backup og meta

Peria Katak Ubat Pesakit Kencing Manis, Benarkah?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/06/2023

    Peria Katak Ubat Pesakit Kencing Manis, Benarkah?

    Benarkah peria katak ubat kencing manis yang berkesan? Bolehkah pesakit kencing manis mengambil peria katak untuk kencing manis mereka?

    Ikuti penjelasannya di sini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkan di sini.

    Sedikit maklumat mengenai peria katak

    Berbanding dengan jenis peria biasa yang dijadikan lauk, saiz peria katak adalah lebih kecil dan mempunyai tekstur luar yang lebih menggerutu.

    Rasanya juga adalah lebih pahit berbanding peria biasa yang kita makan.

    Dalam kebanyakan budaya di dunia, peria katak hanya dijadikan sebagai ubat dan bukannya sebagai lauk untuk makanan harian.

    Ia digunakan dengan pelbagai tujuan perubatan termasuklah untuk merawat kencing manis.

    Nama saintifik bagi peria katak ialah Momordica Charantia, namun dikenali dengan beberapa nama lain seperti karela, bitter cucumber, bitter gourd, balsam pear dan wild cucumber

    Peria katak ubat kencing manis; bagaimana ia bertindak?

    peria katak ubat kencing manis

    Buah peria katak ini telah lama digunakan oleh masyarakat dunia sebagai ubat herba untuk pelbagai penyakit.

    Ini termasuklah dalam merawat diabetes jenis 2.

    Buah peria katak mengandungi sekurang-kurangnya tiga zat aktif dengan sifat anti diabetes.

    Ini termasuklah charanti, yang telah disahkan mempunyai kesan untuk menurunkan glukosa darah.

    Charanti juga mempunyai sebatian seperti insulin yang dikenali sebagai polipeptida-p.

    Bahan-bahan aktif ini berfungsi secara tunggal atau bersama-sama untuk membantu mengurangkan paras gula dalam darah manusia.

    Buah peria katak juga mengandungi lektin yang mengurangkan kepekatan glukosa darah.

    Lektin dalam buah peria katak ini bertindak pada tisu periferal dan menyekat selera makan.

    Kesan yang diberikan oleh lektin ini adalah sama dengan kesan insulin kepada otak.

    Lektin dilihat sebagai punca atau faktor utama yang menyebabkan penurunan paras gula darah selepas anda memakan peria katak.

    Peria katak ubat kencing manis, bantu kurangkan gula darah

    Beberapa kajian telah mengesahkan kesan buah peria katak ini dalam mengawal paras gula darah.

    Kajian selama 3 bulan yang telah dijalankan terhadap 24 orang dewasa yang mempunyai diabetes menunjukkan bahawa, pengambilan 2.000 mg peria katak setiap hari dapat menurunkan gula darah dan hemoglobin A1c.

    Hemoglobin A1c ialah ujian yang digunakan untuk mengukur kawalan gula darah selama tiga bulan.

    Selain itu, terdapat satu lagi kajian yang dijalankan terhadap 40 individu yang menghidap diabetes.

    Kajian tersebut mendapati, pengambilan 2.000 mg peria katak setiap hari selama empat minggu menyebabkan penurunan paras gula dalam darah yang sederhana.

    Walau bagaimanapun, penyelidikan mengenai kesannya terhadap manusia pada ketika ini adalah sangat terhad.

    Masih banyak kajian yang diperlukan untuk memahami kesan sebenar peria katak dalam mengawal paras gula darah dan cara sebenar ia bertindak.

    Peria katak untuk kencing manis: Berapakah jumlah yang boleh diambil?

    peria katak ubat kencing manis

    Pesakit diabetes yang ingin mengambil peria katak untuk kencing manis perlulah mengawal pengambilannya.

    Bagi penghidap diabetes yang sedang menjalani rawatan diabetes, anda hanya boleh mengambil jus peria katak dengan jumlah tidak melebihi 100 mililiter sehari.

    Bagi potongan buah peria katak pula, anda hanya boleh mengambil sebiji buah peria katak sehari.

    Namun, bagi individu atau pesakit diabetes yang mengalami gula darah rendah atau hipoglisemia, elakkan daripada mengambil buah peria katak ini.

    Ini kerana ia boleh merendahkan lagi paras gula darah anda. 

    Kesan sampingan pengambilan buah peria katak

    Peria katak ubat kencing manis ini dilihat berpotensi untuk menurunkan paras gula darah. Namun, anda perlu mengawal jumlah pengambilannya.

    Ini kerana, pengambilan buah ini dengan jumlah yang terlalu banyak boleh menyebabkan kesan sampingan yang lain.

    Antaranya ialah muntah-muntah, cirit-birit dan juga sakit perut.

    Wanita yang sedang hamil juga disarankan untuk tidak mengambil buah ini bagi mengelakkan sebarang risiko lain yang boleh berlaku.

    Bagi penghidap diabetes, sebolehnya berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil peria katak.

    Ini kerana pengambilannya dikhuatiri akan mengganggu keberkesanan rawatan diabetes yang sedang anda jalani.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan