backup og meta

Strok Bukan Sekadar Lumpuh! Ada Beberapa Jenis Serangan Angin Ahmar & Ini Tanda Amarannya

Strok Bukan Sekadar Lumpuh! Ada Beberapa Jenis Serangan Angin Ahmar & Ini Tanda Amarannya

Apabila terlintas sahaja perkataan strok, pasti anda akan terbayang akan pesakit yang terlantar di atas katil dan tidak berkeupayaan untuk bergerak.

Strok atau angin ahmar adalah keadaan kesihatan kecemasan yang berlaku akibat daripada kematian sel otak berikutan gangguan pada aliran darah.

Ia boleh menyebabkan simptom yang serius, kecacatan kekal dan kematian jika tidak dirawat dengan segera.

Terdapat beberapa jenis strok yang berbeza dan setiap satu daripadanya mempunyai punca yang berlainan.

Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Pengelasan angin ahmar

Secara amnya, strok boleh dibahagikan kepada 3 jenis yang utama iaitu serangan iskemik transien, strok iskemik dan strok hemorhagik.

Serangan iskemik transien

Berbeza dengan dua jenis strok yang lain, serangan iskemik transien (TIA) hanya berlaku dalam tempoh masa yang singkat.

Aliran darah ke otak hanya terhenti seketika dan simptom akan hilang sebaik sahaja aliran darah kembali normal.

TIA juga digelar strok mini.

Strok iskemik

Apabila terdapat darah beku yang menyekat aliran darah ke otak, keadaan tersebut boleh menyebabkan strok iskemik.

Darah beku boleh terbentuk akibat masalah kesihatan kronik yang menyumbang kepada pembentukan plak aterosklerosis.

Apabila sebahagian daripada plak tersebut tertanggal, ia boleh mengalir dan tersekat pada salur darah kecil di otak menyebabkan aliran darah terganggu.

Konsepnya lebih kurang sama dengan serangan jantung. Apabila terdapat halangan pada aliran darah, anda akan mendapat simptom sakit dada.

Dianggarkan 87% kes strok merupakan jenis iskemik.

Dan pengelasan ini boleh dibahagikan kepada dua punca, sama ada embolik atau trombotik.

Trombotik bermaksud darah beku terbentuk di dalam salur darah otak manakala embolik pula, darah beku terbentuk di kawasan anggota badan lain dan mengalir ke otak.

Berbeza dengan TIA, strok iskemik tidak akan boleh sembuh tanpa rawatan.

Strok hemorhagik

Keadaan ini berlaku apabila terdapat salur darah di dalam otak pecah sehingga menyebabkan pendarahan di persekitaran tisu.

Aliran darah akan terhenti dan sel otak akan mula mati menyebabkan simptom strok.

Strok hemorhagik boleh dikelaskan kepada 3 jenis punca:

  • Aneurisma – Dinding salur darah menjadi lemah menyebabkan ia membengkak dan boleh pecah
  • Malformasi arteriovenous – Pembentukan salur darah tidak normal sehingga boleh meningkatkan risikonya untuk pecah
  • Tekanan darah tinggi tidak terkawal yang boleh melemahkan struktur dinding arteri sehingga menyebabkan pendarahan berlaku

Bagaimana saya nak tahu jika mengalami strok?

angin ahmar

Tiada siapa yang boleh mengenal pasti jenis strok yang mana tanpa membuat pemeriksaan kesihatan.

Doktor akan menganalisis imbasan otak bagi melihat jika ada tanda pendarahan dan sebagainya sebelum membuat diagnosis.

Persatuan Strok Amerika Syarikat telah menyarankan teknik FAST untuk mengenal pasti tanda amaran serangan strok

  • Face (Muka): Adakah kedua-dua belah pipi anda terangkat semasa anda senyum?
  • Arms (Lengan): Adakah lengan anda jatuh sewaktu anda cuba mengangkatnya?
  • Speech (Percakapan): Adakah percakapan anda boleh difahami? Adakah anda mengalami kesukaran untuk bercakap
  • Time (Masa): Jika anda mengalami mana-mana simptom di atas, hubungi kecemasan dengan kadar segera

Terdapat juga simptom yang tidak diterangkan dalam teknik FAST. Ini termasuklah:

  • Kekeliruan: Sukar memahami apa yang dituturkan oleh orang lain atau kelihatan tidak keruan dengan keadaan sekeliling
  • Sukar berjalan, pening secara tiba-tiba dan hilang keseimbangan badan
  • Sakit kepala teruk yang diketahui puncanya
  • Sukar untuk melihat menggunakan satu atau kedua-dua belah mata

Jika anda mengalami TIA, simptom kebiasaannya akan hilang dalam masa 1 hingga 5 minit. 

Namun, walau ia hilang sekalipun, anda masih disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi menjalani siasatan lanjut.

Komplikasi jika tiada rawatan diberi

strok iskemik

Strok boleh mengancam nyawa. Oleh sebab itulah ia digelar keadaan kesihatan kecemasan.

Otak merupakan organ penting yang mengawal fungsi major dalam kehidupan manusia.

Tanpa aliran darah yang cukup, ia boleh mengganggu pelbagai proses fisiologi seperti pernafasan, tekanan darah dan lain-lain.

Komplikasi yang bakal dialami bergantung kepada jenis strok dan secepat mana anda mendapatkan rawatan.

  • Perubahan tingkah laku
  • Kesukaran untuk bertutur
  • Sakit atau kebas
  • Lumpuh bergantung kepada lokasi strok

Pesakit strok yang sembuh masih boleh mendapatkan kembali fungsi motor, percakapan dan keupayaan untuk menelan melalui proses rehabilitasi.

Namun, perkara ini akan memerlukan masa yang agak panjang.

Konklusi

Strok atau angin ahmar bukanlah satu penyakit yang boleh dipandang ringan.

Oleh sebab terdapat pelbagai jenis strok, tahap keterukan bergantung kepada keadaan klinikal pesakit.

Mereka yang mengalami TIA mungkin akan berasa lega selepas simptom hilang beberapa minit selepas itu.

Namun, itu tidak bermakna anda tidak perlu berjumpa dengan doktor.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Stopping the Bleeding in a Hemorrhagic Stroke. (https://www.stroke.org/en/about-stroke/treatment/hemorrhagic-stroke-treatment). Diakses pada 27 Januari 2021.
  2. Ischemic Stroke (Clots). (https://www.stroke.org/en/about-stroke/types-of-stroke/ischemic-stroke-clots). Diakses pada 27 Januari 2021.
  3. TIA (Transient Ischemic Attack). (https://www.stroke.org/en/about-stroke/types-of-stroke/tia-transient-ischemic-attack). Diakses pada 27 Januari 2021.
  4. Types of stroke. (https://www.cdc.gov/stroke/types_of_stroke.htm). Diakses pada 27 Januari 2021.
  5. What are the different types of stroke? (https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/stroke/types-of-stroke). Diakses pada 27 Januari 2021.

 

Versi Terbaru

28/05/2021

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Muka Senget, Sebelah Badan Lemah Selepas Seks, Ini Punca Strok Selepas Bersenggama

AWAS Bila Strok Mini Menyerang, Ada Risiko Strok Kekal Dalam Tempoh Setahun!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 28/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan