backup og meta

Tak Tahan Badan Gatal-gatal? Jangan Selalu Ambil Ubat Antihistamin, Ada Kesan Sampingannya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/01/2023

    Tak Tahan Badan Gatal-gatal? Jangan Selalu Ambil Ubat Antihistamin, Ada Kesan Sampingannya!

    Antihistamin merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk merawat simptom alahan. Ubat antihistamin diberikan untuk merawat kondisi yang berlaku disebabkan kehadiran terlalu banyak histamin, sejenis bahan kimia yang dihasilkan oleh sistem imun badan.

    Untuk pengetahuan anda, histaminlah bahan kimia yang bertanggungjawab ke atas simptom alahan.

    Selalunya, apabila simptom alahan muncul, ubat pertama yang akan diberikan ialah antihistamin. Kemudiannya, barulah doktor akan memperkenalkan ubat lain seperti suntikan dan steroid.

    Walau bagaimanapun, seperti ubat-ubatan lain, antihistamin mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri.

    Tetapi, sebelum kita bercakap lebih lanjut mengenainya, mari kenali antihistamin dengan lebih dekat terlebih dahulu.

    Bagaimana antihistamin berfungsi?

    penyakit alahan

    Antihistamin merupakan sejenis ubat yang berfungsi menghalang kesan atau simptom yang dihasilkan oleh histamin.

    Seperti namanya, ‘anti’ bermaksud melawan. Antihistamin boleh didapati secara preskripsi ataupun over-the-counter di farmasi berdekatan.

    Individu yang mempunyai alahan terhadap sesuatu seperti bulu kucing, habuk, debu atau binatang seperti kutu dan pepijat akan menghasilkan histamin selepas terhidu atau tersentuh bahan ini.

    Histamin akan menyebabkan tisu di dalam hidung membengkak dan membuatkannya tersumbat. Selain itu, anda juga akan alami simptom lain seperti mata berair, dan gatal-gatal pada kawasan kulit.

    Antihistamin bukan sahaja digunakan untuk merawat alahan. Kadangkala, ia juga akan diberikan kepada pesakit untuk mengelakkan motion sickness dan juga rawatan jangka pendek untuk insomnia.

    Ubat alahan ini dapat dibahagikan kepada 2 jenis iaitu antihistamin yang membuatkan anda mengantuk dan juga yang kurang menyebabkan anda rasa mengantuk.

    Ia juga boleh didapati di dalam bentuk tablet, kapsul, cecair, sirap, losyen, titisan mata dan semburan hidung.

    Oleh sebab itu, penghidap penyakit alahan boleh mendapatkan antihistamin mengikut spesifikasi yang dikehendaki disebabkan sifatnya yang versatil.

    Kesan sampingan ubat antihistamin

    Walaupun antihistamin merupakan kawan baik untuk penghidap penyakit alahan, ia juga boleh mendatangkan beberapa kesan sampingan seperti:

    1. Rasa mengantuk

    penyakit alahan

    Rasa mengantuk merupakan kesan sampingan yang sering dilaporkan oleh mereka yang mengambil antihistamin.

    Malah, sejenis antihistamin yang dikenali dengan nama diphenhydramine juga digunakan di dalam ubat-ubatan bantu tidur.

    Oleh sebab itu, pesakit alahan yang terpaksa bekerja menggunakan mesin atau alatan berat tidak digalakkan untuk mengambil antihistamin. Sama jugalah dengan mereka yang terpaksa memandu jauh setiap hari.

    Walau bagaimanapun, kesan sampingan ini berbeza mengikut individu. Jika anda mempunyai masalah dengan ubat alahan yang dipreskripsikan untuk anda, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera.

    2. Mulut kering

    Selain rasa mengantuk, mulut kering juga merupakan kesan lain ubat antihistamin. 

    Kesan sampingan ini mungkin tidak akan menyebabkan masalah yang serius seperti mengantuk, namun ia masih akan mendatangkan ketidakselesaan.

    3. Mata kering

    Mata kering boleh menyebabkan ramai yang rasa tidak selesa. Manakan tidak, kesan sampingan ini akan membuatkan mata rasa gatal, pedih dan merah-merah.

    Lebih teruk lagi, kesan sampingan ini menyerupai simptom yang disebabkan oleh alahan. Oleh sebab itu, sukar untuk pesakit alahan mengenal pasti apakah yang menyebabkan mata menjadi kering.

    4. Sembelit

    Benar, antihistamin juga boleh menyebabkan anda sembelit! Semua ini berlaku disebabkan sejenis bahan kimia yang dikenali dengan nama acetylcholine. Neurotransmiter ini memainkan peranan di dalam kawalan otot di bahagian perut.

    Oleh sebab itu, mereka yang mengambil antihistamin mungkin akan mengalami sembelit disebabkan pergerakan otot yang perlahan.

    5. Retensi urin

    Mereka yang mengambil ubat antihistamin juga mungkin akan mengalami retensi urin, juga dikenali sebagai kencing tidak lawas.

    Disebabkan antihistamin boleh mempengaruhi otot pada bahagian perut, ia juga boleh memberikan kesan yang sama terhadap otot pundi kencing.

    Hati-hati jika mengambil ubat lain bersama antihistamin

    penyakit alahan

    Menurut NHS, mereka yang sedang mengambil antihistamin perlu berhati-hati jika sedang mengambil ubat-ubatan lain.

    Ada risiko untuk ubat-ubat ini mendatangkan kesan sampingan yang lebih teruk kepada anda.

    Sebagai contoh, ubat di bawah boleh menyebabkan pesakit alahan mengalami kesan sampingan yang lebih serius:

    1. Ubat antidepresi.
    2. Ubat untuk ulser perut atau masalah ketidakhadaman.
    3. Ubat batuk atau demam yang sudah mengandungi antihistamin.

    Selain itu, elakkan mengambil minuman beralkohol. Minuman ini boleh menyebabkan anda jadi lebih mengantuk.

    Makanan dan minuman lain tidak mendatangkan kesan sampingan terhadap pengambilan antihistamin. 

    Walau bagaimanapun, pastikan anda membaca lampiran yang datang bersama dengan ubat tersebut untuk sebarang maklumat lanjut.

    Kesimpulan

    Antihistamin merupakan ubat yang dapat memberikan kelegaan kepada pesakit alahan. Disebabkan ia boleh dibeli secara over-the-counter, ramai pesakit alahan yang menggunakan ubat ini untuk kelegaan pantas.

    Walau bagaimanapun, seperti ubat-ubatan yang lain, antihistamin turut mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri. 

    Rasa mengantuk, mulut kering dan mata gatal merupakan antara kesan sampingan yang mungkin hadir bersama ubat penyakit alahan ini.

    Namun, jika anda kerap mengalami iritasi atau ubat tersebut tidak memberikan sebarang kelegaan kepada anda, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin.

    Kondisi anda mungkin perlu diperiksa oleh doktor dengan lebih lanjut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan