backup og meta

Benarkah Minyak Pati Boleh Memecahkan Lemak & Menurunkan Berat Badan?

Benarkah Minyak Pati Boleh Memecahkan Lemak & Menurunkan Berat Badan?

Permintaan terhadap alat kosmetik dan produk kecantikan yang tinggi telah menyebabkan ramai individu terkenal menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan pelbagai produk di bawah jenama mereka sendiri. Pelancaran pelbagai produk sama ada produk kecantikan dan kesihatan bukanlah menjadi satu isu yang besar jika produk yang dihasilkan benar-benar terbukti berkesan secara saintifik. Isu yang sering menjadi perhatian ramai pihak adalah ketika mana sesuatu produk yang dilancarkan tersebut didakwa berkesan dalam memberikan pelbagai manfaat kesihatan sehingga ia kedengaran tidak masuk akal. Sepertimana baru-baru ini, hangat di media sosial berkenaan pelancaran Cakenis Petite Oil oleh selebriti terkenal, Hanis Zalikha yang didakwa mampu menurunkan berat badan seseorang individu, memecahkan lemak di beberapa bahagian tubuh, selain mengawal nafsu makan dengan cara menyapukan minyak pati tersebut pada kulit. Dakwaan keberkesanan produk tersebut telah mencetuskan reaksi pelbagai pihak sehingga Dr. Amalina Che Bakri tampil menyangkalnya. 

Dakwaan tidak terbukti secara saintifik

Menurut Dr. Amalina, tidak terdapat sebarang bukti yang menunjukkan bahawa penggunaan minyak pati secara sapuan boleh menyebabkan penurunan berat badan secara langsung. Menurut beliau lagi, minyak pati mungkin mempunyai fungsi dalam “pengurusan” penurunan berat badan iaitu kesan yang bertindak secara tidak langsung. Walau bagaimanapun, bukti kajian adalah lemah dan terhad kerana kebanyakan kajian dilaksanakan melalui tabung uji (in vitro) atau ke atas haiwan berbanding terhadap manusia. 

Selain itu, Dr. Amalina turut menyatakan bahawa terdapat satu teori tentang “kesan antikeresahan” daripada minyak pati berkemungkinan membantu dalam mengawal pemakanan secara berlebihan (kesan secara tidak langsung). Namun, bukti kajian tersebut adalah lemah dan tidak mempunyai perkaitan atau hubungan secara langsung.

Kaedah terbaik menurunkan berat badan

Tidak terdapat sebarang kaedah shortcut untuk anda menurunkan berat badan melainkan dengan cara pengamalan gaya hidup yang sihat. Berikut merupakan antara cara dan kaedah yang pasti lebih selamat dan berkesan untuk anda menurunkan berat badan.

  • Makan secara sihat adalah kunci utama pengurusan berat badan yang ideal. Ikuti panduan Pinggan Sihat Malaysia bagi menentukan saiz hidangan anda. Hashtag #sukusukuseparuh adalah antara cara yang paling mudah untuk anda mengingati panduan Pinggan Sihat Malaysia ini iaitu suku sumber protein, suku sumber karbohidrat dan separuh sumber sayur-sayuran dan buah-buahan.
  • Lakukan aktiviti fizikal dengan kerap. Anda disarankan untuk melakukan aktiviti fizikal yang mudah setiap hari seperti berjalan, berlari, dan berjoging bagi memastikan kesihatan kardiovaskular anda, selain membantu anda menurunkan berat badan secara perlahan-lahan.
  • Dapatkan tidur yang mencukupi. Budaya tidur lewat turut menjadi antara punca seseorang individu mengalami peningkatan berat badan. Pastikan anda mendapat waktu tidur yang mencukupi sekurang-kurangnya 7 jam dalam sehari.

Sebagai pengguna, adalah tidak salah sekiranya anda ingin kelihatan cantik dan menarik asalkan anda tidak menggunakan produk-produk yang tidak terbukti secara saintifik berkenaan keberkesanannya. Anda tidak boleh menjadikan kata-kata selebriti terkenal semata-mata sebagai rujukan penggunaan sesuatu produk. Anda disarankan untuk mendapatkan nasihat penggunaan atau keberkesanan sesuatu produk daripada doktor perubatan bertauliah dan ahli-ahli farmasi memandangkan mereka adalah individu yang lebih berpengetahuan atau arif berkenaan hal-hal seperti ini. Jangan gadaikan kesihatan anda semata-mata untuk mengejar bentuk badan yang menarik dengan cara pantas yang tidak selamat. 

 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Ini Penjelasan Dr. Amalina Tentang Keberkesanan ‘Essential Oil’ Untuk Turunkan Berat Badan

https://bm.cari.com.my/portal.php?mod=view&aid=49860

https://www.healthline.com/health/diet-and-weight-loss/essential-oils-for-weight-loss

Versi Terbaru

14/06/2020

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Kira Kalori Makanan Untuk Turunkan Berat Badan? Cuba Lakukan Tip Mudah Ini!

5 Fakta Dan Mitos Mengenai Makanan Yang Boleh Tambah Berat Badan


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 14/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan