backup og meta

Lada Hitam dan Kesannya Terhadap Kesihatan Anda

Lada Hitam dan Kesannya Terhadap Kesihatan Anda

Apa itu lada hitam?

Lada hitam atau nama saintifiknya, Piper nigrum, berasal daripada keluarga tumbuh-tumbuhan Piperaceae. Ia ditanam untuk mendapat buahnya (peppercorn) yang akan dikeringkan dan digunakan sebagai rempah, penambah rasa dan perisa dan juga sebagai bahan untuk memerap daging masakan.  Lada hitam adalah natif kepada bahagian barat daya India dan ia ditanam dengan begitu banyak di kawasan tersebut dan juga di negara-negara tropika yang lain. Perkataan ‘pepper’ yang digunakan untuk rempah ini dalam bahasa Inggeris berasal daripada perkataan Inggeris lama ‘pipor’, bahasa Latin ‘piper’ dan juga bahasa Sanskrit ‘pippali’. Apabila segar dan sudah matang, ia boleh mencapai ukuran 5mm panjang, berwarna merah gelap dan mengandungi satu biji benih.

Ia dihasilkan daripada pepauh pokok lada yang belum masak dan masih hijau. Pepauh tersebut dididihkan dalam air panas buat seketika untuk membersihkannya dan juga untuk menyediakannya bagi proses pengeringan. Haba daripada proses pendidihan tadi memecahkan dinding-dinding sel dalam lada tersebut, mempercepatkan tindak balas enzim ketika proses pengeringan. Pepauh tersebut dikeringkan sama ada di bawah pancaran matahari ataupun melalui penggunaan mesin, untuk beberapa hari sehinggalah kulit lada tersebut mengecut sekeliling benih dan bertukar warna kepada warna yang lebih gelap. Biji yang disaluti lapisan hitam ini disebut sebagai lada hitam. Di sesetengah tempat, beri pada buah tersebut dipisahkan dengan tangan dan terus dikeringkan tanpa melalui proses pendidihan. Dari segi maklumat nutrisi, satu sudu kecil lada hitam (6 gram) mengandungi vitamin K, zat besi, manganese dan juga beberapa nutrisi penting yang lain seperti protein dan juga serat pemakanan.

Perisa

Bahan seperti lada mendapat rasa panas dan pedasnya daripada kompaun piperine yang berada pada bahagian luar buah dan benihnya. Lada hitam mengandungi sekitar 4.6 hingga 9.7% piperine berdasarkan ukuran jisim, kurang sedikit jika dibandingkan dengan lada putih. Berikut adalah kompaun-kompaun kimia lain yang menyumbang kepada aroma lada hitam:

  1. Terpene
  2. Germacrene
  3. Limonene
  4. Pinene
  5. Alpha-phellandrene 
  6. Beta-caryophyllene 

Aroma dan bau wangi ini tidak didapati pada lada putih kerana lada puitih menjalani proses penapaian dan juga pemprosesan yang lain yang membuang lapisan pada buahnya yang mengandungi kompaun-kompaun kimia di atas. Lada hitam akan kehilangan perisa dana romanya melalui proses penyejatan. Untuk itu, penyimpanan dalam bekas kedap udara membantu untuk ia tahan lebih lama, tanpa berlaku kehilangan aroma dan juga rasa pedasnya. Selain itu, aroma dan perisanya juga boleh pudar apabila terdedah kepada cahaya yang banyak dan terlalu lama. Ini kerana kompaun kimia piperine, di bawah pengaruh cahaya, akan bertukar kepada kompaun kimia lain yang tidak mempunyai sebarang perisa iaitu isochavicine.

Penghasilan dan pasaran

Ia merupakan antara rempah yang paling banyak didagangkan di seluruh dunia, mewakili 20% daripada keseluruhan import rempah dunia. Setakat tahun 2016, Vietnam merupakan negara penghasil dan pengeluar lada hitam terbesar dunia. Vietnam menghasilkan 216 ,000 tan metrik dari keseluruhan jumlah dagangan dunia (39%). Negara-negara pengeluar lain yang turut tergolong dalam senarai teratas adalah Indonesia (15%), India (10%) dan juga Brazil (10%). Walaupun Vietnam menghasilkan begitu banyak rempah ini, hampir kesemuanya dieksport ke negara luar dan tidak digunakan dalam pasaran domestik.

Sejarah kegunaan lada hitam

Lada hitam di Asia

Seperti yang disebut di bahagian sebelumnya, rempah ini merupakan tumbuh-tumbuhan yang natif kepada kawasan Asia Timur dan juga Asia Tenggara dan telahpun digunakan dalam masakan India sekurang-kurangnya seawal 2000 BCE. Sumber tanaman ini yang paling penting ketika itu datangnya dari kawasan Dinasti Cheras di Perairan Malaba, atau kini dikenali sebagai Kerala di India. Ketika itu, ia merupakan bahan dagangan yang cukup berharga dan turut digelar sebagai ‘Emas Hitam’ (Black Gold). Bahkan, ia turut digunakan sebagai komoditi dagangan, ibarat duit. Hasil daripada penjajahan British di India, lada hitam yang tersebar luas ke Eropah, Timur Tengah dan juga di bahagian Afrika Timur, berasal daripada kawasan Malabar. Pelabuhan-pelabuhan di Malabar ketika itu juga dijadikan sebagai kawasan henti untuk para pedagang berdagang lada hitam dan rempah-rempah lain di Lautan India (Indian Ocean).

Lada hitam di zaman purba

Antara catatan terawal berkaitan rempah ini adalah ia digunakan untuk disumbat ke dalam hidung mayat Ramesses II, sebagai sebahagian daripada upacara pengebumian pada 1213 BCE. Selain itu, tidak banyak yang diketahui tentang kehadiran lada hitam dari Asia Timur ke Sungai Nil dan juga ke tamadun Mesir Purba. Di Greece, lada panjang dan hitam telah pun dikenali seawal abad ke-4 BCE. Namun yang demikian, ia bukanlah sesuatu yang lazim dijumpai dan mungkin item yang hanya mampu dimiliki oleh golongan pembesar dan golongan yang kaya. 

Kesan ke atas kesihatan dan fungsi tubuh badan

Piper nigrum dan ekstraknya telah lama digunakan oleh pelbagai budaya dan juga tamadun di seluruh dunia bukan sekadar sebagai penambah perisa kepada hidangan mereka, tetapi turut diangkat sebagai bahan makanan yang mempunyai nilai perubatan semula jadi. Sebagai contoh, minyak daripada buah Piper nigrum ini digunakan sebagai minyak mengurut ayurveda dan dikatakan mempunyai peranan dalam menambah seri dan kecantikan seseorang. Berikut merupakan antara dapatan kajian berkaitan lada hitam dan juga kesannya kepada tubuh badan.

Nafsu dan libido

Salah satu dakwaan berkaitan manfaat kesihatan daripada tumbuhan Piper nigrum ini adalah ia berupaya untuk merangsang fungsi seksual badan. Untuk menyiasat dakwaan ini, satu kajian telah dilaksanakan untuk mengkaji sama ada ekstrak Piper nigrum dapat meningkatkan fungsi seksual dalam kalangan tikus jantan. Sebanyak 36 ekor tikus jantan yang sihat, berusia 4 bulan dan mempunyai julat berat dalam lingkungan 25 hingga 30 gram, dibahagikan kepada empat kumpulan yang berbeza. 

Kumpulan tikus jantan pertama diberikan pelet yang tidak mengandungi ekstrak Piper nigrum, dan dijadikan sebagai kumpulan kawalan (controlled group). Kumpulan tikus jantan kedua diberikan pelet yang mengandungi akueus manakala kumpulan tikus jantan yang ketiga pula diberikan pelet yang mengandungi ekstrak etanol. Akhir sekali, kumpulan tikus jantan keempat pula diberikan pelet yang mengandungi ekstrak akueus dan juga ekstrak etanol dalam kadar 1:1. Kesemua kumpulan menerima pellet masing-masing pada kekerapan sekali sehari selama 90 hari. 

Parameter yang menjadi ukuran kepada kajian ini adalah tempoh pendam pemikatan (courtship latency) dan juga kekerapan melekap (mounting frequency). Tempoh pendam pemikatan merujuk kepada tempoh waktu antara waktu mula tikus jantan didedahkan kepada tikus betina, dengan saat mula tikus jantan menunjukkan tingkah laku untuk memikat. Kekerapan melekap pula merujuk kepada keseluruhan percubaan tikus jantan untuk menaiki belakang tikus betina dalam masa 30 minit. Secara teorinya, tempoh pendam pemikatan yang lebih pendek dan/ atau kekerapan melekap yang tinggi dapat diterjemahkan kepada peningkatan nafsu seks (sex drive).

Dapatan kajian ini adalah tikus jantan yang menerima pelet yang mengandungi akueus dan juga ekstrak etanol (Kumpulan 2 hingga 4) mempunyai tempoh pendam pemikatan yang lebih pendek dan juga kekerapan melekap yang lebih tinggi. 

Terdapat beberapa kemungkinan yang berupaya untuk menjelaskan kesan piperine ke atas nafsu seks. Sebagai contoh, terdapat kajian lampau yang mencadangkan bahawa makanan tambahan yang mengandungi piperine dikaitkan dengan peningkatan paras hormon testosteron dalam darah dan hormon ini merupakan hormon yang bertanggungjawab dalam menyumbang kepada nafsu lelaki. Piperine mempunyai keupayaan untuk menekan aktiviti enzim testosterone 5α-reductase (enzim yang memecahkan testosteron). Dengan menekan aktiviti enzim ini, paras hormon testosteron dalam darah dapat kekal tinggi dan menyumbang kepada peningkatan nafsu. Selain itu, terdapat juga kajian yang mengaitkan keupayaan lada hitam untuk meningkatkan nafsu dengan kandungan asid lemak yang tinggi. Lada hitam mengandungi beberapa asid lemak yang tinggi, terdiri daripada asid jenis asid aurik, asid myristik dan asid palmitik. Asid lemak berupaya untuk mempengaruhi rembesan dan juga metabolisma hormon-hormon lelaki (androgens). Penjelasan terakhir yang dicadangkan oleh pengkaji adalah melalui kandungan zink yang terdapat dalam Piper nigrum. Peranan zink yang telah dikenal pasti melalui kajian adalah ia mampu untuk meningkatkan kiraan/ bilangan sperma dalam lelaki. Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan kaitan antara ketandusan nafsu dan juga paras zink yang rendah.

Merangsang sistem penghadaman badan

Terdapat dakwaan kesihatan turun-temurun yang mengatakan pengambilan makanan yang mengandungi lada hitam dapat membantu melancarkan penghadaman dan membantu untuk membuang air besar. Bagi menyiasat dakwaan popular ini, terdapat satu kajian klinikal yang membabitkan penggunaan lada hitam dan kesannya terhadap sistem penghadaman tikus kajian. Dalam kajian tersebut, pengambilan ekstrak lada hitam didapati berupaya untuk melancarkan penghadaman. Piperine yang terdapat dalam Piper nigrum bukan sahaja merangsang rembesan-rembesan perut, ia juga berupaya meningkatkan rembesan air liur dan, secara tidak langsung, rembesan enzim amylase dalam mulut yang sekali gus meningkatkan lagi kecekapan penghadaman kanji. Selain itu, kajian juga mendapati bahawa Piperine turut berupaya untuk membawa kepada peningkatan rembesan asid hempedu daripada organ hati, membantu metabolisma dan penghadaman lemak. 

Tambahan lagi, kajian yang sama turut menemui bahawa Piper nigrum juga berjaya untuk mempengaruhi kelancaran pergerakan makanan melalui saluran penghadaman. Keupayaannya untuk mempengaruhi sistem penghadaman ini dikatakan berpunca daripada tindakan piperine (yang terkandung di dalam Piper nigrum) mengaktifkan beberapa reseptor yang berada sepanjang sistem penghadaman badan. Terdapat juga peranan yang dimainkan oleh ekstrak Piper nigrum ini terhadap ketersediaan-bio (bioavailability) sesetengah makanan dan juga ubat-ubatan, dengan cara mempengaruhi dan juga mengawal metabolisma dan penyerapan sesetengah zat dan ubat.

Berupaya untuk merawat cirit-birit

Penggunaan lada hitam untuk merawat cirit-birit ini merupakan sesuatu rawatan semula jadi yang telah dilakukan oleh pelbagai budaya secara turun-temurun. Di kebanyakan negara-negara membangun dan dalam pelbagai komuniti yang berbeza, pengamal perubatan herbal dan juga industri berasaskan herbal banyak menghasilkan ubat untuk cirit-birit yang diformulasikan daripada lada hitam. Keupayaan ini telahpun ditunjukkan dalam kajian yang membabitkan tikus makmal. Dalam kajian tersebut, Piperine mengurangkan rembesan air dan juga pengumpulan air dalam usus besar. 

Keupayaan untuk mengawal tekanan darah

Piperine yang diasingkan daripada P. nigrum, apabila diambil secara intravena, mampu untuk menurunkan tekanan dalam salur darah arteri. Dapatan ini diperoleh daripada kajian yang dilakukan ke atas tikus makmal yang mempunyai tekanan darah mula yang normal. Pemberian Piperine secara intravena didapati mampu untuk menurunkan tekanan darah dalam salur darah arteri mereka dan kesan penurunan ini bertindak dalam corak yang bergantung kepada dos (dose-dependant relationship). 

Mempunyai tindakan antiradang

Proses keradangan boleh membawa kepada pelbagai jenis penyakit. Contoh penyakit-penyakit yang dipengaruhi oleh proses keradangan kronik adalah arthritis, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson. Malahan, sesetengah kanser juga turut dipengaruhi oleh proses keradangan juga. Mekanisma untuk melawan keradangan melibatkan pelbagai cara. Salah satu daripada cara untuk mengatasi atau melawan keradangan adalah dengan menghalang aktiviti enzim-enzim yang terlibat dalam kelangsungan lata keradangan. Selain menggunakan ubat-ubatan moden untuk melawan keradangan, diet yang mengandungi makanan-makanan yang mempunyai ciri-ciri antiradang juga boleh membantu. 

Terdapat beberapa kajian masa kini yang menunjukkan keupayaan Piperine, bahan aktif dalam lada hitam (Piper nigrum) dalam menghalang proses lata keradangan. Pembuktian peranan Piperine ini telahpun ditunjukkan dalam model kajian in vitro. Bahkan, keupayaan ini telah pun ditunjukkan dalam kajian lebih 2 dekad yang lalu. Berdasarkan pemahaman terkini, bahan aktif Piperine dikatakan melakukan penghalangan kepada proses keradangan ini dengan menekan atau menghalang interlukon, matrix metalloproteinase, prostaglandin E2, dan juga activator protein 1. Terdapat juga kajian pada tahun 2012 yang melaporkan dalam kuantiti 50/100 ug/ml, Piperine berupaya untuk menekan paras β-glucuronidase dan lactate dehydrogenase dalam kaitan yang bergantung kepada dos (dose-dependant relationship). Bagaimanapun, kajian lanjutan membabitkan percubaan ke atas subjek manusia diperlukan untuk benar-benar mengkaji keberkesanan Piperine dalam mencegah penyakit kronik atau degeneratif akibat keradangan dan juga supaya dapat dibentuk profil farmakologinya. 

Antioksidan adalah suatu unsur yang menyahaktifkan radikal bebas di dalam badan (free radicals). Radikal bebas ini terhasil oleh beberapa laluan metabolisma badan dan ianya akibat ciri-cirinya yang tidak stabil, ianya berupaya untuk mencederakan sel, tisu badan dan juga salur darah. Dalam jangka masa yang lama, kecederaan berulang ini boleh membawa kepada pelbagai penyakit seperti penyakit neurodegeneratif, penyakit kronik dan juga kanser. 

Antioksidan adalah bahan kimia yang memainkan peranan penting dalam menyahaktifkan radikal bebas di dalam badan (free radicals). Radikal bebas seperti reactive oxygen species (ROS) terhasil oleh beberapa laluan metabolisma badan dan akibat daripada ciri-cirinya yang tidak stabil, ianya berupaya untuk mencederakan sel, tisu badan dan juga salur darah. Dalam jangka masa yang lama, kecederaan berulang ini boleh membawa kepada pelbagai penyakit seperti penyakit neurodegeneratif, penyakit kronik dan juga kanser. Untuk tujuan ini, zat dan makanan yang mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan semula jadi adalah sangat diinginkan. Sesetengah tumbuh-tumbuhan mengandungi kandungan antioksidan yang sangat tinggi bagi melindungi dirinya daripada kecederaan sel yang dihasilkan oleh radikal bebas. Piper nigrum, dalam akar, dahan dan juga buahnya, mempunyai aktiviti antioksidan. Ini kerana seperti kurma dan juga cili, ia juga mengandungi flavonoid dan bahan-bahan phenolic. Kajian dalam tikus makmal membuktikan bahawa ia mampu untuk mencegah peroksidasi lipid, menghalang pelbagai jenis radikal bebas (seperti hydroxyl dan radikal super oxide) dan juga stres oksidative dalam usus tikus-tikus tersebut.

Sebagai rumusan, lada hitam adalah rempah yang cukup popular dalam menaikkan lagi rasa dan keharuman hidangan di seluruh dunia. Selain itu, terdapat juga kajian-kajian yang menunjukkan manfaat kesihatan lada hitam. Sungguhpun begitu, pembuktian yang lebih kukuh perlu datang dalam bentuk kajian klinikal membabitkan manusia dan juga kajian sokongan yang lain bagi betul-betul menyokong manfaat kesihatan ini. 

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis mahupun rawatan.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Effects of Black Pepper (Piper nigrum Linn.) Extract on Sexual Drive in Male Mice [Internet]. Science Alert. [cited 2019 Jul 24]. Available from: https://scialert.net/fulltext/?doi=rjmp.2015.42.47

Singletary K. Black Pepper: Overview of Health Benefits. Nutrition Today. 2010 Feb;45(1):43.

Ahmad N, Fazal H, Abbasi BH, Farooq S, Ali M, Khan MA. Biological role of Piper nigrum L. (Black pepper): A review. Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine. 2012 Jan 1;2(3, Supplement):S1945–53.

Versi Terbaru

01/07/2020

Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Selain Nasi Lemak @ Kerabu, Ada Lagi Makanan Tradisional Yang Sebenarnya Sihat!

Tubuh Kuat Bermula Dari Usus Yang Baik! Ini 6 Manfaat Minuman Probiotik, Selain Untuk Usus!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 01/07/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan