Orang selalu berkata, “Makanlah lobak merah, ia baik untuk mata.” Tetapi adakah lobak merah hanya mendatangkan manfaat kepada mata? Haa…kalau nak tahu lebih lanjut mengenai sayuran berwarna oren ini, marilah baca perkongsian artikel Hello Doktor ini.
Nutrisi lobak merah
Daucus carota merupakan nama saintifik bagi sayuran daripada keluarga ubi ini. Sayuran rangup dengan pilihan warna seperti oren dan putih (warna biasa yang terdapat dalam pasaran Malaysia) ini sering digunakan sebagai bahan dalam coleslaws, salad dan wrap. Carrot karot) juga boleh digunakan dalam pembuatan pastri seperti kek dan mufin. Malahan ia juga boleh dijadikan sebagai jus yang berkhasiat.
Menurut U.S. Department of Agriculture (USDA), secawan lobak yang dipotong, seberat 128 gram (g), memberikan:
- Kalori – 52
- Karbohidrat – 12.26 g
- Gula – 3 g
- Protein – 1.19 g
- Lemak – 0.31 g
- Serat – 3.6 g
- Vitamin A – 1,069 mcg (mikrogram)
- Vitamin C- 7.6
- Kalsium – 42 mg (miligram)
- Zat besi – 0.38 mg
- Magnesium – 15 mg
- Fosforus – 45 mg
- Kalium – 410 mg
- Sodium – 88 mg
- Zink – 0.31 mg
- Folat – 24 mcg
- Vitamin K – 16.9 mcg
Secawan lobak merah sudah dapat membekalkan lebih 100 peratus purata keperluan harian vitamin A individu lelaki dan wanita yang disyorkan elaun harian (RDA). Sayuran ini juga mengandungi pelbagai jenis vitamin B.