Makanan Ketika Berpantang Selepas Bersalin Yang Boleh Dicuba

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Makanan berpantang, mesti terfikir bahawa ia sesuatu makanan yang tidak sedap. Tetapi sangkaan itu salah, makanan berpantang sedap sebenarnya. Jom ketahui makanan ketika berpantang selepas bersalin yang boleh anda cuba.

Tempoh berpantang

Setiap wanita yang melalui proses melahirkan anak, akan menempuhi satu tempoh yang dinamakan tempoh berpantang. Sebagai contoh, bagi wanita Melayu, tempoh berpantang adalah selama 40 hingga 55 hari, manakala bagi wanita Cina dan India pula adalah selama 30 hari. 

Sepanjang tempoh berpantang ini, setiap individu wanita yang baru bersalin perlu mengelakkan daripada mengambil sesetengah jenis makanan yang dikatakan panas, berangin, sejuk ataupun tajam.

Keadaan ini kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan luka bersalin serta kesihatan dalaman wanita. Hakikatnya, ia adalah lebih kepada kepercayaan yang diwarisi sejak zaman dahulu dalam masyarakat Melayu. 

Walau bagaimanapun dari sudut perubatan moden, kepercayaan ini dianggap tidak tepat kerana tidak terdapat bukti ataupun kajian saintifik yang menunjukkan terdapat jenis-jenis makanan yang boleh mendatangkan bahaya kepada ibu.

Pada dasarnya berpantang ini adalah untuk memberikan makanan berkhasiat kepada ibu untuk mengembalikan tenaga dan tahap kesihatan secara keseluruhan. Walau apa pun, ia adalah hak anda sama ada ingin mengikuti pantang larang tersebut atau tidak. 

Boleh dimakan atau tidak boleh dimakan?

Sebelum kita pergi kepada senarai makanan ketika berpantang selepas bersalin yang boleh anda cuba, apa kata kita ketahui terlebih dahulu mengenai jenis makanan yang boleh dimakan ketika tempoh pantang dan juga jenis makanan yang tidak boleh dimakan berpantang.

Makanan boleh dimakan

Ayam dan daging

  • Ayam biasa,
  • Burung puyuh
  • Merpati
  • Ayam hitam
  • Ayam didik
  • Ayam selasih
  • Ayam kampung
  • Daging batang pinang
  • Daging kurang lemak
  • Daging kambing

Ikan

  • Haruan 
  • Yu
  • Selar
  • Gelama
  • Jenahak
  • Merah
  • Tenggiri
  • Kurau
  • Bawal putih
  • Senangin
  • Bilis 
  • Salmon 
  • Siakap

Ulam-ulaman

  • Halia
  • Serai
  • Lengkuas
  • Pegaga
  • Mengkudu
  • Ulam raja
  • Jantung pisang
  • Daun ubi cekur
  • Bunga kantan
  • Kunyit hidup
  • Daun kaduk
  • Daun kesum
  • Pudina
  • Kari 

Sayur-sayuran

Buah-buahan

Makanan lain

  • Biskut
  • Roti
  • Nestum
  • Oat
  • Cornflakes
  • Masakan panggang, rebus, kukus dan bakar

Air

  • Air suam
  • Pati kunyit
  • Jus pegaga
  • Air halia
  • Kopi
  • Manjakani
  • Halia kurmia
  • Madu
  • Air coklat
  • Minuman malt seperti Horlicks

Untuk memudahkan anda, terdapat beberapa senarai herba atau rempah yang boleh anda sediakan dalam jumlah yang banyak. Ini kerana ia merupakan antara bahan yang akan digunakan setiap hari dalam menu masakan berpantang, antaranya:

  • Lada hitam
  • Lada putih
  • Biji halba
  • Kayu manis
  • Cengkih
  • Biji ketumbar
  • Biji sawi
  • Jintan putih
  • Jintan manis

Makanan tidak boleh dimakan

Ayam dan daging

  • Kurangkan pengambilan ayam dan daging pada bahagian berlemak

Ikan

  • Ikan kering
  • Ikan masin
  • Keli
  • Bawal hitam 
  • Terubuk
  • Duri
  • Pari
  • Sembilang
  • Parang
  • Kembung
  • Tamban
  • Cencaru
  • Tongkol
  • Udang
  • Ketam
  • Kerang (paling tidak boleh dimakan)

Sayur-sayuran

  • Ubi kayu
  • Kangkung
  • Petola
  • Terung
  • Timun
  • Tomato
  • Kubis
  • Saderi
  • Sayur keladi
  • Pucuk ubi
  • Kacang panjang
  • Labu
  • Kacang botol
  • Petai
  • Jerai
  • Cili padi 
  • Asam keping

Buah-buahan

  • Nenas
  • Limau
  • Buah lai
  • Tembikai
  • Kiwi
  • Epal hijau
  • Pir
  • Pisang
  • Jambu
  • Belimbing
  • Durian
  • Mangga
  • Betik
  • Ciku 
  • Langsat
  • Nangka
  • Cempedak
  • Ubi kayu
  • Sengkuang
  • Manggis
  • Kuinin 

Makanan lain

  • Tempe
  • Produk makanan daging yang diproses
  • Bihun
  • Mee
  • Kuey teow
  • Laksa
  • Makanan berminyak

Air

  • Air berais
  • Air sejuk
  • Minuman bergas/berkarbonat
  • Tebu
  • Cincau
  • Kelapa muda
  • Jus buah
  • Cuka buah 

Makanan ketika berpantang selepas bersalin

Kita sudah mengetahui jenis makanan yang boleh dan tidak boleh diambil sepanjang tempoh berpantang. Jadi apa kata kita lihat pula senarai menu makanan ketika berpantang selepas bersalin yang boleh anda cuba. 

Ikan bakar berempah

Bahan-bahan:

  • Ikan
  • Bawang putih – ditumbuk
  • Bawang merah – ditumbuk
  • Halia – ditumbuk
  • Kunyit – ditumbuk
  • Serbuk kari
  • Garam 
  • Lada hitam

Cara penyediaan:

  1. Lumurkan semua bahan pada ikan
  2. Bakar ikan sehingga masak

Sup ikan

Bahan-bahan:

  • Ikan – dilumur dengan garam dan digoreng, jika tidak mahu digoreng juga tiada masalah
  • Bawang putih – kisar
  • Bawang merah – kisar
  • Halia – kisar
  • Sup bunjut ikan
  • Air
  • Sayur – lobak dan bunga kubis
  • Lada hitam 
  • Daun sup

Cara penyediaan:

  1. Masukkan bahan kisar, air dan sup bunjut ikan ke dalam periuk
  2. Masukkan sayur lobak dan bunga kubis
  3. Bila sayur sudah hampir lembut, masukkan ikan
  4. Akhir sekali, masukkan garam dan lada hitam secukup rasa
  5. Apabila kuah sudah mendidih, api sudah boleh dimatikan
  6. Taburkan daun sup sebelum menghidang

Masak stim

Bahan-bahan:

  • Ikan
  • Bawang putih – dihiris
  • Bawang merah – dihiris
  • Halia – dihiris
  • Serai – dihiris
  • Lada hitam
  • Air limau nipus (boleh ditukar kepada air asam jawa)
  • Daun ketumbar
  • Garam

Cara penyediaan:

  1. Letakkan semua bahan ke atas ikan
  2. Kukus ikan sehingga masak

Kari ikan (tanpa santan)

Bahan-bahan:

  • Ikan
  • Bawang putih – dihiris
  • Bawang merah – dihiris
  • Halia – dihiris
  • Halba campur
  • Daun kari
  • Air asam jawa
  • Serbuk kari ikan
  • Air

Cara penyediaan:

  1. Tumiskan bawang putih, bawang merah, halia, halba campur dengan sedikit minyak
  2. Masukkan daun kari dan serbuk kari ikan. Tumis seketika sehingga pecah minyak
  3. Masukkan air, ikan dan air asam jawa
  4. Bila ikan sudah masak, masukkan garam dan tunggu sehingga mendidih

Ayam bakar berempah

Bahan-bahan:

  • Ayam
  • Bawang putih – ditumbuk
  • Bawang merah – ditumbuk
  • Halia – ditumbuk
  • Kunyit – ditumbuk
  • Serai – ditumbuk
  • Lengkuas – ditumbuk
  • Serbuk kari
  • Lada hitam
  • Garam
  • Madu 

Cara penyediaan:

  1. Gaulkan semua bahan bersama ayam. Diperap untuk seketika
  2. Bakar ayam sehingga masak

Singgang ikan

Bahan-bahan:

  • Ikan
  • Bawang putih – dikisar
  • Bawang merah – dikisar
  • Halia – dikisar
  • Kunyit  – dikisar
  • Serai – dititik
  • Air
  • Sedikit air asam jawa
  • Lada hitam garam

Cara penyediaan:

  1. Masukkan semua bahan dalam periuk
  2. Masak sehingga ikan masak

Ikan masak asam

Bahan-bahan:

  • Ikan goreng
  • Bawang putih – dihiris
  • Bawang merah – dihiris
  • Halia – dihiris
  • Air asam jawa
  • Lada hitam
  • Garam 

Cara penyediaan:

  1. Tumiskan bahan hiris dengan sedikit minyak sehingga naik bau
  2. Masukkan air asam jawa dan lada hitam
  3. Masukkan garam mengikut kesesuaian

Terpulang kepada individu

Tidak dinafikan pada zaman moden ini, rata-rata individu kurang mengamalkan pantang larang kepercayaan terdahulu sama ada dalam aspek pemakanan mahupun penjagaan keseluruhan. Walau bagaimanapun, perkara paling penting adalah untuk memastikan makanan yang diambil adalah berkhasiat dan seimbang bagi membekalkan nutrisi yang optimum kepada badan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.