
Penyakit asma atau lelah adalah antara gangguan pernafasan paling biasa dialami kebanyakan individu. Umumnya, penghidap asma akan berdepan keadaan sesak nafas, batuk dan berdehit.
Asma adalah keadaan jangka panjang dan sayangnya, ia tidak dapat disembuhkan.
Pun begitu, gejala yang dialami oleh penghidapnya boleh diuruskan dengan berkesan melalui penggunaan ubatan dan rawatan.
Umumnya, dalam keadaan normal, semasa bernafas, udara akan memasuki hidung, melalui saluran tekak dan masuk ke paru-paru.
Tetapi apabila asma menyerang, anda akan mengalami kesukaran bernafas. Ia berlaku kerana saluran udara pada paru-paru membengkak, menyempit dan dipenuhi lendir.
Lendir adalah bahan yang dihasilkan tubuh untuk keadaan tertentu sebagai tindak balas terhadap pencetus. Ia akan dikeluarkan sebagai kahak.
Kahak yang terhasil boleh menyekat saluran udara penghidap penyakit asma, sekali gus memburukkan lagi masalah kesihatan tersebut.
Jenis penyakit asma
Asma boleh berkembang kepada sesiapa tanpa mengira peringkat usia, dan biasanya ia muncul sejak daripada zaman kanak-kanak.
Terdapat dua jenis gangguan pernafasan melibatkan asma ini, iaitu:
- Asma kanak-kanak – Juga dikenali sebagai asma pediatrik. Ia biasanya muncul sebelum anak berusia 5 tahun.
- Permulaan dewasa – Asma ini berkembang pada ketika dewasa, apabila seseorang individu berusia lebih daripada 20 tahun.
Simptom gangguan pernafasan asma
Gejala asma boleh berkisar daripada ringan hingga teruk, dan biasanya diatasi dengan ubat serta penyedut (inhaler).
Anda perlu merujuk kepada doktor untuk mengetahui jenis rawatan yang bersesuaian bagi mengatasi simptom anda.
Antara gejala lain yang boleh berlaku kepada individu dengan penyakit asma adalah:
Batuk
Disebabkan kahak dihasilkan oleh saluran udara yang membengkak, maka sistem refleks anda akan mengeluarkannya daripada badan melalui batuk.
Sesak nafas
Ia terjadi apabila kahak berkumpul pada saluran udara individu yang didiagnosis dengan gangguan pernafasan ini.
Pengumpulan kahak akan menyekat laluan udara keluar masuk daripada paru-paru.
Ini sekali gus mewujudkan kesukaran untuk anda bernafas sehingga mengakibatkan sesak nafas.
Sakit dada
Keradangan disebabkan asma terjadi pada saluran udara ke paru-paru anda.
Sejumlah kahak akan menyebabkan penyumbatan pada semua saluran udara, menyukarkan udara masuk dan keluar daripada paru-paru.
Keadaan ini akan menyebabkan anda mengalami sakit dada dan sesak nafas.
Berdehit
Keadaan ini merujuk kepada bunyi seakan bersiul yang keluar daripada dada anda. Ia biasanya terjadi apabila udara melalui ruang yang sangat sempit.
Apabila seseorang didiagnosis dengan penyakit asma, mereka akan berdehit kerana udara yang disedut dan dihembus sukar melalui saluran udara, disebabkan penyumbatan kahak.
Bila perlu mendapatkan pemeriksaan doktor?
Sekiranya masalah gangguan pernafasan berterusan dan tidak bertindak balas terhadap ubat yang ditetapkan, ataupun jika asma disertai dengan gejala lain, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor.
Pencetus lazim penyakit asma
Pesakit asma yang berbeza telah didiagnosis dan mempunyai pelbagai senarai pencetus. Walau bagaimanapun, berikut adalah pencetus yang paling biasa bagi penghidapnya, seperti:
- Alergen (sama ada di dalam dan di luar rumah)
- Perengsa yang terkandung dalam udara
- Beberapa jenis ubat
- Tekanan
- Keadaan cuaca tertentu
- Makanan tertentu
- Penyakit pernafasan viral
Faktor risiko
Berikut adalah faktor-faktor yang membuatkan seseorang mempunyai kemungkinan tinggi menghidap gangguan pernafasan kronik, asma.
- Anda boleh menghidap asma jika terdedah kepada pelbagai pencetus dalam pekerjaan
- Pendedahan kepada pencemaran udara meningkatkan kemungkinan anda menghidap asma
- Sekiranya anda tidak mempunyai perlindungan daripada asap rokok atau bergelar perokok pasif, maka risiko untuk menghidap penyakit asma adalah tinggi
- Asma tidak dapat dihindari jika anda merokok
- Berat badan berlebihan juga meningkatkan kemungkinan anda menghidap asma
- Sekiranya mengalami alahan, ada kemungkinan anda akan menghidap asma
- Anda berisiko untuk mengalami asma jika mempunyai ahli keluarga yang turut didiagnosis dengan penyakit ini
Diagnosis
Proses mendiagnosis sama ada anda menghidap asma atau tidak akan melibatkan pemeriksaan fizikal yang akan dilakukan oleh doktor.
Selepas itu, akan ada satu siri ujian yang mengukur keupayaan paru-paru anda untuk membawa masuk dan keluar udara daripada tubuh.
Spirometry adalah ujian untuk memeriksa jumlah udara yang dapat anda hirup masuk dan juga berapa banyak udara dihembus keluar.
Peak flow meter adalah sejenis alat pemeriksaan mudah alih. Ia biasanya digunakan dalam keadaan akut untuk mengukur tahap keberkesanan paru-paru dalam menghembuskan nafas.
Jenis rawatan
Malangnya, tidak ada cara pintas untuk menyembuhkan asma.
Tetapi beberapa kaedah rawatan boleh membantu mengatasi gangguan pernafasan ini secara perlahan-lahan.
Biasanya doktor akan memberikan preskripsi ubat kawalan jangka panjang agar anda tidak kerap mengalami serangan asma.
Selain itu, penghidap asma sangat disarankan untuk sentiasa membawa inhaler bersama.
Ini kerana jika anda mengalami serangan asma, alat penyedut itu akan membantu anda bernafas lebih mudah dan dapat memberikan kelegaan segera.
Tip menguruskan masalah asma
Terdapat banyak perkara yang harus dilakukan untuk menguruskan asma anda.
Pun begitu, perkara paling utama adalah anda harus bersabar agar tidak terlalu menderita kerana penyakit ini.
- Sentiasa melakukan pemeriksaan doktor
- Jangan sesekali terlupa mengambil ubat kawalan
- Berhati-hatilah dengan perkara-perkara yang mungkin mencetuskan serangan dan pastikan anda mengelakkannya
- Ketahui cara mengurus dan merawat serangan asma sendiri sekiranya anda mengalami serangan tanpa ada yang dapat menolong
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.