaksi dengan persediaan herba atau suplemen
Selain daripada ubat-ubatan moden, kesan terlebih makan habbatussauda juga mungkin boleh berinteraksi dengan beberapa jenis herba dan juga suplemen.
Antara jenis herba dan suplemen tersebut ialah:
- Herba dan suplemen yang boleh menurunkan paras gula darah (kromium, peria katak)
- Herba dan suplemen yang boleh menurunkan tekanan darah (kasein, peptida)
- Herba dan suplemen yang memperlahankan pembekuan darah (bawang putih, halia)
- Suplemen zat besi
#3. Kesan terlebih makan habbatussauda: Sebabkan masalah pencernaan
Jika anda menelan minyak habbatussauda secara berlebihan, ia juga mungkin boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan berkaitan pencernaan.
Antaranya seperti loya, kembung perut, rasa terbakar, ketidakhadaman, masalah sembelit dan gula darah rendah.
5 golongan ini perlu hati-hati, ada kesan sampingan makan habbatussauda!
Kesan sampingan makan habbatussauda secara berlebihan sememangnya boleh berlaku.
Namun bagi lima golongan ini, mereka masih perlu berhati-hati dengan pengambilan minyak atau serbuk habbatussauda walaupun dalam jumlah yang kecil.
Lima golongan tersebut ialah:
#1. Ibu hamil
Pengambilan habbatussauda mungkin tidak begitu selamat untuk ibu yang sedang hamil.
Ini kerana, habbatussauda boleh memperlahankan atau menghentikan janin daripada berkontraksi dalam rahim.
#2. Ibu yang menyusukan anak
Tidak terdapat banyak maklumat yang menyatakan tahap keselamatan pengambilan habbatussauda bagi ibu yang sedang menyusukan anak.
Oleh itu, cuba elakkan penggunaan minyak atau serbuk habbatussauda ketika menyusukan bayi.
#3. Kanak-kanak
Minyak habbatussauda masih lagi selamat untuk kanak-kanak jika diambil dalam tempoh yang pendek, dengan dos yang sesuai untuk mereka.
Namun ia mungkin boleh memberikan kesan sampingan jika diberikan dengan dos yang banyak dan dalam tempoh yang agak panjang.
#4. Penyakit berkaitan darah
Habbatussauda juga mungkin memperlahankan pembekuan darah dan meningkatkan risiko berlakunya pendarahan.
Ia juga mungkin boleh memburukkan penyakit darah sedia ada yang sedang dialami.
#5. Mereka yang menjalani pembedahan
Kesan sampingan makan habbatussauda juga boleh mengurangkan paras gula darah, memperlahankan pembekuan darah dan juga menyebabkan rasa mengantuk.
Ia boleh mengganggu keberkesanan ubat-ubatan yang digunakan sebelum dan selepas pembedahan selain menyebabkan kesan sampingan yang teruk.
[embed-health-tool-bmr]