backup og meta

Bukan Kerana Diabetes Saja, 7 Keadaan Ini Juga Boleh Sebabkan Hypo Atau Gula Darah Rendah!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/05/2022

    Bukan Kerana Diabetes Saja, 7 Keadaan Ini Juga Boleh Sebabkan Hypo Atau Gula Darah Rendah!

    Keadaan diabetes kadangkala boleh menyebabkan hipoglisemia atau paras gula darah menjadi terlalu rendah. Namun, ada juga ketikanya di mana seseorang itu boleh mengalami gula darah rendah tanpa diabetes.

    Apakah punca yang menyebabkan hipoglisemia selain penyakit diabetes?

    Hipoglisemia: Keadaan gula darah rendah dalam badan

    Secara umumnya, hipoglisemia ialah satu keadaan yang berlaku apabila paras gula darah dalam badan menjadi terlalu rendah. Biasanya ia disebut sebagai hypo.

    Keadaan gula darah rendah ini sering dikaitkan dengan penghidap kencing manis atau diabetes.

    Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa keadaan hipoglisemia ini sebenarnya boleh juga berlaku dalam kalangan individu yang tidak menghidap diabetes.

    Bagi penghidap diabetes, gula darah rendah atau hipoglisemia ini boleh berlaku sekiranya tubuh badan menghasilkan terlalu banyak insulin.

    Insulin merupakan sejenis hormon yang memproses gula untuk digunakan oleh tubuh sebagai sumber tenaga.

    Seseorang penghidap diabetes juga boleh mendapat hipoglisemia sekiranya dia mengambil terlalu banyak suntikan insulin.

    Namun, jika anda bukanlah penghidap diabetes, hipoglisemia boleh berlaku sekiranya badan anda tidak dapat menstabilkan paras gula darah.

    Ia juga boleh berlaku selepas anda makan sekiranya tubuh badan anda menghasilkan terlalu banyak insulin.

    Hipoglisemia dalam kalangan bukan penghidap diabetes agak kurang berlaku berbanding daripada mereka yang menghidap diabetes. 

    Simptom atau tanda hipoglisemia

    gula darah rendah

    Setiap individu mungkin akan mengalami reaksi atau tindak balas yang berbeza jika gula darah mereka jatuh.

    Namun, simptom atau tanda-tanda keadaan hipoglisemia yang biasa berlaku ialah:

  • Sakit kepala
  • Berasa keliru
  • Berasa pening
  • Berasa terlalu lapar
  • Berpeluh
  • Badan jadi menggeletar
  • Penglihatan mula menjadi kabur
  • Tidak mampu untuk fokus atau memberikan tumpuan
  • Perubahan mood atau emosi
  • Namun, anda juga mungkin boleh mengalami hipoglisemia tanpa sebarang simptom.

    Keadaan ini dikenali sebagai ketidaksedaran hipoglisemia (hypoglicemia unawareness). 

    7 keadaan yang boleh sebabkan gula darah rendah

    Selain penyakit diabetes, terdapat tujuh penyakit atau keadaan yang boleh menyebabkan paras gula darah menjadi terlalu rendah.

    Tujuh keadaan penyebab hipoglisemia ini ialah seperti berikut:

    #1. Kesan ubat-ubatan tertentu

    Sekiranya anda ada mengambil ubat-ubatan pesakit diabetes lain, ia sememangnya boleh menyebabkan hipoglisemia.

    Selain itu, gula darah rendah juga boleh berlaku disebabkan ubat-ubatan penyakit malaria, sesetengah jenis antibiotik dan juga ubat-ubatan penyakit pneumonia.

    Sesetengah kelompok individu turut mempunyai risiko peningkatan hipoglisemia yang disebabkan oleh ubat-ubatan, antaranya ialah kanak-kanak dan individu yang mengalami kegagalan buah pinggang.

    #2. Pengambilan terlalu banyak minuman beralkohol

    gula darah rendah

    Apabila paras gula darah seseorang menjadi rendah, pankreas akan melepaskan hormon yang disebut sebagai glukagon.

    Glukagon akan mengarahkan hati untuk menguraikan tenaga yang tersimpan.

    Hati kemudiannya akan melepaskan glukosa kembali ke dalam aliran darah untuk menormalkan paras gula darah.

    Pengambilan terlalu banyak minuman beralkohol boleh mengganggu fungsi hati.

    Hati berkemungkinan tidak lagi dapat melepaskan glukosa kembali ke dalam aliran darah, yang akhirnya boleh menyebabkan hipoglisemia.

    #3. Penyakit hepatitis

    Hepatitis ialah satu keadaan keradangan yang menjejaskan organ hati.

    Jika anda menghidap hepatitis, ia boleh menghalang organ hati daripada berfungsi seperti yang sepatutnya.

    Sekiranya hati tidak dapat menghasilkan atau melepaskan glukosa yang cukup, ini boleh menyebabkan masalah yang berkaitan dengan kadar gula darah dan mencetuskan hipoglisemia.

    #4. Gangguan kelenjar pituitari atau adrenal

    Masalah atau gangguan yang berlaku pada kelenjar pituitari atau kelenjar adrenal juga boleh menyebabkan hipoglisemia.

    Ini kerana bahagian tubuh ini boleh mempengaruhi hormon yang mengawal pengeluaran glukosa.

    #5. Masalah buah pinggang

    gula darah rendah

    Buah pinggang dalam badan kita berfungsi membantu tubuh untuk memproses ubat-ubatan yang diambil selain mengeluarkan sisa daripada tubuh.

    Sekiranya seseorang mempunyai masalah dengan buah pinggang mereka, ubat-ubatan yang diambil akan kekal berkumpul dalam aliran darah.

    Sekiranya keadaan ini berlaku, ia dapat mengubah paras gula dalam darah dan menyebabkan gangguan hipoglisemia. 

    #6. Tumor pankreas

    Tumor pankreas amat jarang berlaku, namun ia juga boleh menjadi antara punca gula darah rendah atau hipoglisemia.

    Tumor di pankreas boleh menyebabkan pankreas menghasilkan terlalu banyak insulin.

    Sekiranya tahap insulin menjadi terlalu tinggi, paras gula darah juga akan jatuh secara mendadak. Ini kemudiannya akan menyebabkan hipoglisemia. 

    #7. Anoreksia

    Individu yang mempunyai gangguan pemakanan seperti anoreksia ini biasanya tidak makan dengan mencukupi.

    Oleh itu, badan tidak menerima sumber makanan secukupnya untuk membekalkan tenaga kepada tubuh.

    Kesannya, paras gula darah juga akan menjadi terlalu rendah.

    Kesimpulan

    Jika anda ada mengalami simptom-simptom seperti yang dinyatakan, segeralah berjumpa dengan doktor untuk memeriksa keadaan anda.

    Ini untuk menentukan sama ada anda mengalami hipoglisemia atau tidak.

    Walaupun anda bukanlah penghidap diabetes, anda juga masih berisiko untuk mengalami hipoglisemia yang mungkin berpunca daripada tujuh sebab yang dinyatakan di atas.  

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan