Antara cara untuk menurunkan berat badan adalah dengan mengamalkan pemakanan sihat. Mengetahui makanan pantang diet dan boleh dimakan dapat membantu seseorang mencapai atau mengekalkan berat badan ideal.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Makanan pantang diet untuk menurunkan berat badan
Secara umumnya, apabila ingin mengurangkan berat, anda disaran mengurangkan atau mengelakkan makanan tinggi kandungan kalori. Namun jumlah kalori dalam makanan bukanlah satu-satunya faktor yang perlu dipertimbangkan.
Contohnya, makanan rendah kalori yang kurang nutrien seperti serat dan protein masih boleh menyebabkan seseorang berasa lapar dan sukar menahan keinginan untuk mengambil snek.
Berikut antara makanan yang tidak membantu dan merupakan pilihan yang teruk jika anda ingin menurunkan berat:
1. Minuman bergula
Banyak minuman seperti soda, minuman sukan dan jus buah-buahan sangat tinggi gula tambahan tetapi rendah dalam nutrien lain. Meminumnya akan menambah kalori tetapi tidak membuatkan anda kenyang.
Terdapat kajian menunjukkan hubungan antara pengambilan minuman bergula dan penambahan berat berlebihan pada kanak-kanak dan remaja.
Baca juga:
Makanan pantang diet #2. Kentang goreng & kerepek kentang
Kentang secara umumnya sihat dan mengenyangkan, tetapi apabila diproses menjadi kentang goreng atau kerepek kentang, ia tidak lagi bagus.
Sebaliknya, ia tinggi kalori dan mudah menyebabkan anda makan terlalu banyak, sekali gus menyumbang kepada penambahan berat badan.
3. Pastri, biskut & kek
Makanan dibakar seperti pastri, biskut dan pencuci mulut selalunya mengandungi gula tambahan sangat tinggi termasuk fruktosa.
Kajian mendapati individu yang mengambil fruktosa lebih berasa lapar dan mempunyai keinginan makan yang tinggi berbanding mereka yang memakan glukosa – sejenis gula lain.
Kumpulan makanan ini juga mengandungi lemak trans dan dipercayai meningkatkan risiko obesiti.
4. Roti putih, harus dielakkan jika mahu menurunkan berat badan
Roti putih dibuat daripada tepung halus dan selalunya mengandungi banyak gula tambahan. Ia mempunyai jumlah indeks glisemik (GI) tinggi dan boleh meningkatkan paras gula darah.
Banyak alternatif lain sihat seperti roti gandum. Namun ia mengandungi gluten, jadi tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai penyakit seliak.
5. Aiskrim
Aiskrim sedap tetapi tidak menyihatkan. Ia tinggi kalori dan kebanyakannya sarat dengan gula.
Pertimbangkan untuk membuat aiskrim sendiri dengan bahan lebih sihat seperti yogurt tanpa lemak dan buah-buahan serta kurangkan penggunaan gula.
6. Piza, antara makanan pantang diet
Piza adalah antara makanan segera yang sangat popular. Tetapi piza yang dihasilkan secara komersial adalah tidak sihat – tinggi kalori dan selalunya mengandungi bahan tidak sihat seperti tepung halus dan daging yang diproses.
Jika ingin menikmati piza, cuba hasilkan sendiri menggunakan bahan lebih sihat bersama sos buatan sendiri.
7. Bar coklat
Anda tidak boleh makan coklat dan berharapkan untuk dapat menyingkirkan lemak di perut, betul tak? Salah! Ini kerana coklat hitam mempunyai pelbagai manfaat yang membantu dalam penurunan berat badan.
Sebaliknya, coklat susu adalah punca biasa pertambahan saiz pinggang, dengan kiraan kalori tinggi dan jumlah gula yang banyak penyumbang kepada pertumbuhan lemak visceral.
8. Donut termasuk juga dalam makanan pantang diet
Jenis makanan ini tidak perlu dihairankan kerana ia mengandungi hampir gula sepenuhnya.
Donut terurai kepada gula ringkas – dalam tubuh – dengan cepat dan menyebabkan badan mengeluarkan lebih banyak insulin.
Jumlah insulin yang tinggi, terlalu banyak gula akan memasuki sel lemak dan tidak meninggalkan satu pun untuk sel darah. Kesannya? Paras glukosa darah rendah dan membuatkan anda berasa lapar sejurus selepas makan.
9. Makanan segera pandu lalu
Jika ingin mengurangkan berat, elakkan daripada singgah di mana-mana drive-thru. Semua makanan yang ditawarkan adalah diproses dan dipenuhi dengan bahan seperti pengawet, lemak trans dan garam.
Bahan pengawet dan lemak trans boleh mengganggu keupayaan perut untuk berkomunikasi dengan otak.
Hormon dan neurotransmiter yang berkaitan dengan rasa kenyang dalam otak tidak dihasilkan dan ia kehilangan keupayaan untuk mengenali bahawa diri sudah kenyang – menjadikan anda terus makan lebih banyak.
[embed-health-tool-bmi]
10. Buahan kering, makanan pantang diet paling tidak disangka
Buah-buahan kering tampak seperti snek yang menyihatkan, bukan? Tetapi awas! Kebanyakan buah kering telah dimaniskan dan mengandungi purata 16 gram gula setiap auns.
11. Yogurt
Yogurt sering dianggap makanan sihat untuk mengurangkan berat. Yogurt Greek secara amnya mengandungi protein dan kultur bakteria yang membantu penghadaman.
Tetapi di pasaran kini, terdapat banyak pilihan yogurt dengan pelbagai bahan campur, jadi pastikan anda membaca label sebelum membeli.
Makanan pantang diet #12. Gegelung bawang
Onion ring adalah contoh terbaik tentang bagaimana makanan sihat pada asalnya menjadi tidak sihat. Jadi, ini yang harus dielakkan.
Ada yang mengatakan makanan ini lebih tidak sihat berbanding kentang goreng kerana mengandungi lebih kalori, lemak tepu, tinggi kandungan gula dan kurang kalium.
Kesimpulannya
Jika anda tidak pasti makanan apakah yang membantu untuk menurunkan berat badan, bacalah label. Tetapi waspada dengan penggunaan nama berbeza untuk gula dan tuntutan ‘baik untuk kesihatan’ yang boleh mengelirukan.
Pertimbangkan juga berkaitan saiz hidangan. Sentiasa mengunyah makanan dengan perlahan-lahan – teknik ini membantu dalam jumlah pengambilan makanan secara sederhana.