backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Info Lengkap Mengenai Obesiti: Punca, Komplikasi Dan Langkah Pencegahan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 16/04/2021

Info Lengkap Mengenai Obesiti: Punca, Komplikasi Dan Langkah Pencegahan

Apa itu obesiti?

Obesiti adalah penyakit kronik yang dihidapi oleh lebih 650 juta orang dewasa di seluruh dunia.

Ia merupakan satu keadaan kesihatan yang sangat serius di Malaysia berikutan obesiti boleh menyebabkan pelbagai jenis komplikasi kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan kanser.

Apa yang perlu anda faham jika didiagnosis dengan masalah obesiti?

Kebanyakan individu sering mengaitkan obesiti dengan berat badan manusia. Badan gempal, terus dikatakan obes.

Walaupun perkara itu benar namun ia tidak tepat. Terdapat beberapa cara lain yang boleh digunakan bagi mengetahui status obesiti seseorang.

Secara umumnya, mereka yang mempunyai lemak badan berlebihan boleh dikategorikan sebagai penghidap obesiti.

Lemak badan tersebut boleh menyebabkan kesan negatif  terhadap kesihatan dan merupakan punca komplikasi penyakit yang sering dikaitkan dengan obesiti.

Mungkin ramai yang membuat andaian bahawa masalah bagi penghidap lebih tertumpu kepada aspek kosmetik.

Walau bagaimanapun, apa yang anda perlu sedar adalah, obesiti itu sendiri adalah masalah kesihatan yang serius.

Oleh sebab itulah penghidap digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengembalikan berat badan kepada paras ideal semula.

Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan?

Soalan lazim yang sering diajukan kebanyakannya berkaitan dengan risiko masalah kesihatan yang mungkin dialami oleh mereka yang mempunyai berat badan berlebihan. Adakah sama dengan penghidap obesiti? 

Kedua-duanya mempunyai badan yang gempal namun obesiti menduduki carta paling teruk dalam kedudukan BMI. Adakah sama risikonya?

Jawapannya adalah ‘Ya’ walaupun tahap risikonya mungkin sedikit lebih rendah berbanding dengan mereka yang obes.

Masalah berat badan berlebihan turut dikaitkan dengan jumlah lemak di dalam badan yang tinggi melepasi peratusan normal.

Ia boleh meningkatkan risiko komplikasi penyakit kronik yang lain.

Justeru, golongan ini juga perlu mempunyai matlamat kawalan berat badan yang sama dengan individu obes.

Situasi obesiti di Malaysia

obesiti

Malaysia telah dianggap sebagai negara tergemuk di Asia sejak tiga dekad yang lalu.

Berdasarkan kepada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 berkenaan dengan penyakit tidak berjangkit, 50.1% orang dewasa menghidap masalah berat badan berlebihan atau obes.

Perkara ini agak membimbangkan berikutan ia merupakan satu peningkatan ketara berbanding dengan NHMS 2011 (45.4%) dan NHMS 2015 (48.6%).

Antara faktor yang menyebabkan corak peningkatan ketara tersebut berkait dengan gaya pemakanan dan jumlah aktiviti fizikal di bawah saranan kesihatan.

Melalui pemerhatian tersebut, jelas menunjukkan peranan gaya hidup dalam memastikan kawalan risiko obesiti terhadap kehidupan setiap individu. Jika diabaikan, risiko penyakit kronik lain untuk berlaku turut meningkat.

Bagaimana cara untuk anda tahu jika menghidap obesiti?

Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana cara untuk mengetahui status obesiti masing-masing.

Oleh sebab obesiti adalah satu keadaan kesihatan, ia perlu didiagnosis oleh doktor perubatan yang bertauliah.

Perkara ini boleh dicapai melalui beberapa cara.

Apa yang menyebabkan seseorang itu didiagnosis (klinikal)? Adakah badan gempal sudah tentu obes?

Secara umumnya, risiko obesiti boleh diukur menggunakan jisim berat badan (BMI) setiap individu.

Ia merupakan satu cara yang mudah, melibatkan ukuran nilai berat, dibandingkan dengan ketinggian masing-masing.

Formula pengiraannya adalah berat (dalam unit kilogram) dibahagikan dengan ketinggian kuasa dua (dalam unit meter).

Melalui kaedah tersebut, terjemahan keputusannya adalah seperti berikut:

  1. Jika BMI anda rendah daripada 18.5, ini bermaksud ia berada di bawah paras normal.
  2. Nilai BMI normal adalah di antara 18.5 hingga 24.9. Bagi orang Asia, BMI normal adalah di antara 18.5 hingga 22.9.
  3. BMI di antara 25 hingga 29.9 dianggap berat badan berlebihan. Bagi orang Asia, mereka yang mempunyai BMI di antara 23 hingga 26.9 dianggap mempunyai masalah tersebut.
  4. BMI melebihi angka 30 dianggap obes. Bagi orang Asia, BMI melebihi 27 dianggap obes.

BMI

Seperti yang anda sedia maklum, maklumat BMI berbeza mengikut lokasi seperti yang dinyatakan di atas.

Secara amnya, orang Asia mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap komplikasi berat badan berlebihan, maka nilai BMI mereka adalah lebih rendah.

Anda boleh memeriksa nilai BMI di sini.

Walaupun BMI umpama satu alat yang boleh mengukur risiko obesiti dengan tepat, namun ia tidak mengambil kira jisim otot seseorang.

Oleh sebab otot lebih tepu berbanding dengan lemak, atlet dan individu berotot boleh memiliki berat yang sama dengan penghidap obes pada ketinggian tertentu.

Justeru, BMI sahaja tidak boleh digunakan bagi mengukur risiko obesiti. Pemeriksaan doktor lebih penting.

Faktor risiko dan punca obesiti

Mungkin ramai yang berpendapat bahawa obesiti berlaku berikutan kurang kawalan nafsu makan.

Namun, ia tidak semudah itu. Risiko obesiti boleh berlaku hasil interaksi daripada pelbagai jenis faktor.

Antaranya adalah:

  • Pemakanan yang tinggi kalori
  • Kurang aktiviti fizikal
  • Genetik
  • Usia
  • Kesan sampingan ubat
  • Masalah kesihatan lain
  • Mekanisme adaptasi yang tidak sihat
  • penyakit kronik

    Ukuran bagi risiko obesiti tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja.

    Oleh sebab itulah terdapat pelbagai jenis pendekatan untuk menurunkan berat masing-masing agar kekal pada nilai ideal.

    Apakah kesan obesiti terhadap tubuh badan manusia?

    Masalah obesiti boleh mempengaruhi kualiti hidup seseorang.

    Antara komplikasi yang boleh dialami oleh penghidap obesiti adalah seperti berikut:

    1. Risiko penyakit jantung dan strok meningkat.
    2. Anda lebih mudah menghidap masalah tekanan darah tinggi.
    3. Risiko bagi kanser serviks, rahim, ovari, payudara, rektum, hati, pankreas, buah pinggang dan prostat meningkat.
    4. Masalah berkaitan dengan sistem pencernaan seperti pedih ulu hati, GERD dan sebagainya.
    5. Obesiti juga boleh menyebabkan masalah berkaitan dengan seksual seperti ketidaksuburan dan mati pucuk.
    6. Peningkatan pada risiko osteoartritis disebabkan oleh bebanan berlebihan terhadap sendi. 
    7. Peningkatan pada risiko kencing manis.
    8. Masalah kardiovaskular dan penyakit kronik yang lain.

    Rawatan dan langkah pencegahan

    Tidak kiralah berapa lama sekalipun anda pernah menghidap masalah obesiti, terdapat langkah yang boleh diamalkan bagi menurunkan berat badan dan hidup lebih sihat.

    Antaranya adalah:

    1. Amalkan diet rendah karbohidrat dan rendah lemak.
    2. Tingkatkan durasi aktiviti fizikal. Cuba untuk penuhi masa beraktiviti (berjalan, bersenam dan sebagainya) 30 minit sehari, minimum.
    3. Jika badan gempal disebabkan oleh masalah mental seperti kemurungan dan sebagainya, rujuk ahli terapi atau doktor psikiatri untuk tindakan selanjutnya.
    4. Jika obesiti berlaku disebabkan oleh penyakit, pastikan anda mendapatkan rawatan.
    5. Bagi mereka yang memenuhi kriteria tertentu, pembedahan bariatrik boleh menjadi pilihan untuk mengawal berat badan. Rujuk doktor anda untuk maklumat lanjut.
    6. Terdapat ubat atau suplemen yang boleh membantu menurunkan berat badan. Pastikan anda rujuk doktor terlebih dahulu.
    7. Pantau berat anda dan pastikan anda sentiasa konsisten bagi mencapai matlamat berat ideal.

    Kesimpulannya, perkara paling penting untuk menurunkan berat badan adalah dengan melakukan perubahan gaya hidup. Jika anda boleh lakukannya, pasti anda dapat melawan obesiti.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 16/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan