backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Ada Banyak Khasiat Habbatus Sauda, Tapi Yang 5 Ini Paling Popular!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 14/03/2024

Ada Banyak Khasiat Habbatus Sauda, Tapi Yang 5 Ini Paling Popular!

Habbatus Sauda, atau turut dikenali sebagai jintan hitam (black cumin) merupakan sejenis tumbuhan yang amat popular di negara kita. Disebabkan khasiat habbatus sauda yang pelbagai, herba terutamanya minyak habbatus sauda ini sering digunakan di dalam perubatan tradisional untuk mengubat pelbagai jenis penyakit. 

Malah, habbatus sauda telah digunakan secara meluas sejak ribuan tahun dahulu untuk pelbagai tujuan, antaranya sebagai penawar diabetes dan kanser. Ia juga dikatakan amat berkesan untuk membantu menurunkan berat badan.

Habbatus sauda boleh diambil secara oral atau disapu pada kulit. Malah, ia sering digunakan secara tradisional untuk merawat sakit kepala, masalah pencernaan dan banyak lagi.

Ingin tahu sejauh manakah kegunaan habbatus sauda sebagai penawar? Mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan, sila dapatkannya di sini.

Khasiat habbatus sauda untuk kesihatan

Habbatus sauda telah digunakan sejak zaman Mesir purba sebagai ubat untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Di negara kita, habbatus sauda juga dijual dalam pelbagai bentuk seperti:

  • Dicampurkan dengan makanan sunnah lain seperti madu
  • Dijadikan produk baharu seperti teh atau kopi

Antara penyakit yang boleh diubati dengan khasiat habbatus sauda ialah:

1. Khasiat habbatus sauda kapsul dapat menurunkan tekanan darah tinggi

Habbatus sauda telah lama digunakan sebagai rawatan hipertensi. Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam Journal of Hypertension pada tahun 2016, minyak habbatussauda dapat mengurangkan tekanan darah tinggi.

Malah, pakar juga mendapati pengambilan suplemen ini dapat mengurangkan bacaan sistolik dan diastolik pesakit hipertensi.

Walau bagaimanapun, bukan semua orang mendapat manfaat yang sama daripada habbatus sauda. Ada juga pesakit yang tidak mengalami sebarang penurunan tekanan darah walaupun selepas mengambil suplemen yang dibekalkan.

Oleh sebab itu, pesakit tekanan darah tinggi digalakkan untuk mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang suplemen tambahan.

2. Sesuai untuk pesakit diabetes

khasiat habbatus sauda
Manfaat mengambil kapsul habbatus sauda.

Antara khasiat habbatus sauda kapsul yang lain adalah ia dapat menstabilkan kadar gula dalam darah.

Kajian yang dijalankan pada tahun 2019 dan dimuatkan dalam jurnal International Journal of Environmental Research and Public Health mencadangkan, pengambilan minyak pati habbatus sauda mungkin dapat menurunkan kadar gula dalam darah dan rintangan insulin badan.

Malah, kajian ini juga memungkinkan penggunaan habbatus sauda sebagai rawatan untuk pesakit diabetes jenis 2 di samping rawatan sedia ada.

Cara makan habbatus sauda yang terbaik adalah dengan mencampurkannya dengan air. 

Bagi pesakit diabetes, anda boleh cuba minum air habbatus sauda ini ketika perut kosong untuk mengurangkan kadar gula dalam darah.

3. Khasiat habbatus sauda untuk penghidap asma

Bagi penghidap asma yang menderita dengan simptom seperti batuk, bersin dan sesak nafas, habbatus sauda mungkin dapat membantu.

Walau bagaimanapun, habbatus sauda tidak mempunyai keberkesanan yang sama dengan ubat yang dibekalkan oleh doktor. 

Oleh sebab itu, jangan sesekali gantikan ubat sedia ada dengan sebarang herba atau makanan tambahan. Dapatkan nasihat daripada pakar tentang cara makan habbatus sauda sebelum mengambil ia untuk merawat asma.

4. Dapat membantu menurunkan berat badan

khasiat habbatus sauda
Habbatus sauda dapat menurunkan berat badan.

Khasiat habbatus sauda untuk wanita mahupun dalam kalangan mereka yang ingin menurunkan berat badan bukanlah sesuatu yang asing.

Di media sosial, ramai yang mengakui dapat menurunkan berat badan setelah mengamalkan minuman yang mengandungi habbatus sauda.

Walau bagaimanapun, pakar masih belum pasti bagaimana habbatus sauda dapat membantu menurunkan berat badan.

Menurut sebuah kajian kecil yang dijalankan ke atas 45 orang wanita yang mempunyai berat badan berlebihan, pengambilan 2000 mg minyak habbatus sauda selama 8 minggu didapati dapat mengurangkan selera makan dan mengurangkan berat badan.

Namun, masih banyak lagi kajian yang perlu dijalankan untuk menentukan keberkesanan sebenar khasiat habbatus sauda.

Bagi mereka yang ingin mencuba air habbatus sauda, cuba rendamkan 2 sudu kecil herba ini ke dalam air. Kemudian, air tersebut bolehlah diminum.

5. Khasiat habbatus sauda untuk kulit lebih cantik

kulit glowing
6 rahsia untuk mendapatkan kulit glowing.

Inginkan kulit yang lebih sihat dan cantik? Cuba amalkan air rendaman habbatus sauda setiap hari!

Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Dermatology and Dermatologic Surgery, individu yang mengambil habbatus sauda mempunyai kulit yang lebih sihat dan kurang jerawat.

Malah, disebabkan sifat antibakterianya, khasiat habbatus sauda untuk kulit juga dapat mengurangkan inflamasi dan juga mempercepatkan penyembuhan kulit!

Rumusan

Walaupun terdapat banyak khasiat habbatus sauda terhadap kesihatan, namun herba ini tidak boleh digunakan sebagai ganti ubat-ubatan.
Oleh sebab itu, pesakit amat digalakkan untuk mendapatkan nasihat pakar sebelum mengambil apa-apa suplemen atau makanan tambahan.
Doktor dapat menerangkan lebih lanjut mengenainya dan cara makan habbatus sauda yang betul.
Jika ada sebarang kemungkinan untuk herba tersebut mengganggu keberkesanan ubat-ubatan yang diambil, doktor dapat mengesannya lebih awal.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.



Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 14/03/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan